Mengikut perancangan awalnya saya difahamkan program untuk Himpunan Selamatkan Wang Rakyat peringkat negeri Perak bermula jam 10.00 pagi dengan berhimpun di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Kemudiannya akan berarak ke Taman Meru, Jelapang, Ipoh. Himpunan akan diadakan di Jalan Pasir Putih. Selepas itu akan kembali semula ke Bukit Chandan dan berhimpun untuk Maghrib di Masjid Bukit Chandan. Pada sebelah malamnya akan diadakan Ceramah Perdana Selamatkan Wang Rakyat.
Walau bagaimanapun, plan terpaksa diubah beberapa kali kerana mendapat gangguan dari FRU. Lebih kurang pukul 12 tengah malam semalam dimaklumkan acara perarakan dari Bukit Chandan ke Taman Meru dibatalkan. Mungkin program telah ditukar ke plan B (agak aje laa), kami yang dari utara diarahkan berkumpul di Hentian Sungai Perak jam 12.00 tengah hari. Setelah makan tengahari terus bergerak ke Masjid Negeri di Ipoh dan bersolat Zohor di sana. Kemudian lebih kurang pukul 3.00 diadakan sedikit taklimat dan kemudiannya bertolak ke Taman Meru Jelapang.
Laluan ke Taman Meru tidak ditetapkan untuk tidak kelihatan seperti konvoi mungkin, kerana diyakini akan terdapat sekatan jalan raya. Ada yang menggunakan jalan melalui depan Medan Kid, ada yang menggunakan Lebuhraya dan ada yang menggunakan Manjoi. Tiba di Markaz PAS Taman Meru kami dapati sekumpulam FRU lebih kurang 10 orang telah sedia menunggu. Kemudiannya kami bergerak ke Lokasi perhimpunan iaitu di sebuah padang tidak jauh dari situ.
Di sana, dihadapan sebuah rumah di penjuru padang, telah sedia sebuah khemah kecil lengkap dengan kerusi set dan sistem pembesar suara. Kami tunggu lagi disitu. Berapa pimpinan BA negeri mengadakan perbincangan dengan Polis. Saya hanya memerhati dari jauh. Hasilnya polis tetap tidak membenarkan program untuk diteruskan.
Lebih kurang pukul 4.00 petang Y.B. Mahfuz Omar tiba dan disambut dengan laungan takbir. Majlis tetap diteruskan dengan dipengerusikan oleh Ketua Pemuda Keadilan Perak, Hanapiah Man. Ucap mula oleh Sdr Mohd Nor Adam, Setiausaha Pemuda BA. Sdr Ezam kemudiannya tiba di tempat himpunan melalui jalan belakang. (tempat himpunan terletak betul-betul di tepi Jalan Besar Jelapang, tapi terlindung dengan sedikit semak.
Selepas itu Sdr Ezam berucap. Antara matlumat baru yang beliau bawa adalah berkenaan Pusat Matrikulasi baru untuk setiap negeri dimana 5 buah telah dibina. Projek itu telah diserahkan kepada MajuJaya Holding (lagi???) tanpa tender dengan harga melebihi 100% harga anggaran JKR. Beliau mendakwa memiliki maklumat lengkap termasuk buku kontrak untuk projek tersebut. Selain dari itu dalam mengulas mengenai pembelian saham MAS beliau mencabar Daim menjawab di Parlimen, siapa sebenarnya yang menetapkan harga pembelian saham tersebut pada RM8.00.
Ucapan seterusnya oleh Ketua Pemuda BA merangkap pengerusi Jawatankuasa Selamatkan Wang Rakyat (JUWARA). Antara lain beliau mengulas mengenai Perbahasan di Parlimen. Y.B. Mahfuz mengajak semua pergi ke Ceramah Bukit Chandan untuk maklumat lanjut. (Sebenarnya saya kurang mengikuti ucapan beliau kerana berbincang sedikit hal dengan Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak).
Majlis kemudiannya bersurai sekitar pukul 6.00 petang. Semasa beredar baru saya perasan anggota FRU telah bertambah dengan trak kecil FRU lebih dari 3 buah ( yg saya perasan). Di luar pula sekurang-kurangnya 2 buah bas merah setia menunggu dan WaterCanon pula juga sedia menanti dihadapan Masjid Meru.
Majlis yang dihadiri anggaran 2000 orang (mungkin tak tepat) berjalan lancar tanpa gangguan FRU. Mungkin mereka menyimpan tenaga untuk ceramah sebelah malam. Seorang sahabat memaklumkan, beliau telah ke tapak ceramah di Bukit Chandan dan didapati FRU sudah sedia berkampung disama dan kata beliau siap dengan kawah sekali (?). Moga-moga ceramah disebelah malam berjalan lancar walaupun permit tidak dikeluarkan dan FRU sudah bersiap sedia. Mulanya Sdr pengerusi majlis memaklumkan program dipindahkan ke sebuah surau berhampiran tetapi kemudiannya memaklumkan ceramah tetap diteruskan ditempat asal tanpa perubahan. (mungkin strategi) Saya terpaksa balik kerana ada urusan dan sambil itu dapat menyediakan laporan ini. (mungkin lain kali dapat rasa "air tu") Di bawah disertakan beberapa gambar yang sempat saya ambil untuk tatapan semua.
Anjuran : Jawatan kuasa Selamatkan Wang Rakyat Pemuda BA
Tarikh : 1 April 2001
Tempat : Taman Meru. Ipoh
Masa : 4.00 - 6.00 petang
Kehadiran : Anggaran 2000 orang termasuk FRU
oleh : Angsa Putih