Untuk pengetahuan rakan-rakan yang tidak berpeluang
menghadiri program perhimpunan aman sempena penyerahan
memorandum rakyat di Pejabat SUHAKAM pada hari ini,
mahupun disebabkan kerja atau kelas yang tidak dapat
dipontengi, atau disebabkan bangun lewat kerana balik
terlalu lambat malam tadi, atau disebabkan tidak
mendapat kebenaran daripada parents/isteri/suami, atau
disebabkan entah kenapa apabila bangun pagi tadi
terasa takut sedikit untuk keluar ke jalanraya, atau
disebabkan masalah teknikal yang tidak dapat
dielakkan, atau sebagai jenis masalah lagi, di sini
saya ingin menceritakan sedikit sebanyak cerita
pengalaman saya di perhimpunan tersebut. Sesiapa yang
rasa terkena tu saya mohon maaf, bukan sengaja nak
perkenakan orang tapi kita akui sesetengah perkara
adalah di luar kuasa kita dan ini sekadar muqaddimah
semata.
Seperti yang kita semua maklum, perhimpunan aman di
Jalan Raja Laut telah diteruskan dan Alhamdulillah
mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan. Saya
sendiri sebenarnya bangun tidaklah awal sangat iaitu
kira-kira jam 9 pagi (of course bangun Subuh dan tidur
balik). Keletihan badan terasa amat sangat kerana
tidur lewat pagi tadi sekitar jam 4 pagi kerana
membantu seorang rakan yang juga merupakan seorang OKB
(Orang Kena Buru bukan Orang Kaya Baru) menyiapkan
satu sistem pengawalan orang ramai untuk perhimpunan
hari ini melalui SMS. Malangnya kami terpaksa
melupakan hasrat tersebut kerana kami dapati sistem
SMS Celcom dan Maxis tidak berfungsi dengan lancar
dipercayai disabotaj oleh pihak-pihak tertentu yang
telah menjangka rancangan kami.
Setelah berjanji dengan seorang kawan, saya telah
bergegas ke Stesen LRT Universiti untuk mengambil LRT
ke Masjid Jamek. Dari situ saya telah menapak ke
tempat perhimpunan iaitu di pekarangan Menara Tun
Razak di mana terletaknya Pejabat SUHAKAM iaitu di
tingkat 29 (kurang pasti). Semakin hampir saya ke
tempat tersebut kelibat-kelibat warna biru tua dan
merah darah (sekarang menjadi warna paling tak
favourite) semakin banyak kelihatan. Anggota polis
serta FRU bersepah-sepah menyemakkan pavement yang
berdekatan. Saya berpura-pura tidak nampak mereka
dan 'kununnya' tak tahu apa-apa yang sedang berlaku.
Setelah meng-cross jalan ke seberang dan kemudiannya
terpaksa cross balik kerana tersilap, saya akhirnya
tiba di tempat perhimpunan.
Dari situ saya dapat melihat dengan jelas orang ramai
yang sudah berkemah sejak daripada awal pagi lagi
(kerana takut road-block). Sambil mengira-ngira angka
anggaran bilangan yang hadir, saya berjalan di sekitar
tempat itu dengan mata liar melihat-lihat ke setiap
arah. Memang sah kehadiran pada pagi tadi sungguh
membanggakan. Pada anggaran saya, tidak kurang
daripada 5000 orang yang datang dan mereka berhimpun
di merata tempat. Ada yang memegang banner/poster dan
ada yang hanya berpeluk tubuh, ada yang duduk dan ada
yang berdiri, ada yang dekat dan ada yang jauh, ada
yang di luar dan ada juga yang hanya memerhati
daripada dalam bangunan-bangunan berdekatan. Seolah-
olah tepat jam 10 pagi tadi, semua majikan di bank-
bank dan pejabat-pejabat berdekatan telah dengan rela
hati membenarkan, atau mungkin menggalakkan, atau
mungkin juga menghalau pekerja mereka supaya
meninggalkan pekerjan untuk sama-sama turut
memeriahkan majlis penyerahan memorandum rakyat ini.
Apabila saya sampai hampir dengan pintu masuk
bangunan, Sdr. Malek Husin selaku jurucakap orang
ramai mengumumkan bahawa para pimpinan daripada
pelbagai parti dan badan NGO akan mula masuk ke dalam
bangunan untuk ke Pejabat SUHAKAM. Ini diiringi
sorakan dan tepukan gemuruh orang ramai yang sangat
mengalu-alukan penyerahan memorandum yang merupakan
rumusan hasil daripada suara-suara rintihan rakyat
selama ini. Antara yang diwakilkan untuk menyerahkan
memorandum tersebut adalah YB Datin Seri Wan Azizah,
Sdri. Nurul Izzah Anwar, Sdr. Dr. Hatta Ramli, Pn.
Irine Fernandez dan lain-lain.
