Video terkini

1MediaTV

NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada isu MCA tak bantu kempen KKB, tidak menjadi keutamaan DAP pujuk MCA

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail berkata, kehadiran MCA dalam mesyuarat dengan pemimpin kerajaan perpaduan baru-baru ini menunjukkan mereka sedia bekerjasama dengan kerajaan. (Gambar Bernama)


KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail berkata “tidak timbul isu” kurang sokongan MCA untuk calon gabungan itu dalam kempen PRK Kuala Kubu Baharu.

Ini kerana, katanya, MCA masih parti komponen Barisan Nasional (BN) yang menganggotai kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, kehadiran MCA dalam mesyuarat dengan pemimpin kerajaan perpaduan baru-baru ini menunjukkan mereka sedia bekerjasama dengan kerajaan.

“Saya baru saja beberapa hari lepas dalam pertemuan pemimpin kerajaan perpaduan, Wee Ka Siong (presiden MCA) duduk sebelah saya. Ketika saya hadir pengerusikan mesyuarat PH dan BN minggu lalu di WTC (Pusat Dagangan Dunia), Naib Presiden MCA, Lawrence Low juga hadir.

“Saya anggap kehadiran mereka itu sebagai simbol kerjasama. Saya tengok dari sudut positif,” katanya selepas merasmikan Karnival Pencegahan Jenayah polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Bersama Rakan Strategik di Perumahan Awam Sri Sabah.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook hari ini dilaporkan berkata, tumpuan parti itu pada PRK Kuala Kubu Baharu adalah untuk memenangi hati pengundi, bukannya memujuk mana-mana parti membantu kempen mereka.

Loke ditanya sama ada DAP akan memujuk MCA untuk menyokong kempen PH.

Wee sebelum ini mengulangi pendirian partinya tidak akan membantu DAP berkempen dalam pilihan raya akan datang.

Berhubung kritikan Bersih terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana mengumumkan peruntukan RM5.21 juta buat penduduk Hulu Selangor menjelang PRK 11 Mei ini, Saifuddin berkata, PH menghormati teguran pemantau pilihan raya itu.

“Kita ada undang-undang jelas berhubung perkara itu, termasuk Akta Kesalahan Pilihan Raya. Bersih telahpun menyuarakan pandangan mereka dan saya percaya semua pihak boleh buat pertimbangan sewajarnya,” kata menteri dalam negeri itu.

Bersih bimbang peruntukan itu ditambah gesaan menteri untuk pengundi menyokong parti “baik, prihatin dan progresif” boleh dianggap cubaan mempengaruhi pengundi dan membeli sokongan mereka.

Nga menafikan peruntukan itu mempunyai kaitan dengan PRK Kuala Kubu Baharu dan kementeriannya “memilih kawasan ini (Hulu Selangor) kerana ia tempat bertuah, Feng Shui ‘ong’ dan tempat baik”.


Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pengundi Melayu tidak bersatu, Dr M ramal DAP menang PRK KKB

Dr Mahathir Mohamad berkata ada kemungkinan DAP akan menang PRK Kuala Kubu Baharu.



KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad meramalkan DAP akan menang PRK Kuala Kubu Baharu, kerana undi pengundi Melayu berpecah.

Mahathir berkata kemunculan parti-parti serpihan Melayu telah memecahkan undi pengundi Melayu.

“Jumlah pengundi di situ lebih ramai Melayu daripada Cina tetapi Melayu berpecah. Cina bersatu. Jadi kemungkinan ialah DAP menang,” katanya kepada pemberita di rumah terbuka Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

Mahathir mengambil contoh prestasi Umno dahulu yang “menang selalu” apabila orang Melayu “bersatu”.

“Kita dapat 2/3 (kerusi Dewan Rakyat),” katanya, yang juga bekas presiden Umno. “Lepas berpecah, parti itu, parti Putra lah.”

DUN Kuala Kubu Baharu merupakan kerusi campuran dengan pengundi Melayu membentuk 46%, pengundi Cina 30%, pengundi India 18%, dan lain-lain 5%.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia, dan seorang calon bebas.

Pang Sock Tao dari DAP akan mempertahankan kerusi itu daripada cabaran Khairul Azhari Saut (Bersatu), Hafizah Zainudin (PRM), dan Nyau Ke Xin.

Pengundi Kuala Kubu Baharu akan memilih wakil rakyat mereka pada 11 Mei.


