Oleh : Aman Rais
Tersenarai sudah barisan pemimpin penaja Puteri Umno, antaranya termasuklah penyanyi dan pelakon popular Erra Fazira. Ramai golongan adam dalam Umno tergamam melihat barisan pelapis yang dipilih oleh Azalina Othman itu.
Nampaknya Ketua Puteri Umno itu telah membuat satu pilihan dan perhitungan yang bijak. Beliau membariskan muka-muka yang segar, cantik, berpendidikan dan profesional untuk membantunya mengharungi cabaran besar dan tugas berat di hadapannya.
Tugas besar Azalina sekarang ialah untuk merapatkan golongan muda dengan Umno. Beliau tahu bukan mudah untuk menarik orang muda mendekati parti itu, apatah lagi untuk menjadi ahli. Dalam keadaan Umno kelam kabut, tercari-cari identiti dan asas perjuangannya, dibebani masalah politik wang serta perebutan kuasa, tugas Azalina menjadi lebih sukar.
Beliau perlu melaksanakan tugas dengan segera dan terpaksa mencari jalan pintas. Sebagai insan yang pernah melalui zaman remaja, Azalina tahu kelemahan dan minat anak-anak muda. Beliau tahu remaja sukakan hiburan dan mudah terikut-ikut dengan gelagat personaliti pujaan mereka.
Oleh itu peguam muda ini menggunakan pendekatan lama yang selalu digunakan oleh Umno sebelum ini iaitu menggunakan penghibur sebagai daya tarikan. Taktik ini sering digunakan oleh Umno dalam kempen-kempen pilihanraya atau perhimpunannya bersama rakyat sebelum ini.
Siti Nurhaliza, Raihan dan ramai lagi artis popular pernah berada di pentas ceramah Umno untuk membantu kempen parti itu. Kini tiba giliran Erra Fazira, tetapi peranannya lebih besar, bukan sekadar menari dan menyanyi sahaja. Beliau terlibat secara langsung, sebagai ahli dan pemimpin Puteri Umno.
Adakah strategi Azalina akan berjaya? Sukar dijangkakan tetapi berdasarkan rekod-rekod lalu, taktik menggunakan artis - untuk menarik rakyat datang ke majlis-majlis Umno - tidak mendatangkan kesan yang diharapkan.
Artis ya, PM tidak
Rakyat akan datang berduyun-duyun tetapi bukan untuk mendengar retorika Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad atau ucapan berdegar-degar Datuk Paduka Ibrahim Ali, mereka mahu mendengar suara lunak Siti Nurhaliza atau nasyid moden Raihan. Rakyat mahukan hiburan.
Harga tiket untuk menyaksikan konsert Siti, Raihan atau KRU sekarang bukannya murah - pendapatan seminggu seorang penoreh getah, nelayan atau pemandu teksi belum tentu dapat membelinya.
Jadi apa salahnya pergi mendengar nyanyian KRU atau Raihan dan mendapatkan autograf Erra Fazira - asalkan semuanya percuma!
Selesai persembahan para artis, rakyat akan kembali kepada asal - mesej yang hendak disampaikan oleh pemimpin Umno hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Mereka tetap memangkah parti pembangkang sebagaimana dalam pilihanraya umum lalu.
Adakah penampilan Erra dalam Puteri Umno akan menerima nasib yang sama? Adakah peminatnya akan menyertai Umno semata-mata kerana idola mereka juga menyertai dan memimpin sayap Umno itu atau mungkinkah Erra dan Puteri akan menerima kesan sebaliknya.
Ramai artis yang dikaitkan dengan Umno sebelum ini telah menjadi sasaran kempen boikot. Erra juga mungkin menerima risiko yang sama.
Azalina tentu tahu pro dan kontra tindakannya melantik seorang artis sebagai seorang daripada barisan exconya. Kalau beliau melihat pelantikan itu satu gimik sahaja - untuk menarik perhatian ramai - nyata sekali tindakannya telah berhasil.
Erra tenggelamkan Azalina
Kini orang ramai tidak henti-henti memperkatakan tentang sayap baru Umno itu. Sekelip mata sahaja Erra menjadi hampir sinonim dengan Puteri Umno. Malahan ada ahli Umno mengatakan Erra telah menenggelamkan kehadiran Azalina dalam Puteri.
Banyak pihak mengalu-alukan tindakan Azalina itu dan tidak kurang juga yang mengkritiknya. Golongan taksub Umno berpendapat langkah ini sangat bijak kerana Erra Fazira mempunyai ramai peminat dan mereka boleh dipengaruhi dengan mudah untuk menyertai Puteri.
Formula lapuk yang tidak berkesan diadun semula - nampaknya Umno masih menganggap rakyat mudah dibeli dengan hiburan dan artis-artis cantik?
Sementara itu mereka yang kritis pula menganggap langkah menggunakan Erra itu menunjukkan Umno ketandusan bakat-bakat baru untuk diketengahkan dan kekeringan idea. Langkah menggunakan artis dan melantik barisan exco Puteri daripada kalangan anak-anak pemimpin dan bekas pemimpin Umno ini jelas menunjukkan pengaruh parti itu hanya pekat di kalangan suku-sakat para pemimpinnya.
Dengan membariskan exco yang masih mentah dan tidak berpangalaman ini, tugas Azalina menjadi lebih banyak. Beliau kena membimbing dan memantau mereka bagi memastikan setiap program dapat dijalankan dengan berkesan.
Masalah menubuhkan jawatankuasa penaja di peringkat nasional telah selesai tetapi perkara yang lebih rumit menunggu di peringkat bahagian dan cawangan. Apakah wujud puteri-puteri Melayu yang mahu membabitkan diri di peringkat akar umbi?
Dalam keadaan suasana politik lebih memihak kepada parti-parti pembangkang sekarang, Puteri Umno memerlukan lebih daripada hanya raut wajah dan potongan badan untuk menjayakan matlamatnya!
.....................................................
Petikan Malaysiakini.com