Sementara menunggu proses penyerahan memorandum
selesai, orang ramai dihiburkan dengan
pelbagai 'ceramah ringan' yang telah disampaikan oleh
tokoh-tokoh yang hadir seperti Sdr. Malek Husin
sendiri, wakil daripada mahasiswa, Sdr. Salehuddin
Ayub dan ramai lagi. Dalam masa orang ramai sedang
khusyuk mendengar kata-kata hikmah pemimpin-pemimpin
mereka, saya dapat melihat beberapa anggota polis yang
antaranya adalah kepala-kepala mereka berdiri
bertentangan dengan tempat saya berada. Sesekali saya
menyedari mereka memberikan isyarat-isyarat rahsia
kepada orang-orang yang saya percaya merupakan SB
(Siput B@B#) yang berkeliaran di tengah-tengah orang
ramai. Saya dapati ada beberapa cubaan dibuat oleh
siput-siput ini untuk mem-provoke orang ramai,
antaranya dengan melaungkan ungkapan-ungkapan yang
sensitif yang berniat tidak lain dan tidak bukan untuk
melaga-lagakan kaum Melayu dan India. Mungkin mereka
fikirkan ini adalah option yang terbaik memandangkan
isu Kg. Medan baru sahaja mulai reda.
Walaubagaimanapun, Alhamdulillah tiada apa yang
berlaku dan bukan sahaja itu, saya juga difahamkan ada
salah seorang (seekor?) daripada siput-siput ini telah
ditangkap oleh orang ramai kerana didapati cuba
menimbulkan kekecohan. Namun apa yang berlaku ke
atasnya tidak dapat saya pastikan.
Setelah lebih kurang 1 jam menunggu di luar bangunan
Menara Tun Razak, delegasi akhirnya selesai dan keluar
daripada bangunan. Saya amat gembira kerana saya
percaya suatu resolusi yang baik telah dicapai oleh
pihak delegasi dan SUHAKAM kerana Tan Sri Anuar Zainal
Abidin sendiri telah keluar mengikuti pimpinan
delagasi untuk berucap kepada orang ramai. Beliau
telah memberikan jaminan bahawa pihak SUHAKAM akan
berusaha untuk meneliti isi kandungan memorandum
rakyat yang diserahkan untuk diambil tindakan
seterusnya. Ucapan ringkas beliau diikuti pula oleh
ucapan daripada Datin Seri Wan Azizah Ismail di mana
beliau menyatakan kepuasan hati beliau dengan kejayaan
perhimpunan aman pada hari ini dan terutamanya
penyerahan memorandum rakyat kepada SUHAKAM. Siri
ucapan diakhiri oleh bacaan doa (saya tidak pasti
pembacanya kerana pada ketika ini, saya telah
terpinggir daripada himpunan orang ramai) dan arahan
bersurai oleh Sdr. Malek Husin.
Ketika saya beserta orang ramai mulai besurai dengan
aman, setelah berhimpun secara aman, saya terfikir
seolah-olah ada sesuatu yang tidak lengkap mengenai
perhimpunan ini. Setelah kebingungan beberapa ketika,
saya pun menyedari akan kekurangan itu. Jika
diperhatikan semuanya dah sempurna, orang ramai hadir
berhimpun dengan aman dan pulang dengan aman, SB pula
datang menyemakkan kawasan, tetapi tidak ada sekalipun
kedengaran bunyi letupan bom api, atau bunyi pelancar
roket, tidak ada seorang pun yang menghuluskan
senapang M16 atau pedang Samurai, tidak ada pun
sebarang harta benda awam yang dirosakkan, kereta dan
motosikal dimusnahkan (seperti yang FRU buat di KESAS
satu ketika dahulu), tidak ada pun kemalangan jiwa
yang berlaku, dan yang pastinya tidak ada apa pun
bentuk rusuhan atau huru-hara yang terjadi. Semuanya
aman dan harmoni (kecuali dalam hati polis-polis FRU
yang tak harmoni).
PANGGGGGG!!!!!! Satu tamparan hebat buat Mahathir
Mohammad dan Dolah Badawi. Sepatutnya PAAAAAAANG dan
PAAAAAAANG, seorang satu. Oleh itu, fitnah belakalah
apa yang dinyatakan oleh Mahathir, Dolah, Norian dan
lain-lain bahawa sambutan Black 14 kali ini akan
menjadi suatu yang ganas sehingga terpaksa menahan
(dengan ISA pulak tu) mereka yang 'kununnya' merancang
program tersebut. Dengan ini, pihak kerajaan tidak ada
alasan lagi hendak memanjangkan tempoh tahanan ISA dan
juga tidak ada sebarang alasan untuk meneruskan siri
tangkapan 'Ops Jala Besar' ini, dan kita juga desak
supaya semua ketujuh-tujuh tahanan ini dibebaskan
dengan segera.
Sekian.
RE-FOR-MA-SI!!!
Webmaster Pemuda KeADILan.
==
Webmaster Pemuda KeADILan