Sumber | FMT Malaysia 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

PRK KKB: Zahid harap MCA bantu jentera Kerajaan Perpaduan

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengiringi calon Pakatan Harapan N.06 Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao bersama penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.


HULU SELANGOR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih berharap MCA akan dapat membantu jentera berkempen Kerajaan Peroaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Beliau bagaimanapun tidak menetapkan sebarang tempoh khusus bagi tujuan itu namun, yakin suasana akan berubah apabila ‘kedukaan’ MCA kembali reda.

Beliau turut melahirkan keyakinan jalinan persahabatan erat dengan MCA sejak 1955, mampu meredakan pergeseran yang berlaku antara parti itu dan DAP.

“(Kerjasama MCA) di peringkat Bahagian dan DUN saya tidak nampak masalah yang besar. Mereka akan menggerakkan jentera yang ada.

“Namun, kita memahami dan menyantuni yang di atas sana (kepemimpinan utama MCA),” katanya juga Presiden UMNO.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA memutuskan untuk tidak terbabit dalam aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.

Susulan itu, MIC turut mengambil keputusan sama atas alasan serupa.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei, manakala harin ini, 27 April sebagai hari penamaan calon. – MalaysiaGazette







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

BN sokong DAP kerana DAP banyak berjasa – Ahmad Zahid

Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengiringi calon Pakatan Harapan N.06 Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao bersama penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.



HULU SELANGOR – Sokongan Barisan Nasional (BN) terhadap DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Kuala Kubu Baharu bagi membalas jasa parti itu yang membantu UMNO dan BN dalam tiga PRK sebelum ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, DAP adalah parti dalam Kerajaan Perpaduan yang perlu sama dibantu oleh parti-parti komponen dan ia menjadi  prinsip BN.

“Terdapat beberapa PRK di peringkat negeri mahupun Parlimen yang turut didukung oleh kepimpinan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Maka ketika ini mereka dibantu dengan dukungan  UMNO khususnya BN…kita merasakan perlu membalas jasa yang telah mereka curahkan ketika PRK di Tioman, Pelangai dan Kemaman, maka ini adalah komitmen yang dibuat oleh UMNO dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Dewan Komuniti Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, prinsip BN adalah wakil yang akan dipilih oleh pengundi-pengundi di Kuala Kubu Bharu mesti datang daripada parti kerajaan.

Katanya, biar apapun parti yang mewakili Kerajaan Perpaduan, apa yang dipilih oleh rakyat mestilah dalam Kerajaan Perpaduan juga.

“Kita mendokong kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, maka kita mahu wakil atau ADUN itu dipilih daripada parti kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai keyakinan beliau terhadap DAP untuk memenangi kerusi tersebut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, ia hampir pasti.

“Ini (DAP) hampir pasti untuk memenangi kerusi itu. Saya tahu DAP adalah sebuah parti yang sangat komited dalam Kerajaan Perpaduan dan tiba masanya untuk kami balas budi mereka,” tambahnya. – MalaysiaGazette





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Pang tetap fokus berkempen meskipun ada pihak tular video lama kutuk BN

Calon Pakatan Harapan N.06 Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao bersama penyokong selepas selesai menghantar borang pencalonan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.


HULU SELANGOR – Calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao tetap akan memberikan fokus meskipun ada pihak-pihak cuba menularkan semula rakaman lama beliau mengutuk Barisan Nasional (BN).

Beliau ketika ditemui media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Komuniti, Kompleks Sukan, di sini berkata tetap akan memfokuksan kepada penyampaian agenda manifestonya berhubung pembangunan yang akan dibawa di Kuala Kubu Bharu.

“Secara jelas, ucapan saya telah dibuat dalam PRU (Pilihan Raya Umum) pada 2022.

“Masa itu memanglah ada lawan…so, saya tiada komen sebab arena politik dalam negara ini memang Kerajaan Perpaduan telah dibentuk dengan saya sekarang sebagai calon Kerajaan Perpaduan.

“Kita akan bergerak (bersama BN) sebagai satu pasukan kerja keras sepanjang kempen ini,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman Pang mengkritik BN dalam satu siri ceramah politik pada pilihan raya.

Pang dalam ceramah itu dipetik berkata, rakyat Malaysia putus harapan selepas 60 tahun pemerintahan BN.

Bagaimanapun Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching menjelaskan, rakaman itu merupakan video lama yang diambil oleh pihak terbabit dengan niat tertentu.

Katanya, ia merupakan petikan dalam satu ceramah kempen yang berlangsung pada November 2022 ketika kempen PRU-15 di Kulai Johor.

Video itu turut dikongsikan Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon di laman media sosialnya.

Sementara itu, Pang berkata, beliau mempunyai banyak perancangan terutamanya agenda pembangunan di kawasan Kuala Kubu Baharu dan mahu meneruskan hasrat yang telah diatur oleh mendiang, Lee Kee Hiong.

Ujarnya, dia juga akan memfokuskan kepada kebajikan anak muda dan golongan wanita yang sememangnya dekat dihati beliau.

“Saya rasa bagi kempen ini jika diberi peluang saya akan meneruskan perancangan pembangunan dan agenda yang telah diaturkan oleh mendiang Lee Kee Hiong.

“Kebajikan anak muda dan golongan wanita amatlah dekat dihati saya, dan sudah tentu perancangan ataupun dasar-dasar baharu untuk memperkasakan golongan anak muda dan wanita akan dimasukkan dalam manifesto saya yang akan dilancar nanti,” tambahnya. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Akmal nasihat pengundi DUN KKB jangan pilih calon ‘pemimpin hipokrit’



KUALA LUMPUR- Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) dinasihatkan tidak memilih calon ‘pemimpin hipokrit’.

Ketua Pergerakan pemuda UMNO Dr. Akmal Saleh berkata, keputusan pilihan raya tersebut akan memberikan mesej yang jelas kepada pemimpin politik.

“Semoga berjaya kepada semua calon-calon PRK Kuala Kubu Baharu. Keputusan PRK KKB ini tidak akan mampu untuk mengubah kedudukan kerajaan negeri mahupun Pusat.

“Tetapi ia akan memberikan satu mesej yang jelas dari rakyat kepada semua pemimpin. Kepada pengundi KKB anda mewakili suara rakyat Malaysia ketika ini.

“Kalau nak memilih pemimpin, jangan pilih pemimpin yang hipokrit. Moga Allah permudahkan segala urusan PRK ini,” katanya dalam media sosial.

PRK DUN KKB membuka tirai hari ini dengan bermulanya proses penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Pilihan raya tersebut menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH mempertaruhkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Kerajaan Perpaduan, dicabar pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN.

Sementara PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas.

PRK DUN KKB diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mendiang menewaskan Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Turut bertanding calon MUDA, Dr Siva Prakash mendapat 1,186 undi dan Chng Boon Lai dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) memperoleh 527 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding esok hingga 11.59 malam, 10 Mei.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Bharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.



Sumber | Malaysiagazzete









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Letak calon pengalaman, Muhyiddin yakin PN menang di KKB

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengiringi calon Perikatan Nasional N.06 Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut bersama penyokong menuju ke Pusat Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.


KUALA KUBU BHARU – Perikatan Nasional (PN) berkeyakinan penuh strategi meletakkan calon anak tempatan akan dapat merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu. 

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah meletakkan Khairul Azhari Saut sebagai calon adalah kerana beliau merupakan pemimpin setempat yang berpengalaman luas serta dekat dengan masyarakat.

“Walaupun Selangor dipimpin Kerajaan Perpaduan,  tetapi kita minta pengundi Kuala Kubu Baharu memberi peluang kepada kita supaya suara yang lebih lantang dibawa ke dalam sidang DUN bagi mengetengahkan pelbagai isu dan masalah yang berkait rakyat. 

“Banyak isu cukup membebankan rakyat, di hadapan saya ini petugas media, tetapi (anda) tetap rakyat biasa yang paling ketara menghadapi masalah subsidi, kos sara hidup, kenaikan harga barang, masalah cukai yang bertambah enam kepada lapan peratus serta banyak lagi isu tempatan lain,” katanya kepada media di pusat penamaan calon, hari ini. 

Muhyiddin berkata demikian ketika hadir memberi sokongan kepada calon PN, Khairul Azhari 54 yang bertanding kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu. 

Muhyiddin turut menjelaskan PN akan menggerakkan kempen yang lebih ekstrem yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dimulakan di semua peringkat.

“Harapan saya, beri sokongan sebanyak-banyaknya kepada calon PN kerana bagi kami, ini masa amat sesuai selepas rakyat menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri ( PRN).

“PRK ini satu peluang kepada kita (PN) memperoleh maklum balas sebuah referendum mengenai pendirian rakyat dan kerajaan yang ada pada hari ini baik di peringkat negeri atau Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

Bersatu dalam proses ambil tindakan terhadap enam ahli Parlimen – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir bagi mengiringi calon Perikatan Nasional N.06 Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut menuju ke Pusat Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.


KUALA KUBU BAHARU – Bersatu dalam proses mengambil tindakan terhadap enam Ahli Parlimennya yang bertindak menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan yang akan diambil adalah berlandaskan kepada pindaan yang dibuat oleh parti, sebelum ini.

“Saya tidak perlu umumkan (tindakan yang akan diambil) ini sebagai satu strategi kita tetapi tindakan ini mengikut satu Perlembagaan Persekutuan, mengikut perlembagaan kita luluskan dalam Bersatu mengikut Akta Lompat Parti.

“Prosedur itu kita akan patuh supaya tiada kesilapan. Pihak bertanggungjawab akan dihadapkan, yang penting kita perlu ambil tindakan terhadap mereka,” katanya kepada wartawan selepas mengiringi calon PN di Pusat Penamaan Calon PRK Kuala Kubu Baharu, hari ini.

Pada Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu di Fraser Valley, Kuala Kubu Baharu baru-baru ini, Muhyiddin berkata, Bersatu menyerahkan kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk melaksanakan notis berhubung status kedudukan enam ahli Parlimennya yang menyokong Anwar. 

Muhyiddin turut berkata, parti sudah berbincang dan membuat keputusan berhubung perkara itu dengan mengambil langkah-langkah yang sudah dipersetujui dalam tempoh tujuh hari.

Media sebelum ini melaporkan Bersatu akan menghantar surat kepada enam ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri untuk mengesahkan sama ada mereka kekal dengan keputusan meneruskan sokongan itu.

Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Ini selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 2 April lalu, meluluskan usul pindaan Perlembagaan Bersatu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas.

Enam ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Selain itu, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

BN komited kekalkan kesimbungan Kerajaan Perpaduan selepas PRU-16, kata Zahid



PUTRAJAYA – UMNO dan Barisan Nasional (BN) komited untuk mengekalkan kesinambunan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)

Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, parti pimpinannya menyokong apa juga saranan demi kepentingan mewujudkan sebuah negara yang stabil dari segi politik dan ekonomi.

“Kita terbuka dan UMNO, BN amat menyantuni rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan 18 parti biar pun berbeza tetapi mempunyai objektif yang sama.

“Yang penting mesti mempertahankan kestabilan politik dalam negara kita dan PRU-16 adalah pilihan raya untuk menterjemahkan bagaimana kestabilan politik, penyatuan hati dan fikiran dalam kalangan komponen dapat dipertahankan,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai strategi PKR yang akan memulakan gerak kerja bagi menghadapi PRU-16 dua tahun lebih awal dengan misi untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menjadi Perdana Menteri.

Menurut Ahmad Zahid, majoriti lebih dua pertiga Ahli Parlimen seramai 152 orang terdiri daripada 18 parti politik mesti dipertahankan dan kaedah bagi mempertahankan majoriti yang ada mempunyai pendekatan yang pelbagai.

“Pada hemat saya pemimpin politik yang terdiri daripada 18 parti politik ini mesti terus menjalin adunan keserasian dalam kalangan kami dan insya-Allah kita akan dukung demi kestabilan negara,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Santunan Kasih Syawal Bersama Timbalan Perdana Menteri yang diadakan dikediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, Sri Satria di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, apa yang penting adalah ekonomi mesti dijana dengan baik untuk memberi peluang kepada rakyat bukan sekadar peluang pekerjaaan dengan gaji minima tetapi dengan gaji premium.

Malahan skim gaji baharu penjawat awam yang akan diumumkan kerajaan memperlihatkan skim gaji akan memberikan peluang kepada penjawat awam untuk terus mempertingkatkan produktiviti.

Pada Konvensyen 25 Tahun Keadilan di Pusat Konvensyen Shah Alam (IDCC) baru-baru ini, Timbalan Presidennya Rafizi Ramli berkata, partinya mempunyai misi untuk memastikan Anwar terus menjadi Perdana Menteri selepas PRU-16.

Bagi tujuan itu PKR memperkenalkan kerangka kerja ‘Keadilan menang siri PRU ke-16’ (KEMAS16) dan pemerkasaan organisasi parti (POP25) sebagai hala tuju persiapan akar umbi dan pimpinan PKR merangka persiapan serta menggembleng kekuatan dalam menghadapi PRU-16.-MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

© all rights reserved
made with by templateszoo