Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Kafe Siber Arak

Oleh Pimon Patiang

ALOR STAR: Ada pengusaha kafe siber di negeri ini dikesan sengaja mewajibkan pelanggan yang berminat menggunakan Internet, terutama melayari laman web lucah, membeli sekurang-kurangnya satu minuman keras.

Ini kerana apabila mabuk, pelanggan bukan saja akan duduk lebih lama menggunakan di pusat itu tetapi turut membeli lebih banyak minuman keras, sekali gus mendatangkan keuntungan besar kepada mereka. Sasaran pengusaha kafe siber terbabit ialah remaja, termasuk pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Mereka 'dipaksa' membeli sekurang-kurangnya segelas minuman keras jenis bir sebelum dibenar menggunakan perkhidmatan Internet dan melayari laman web mengandungi bahan lucah.

Pemangku Pengerusi Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Yusof Ismail ketika mendedahkan taktik kotor itu, berkata remaja turut dipaksa membayar harga minuman dan caj perkhidmatan sebelum dibenar menggunakannya. "Harga bir itu amat tinggi, iaitu antara RM4 dan RM5 segelas," katanya. Beliau mendakwa menerima maklumat berkenaan daripada orang ramai yang meminta Cake membantu membanteras kegiatan tidak bermoral itu.

Selain itu, difahamkan, ada pusat siber menyediakan pelbagai perkhidmatan yang bercanggah dengan undang-undang, seperti perjudian antara pengguna Internet. Yusof berkata, perjudian 'jack pot' yang membabitkan pertaruhan wang, amat digemari remaja sekitar bandar ini. "Ada remaja yang sanggup mencuri wang untuk bermain judi selain melayari Internet. "Malah, ada antara mereka ketagihan minuman keras yang disyaki mengandungi pil khayal," katanya.

Yusof berkata, jika kegiatan itu tidak dibendung, ia bukan saja membahayakan kesihatan remaja, malah memberi kesan buruk terhadap prestasi pelajaran. Beliau juga mendakwa banyak pusat siber tidak berdaftar di kawasan perumahan di bandar ini menyediakan perkhidmatan filem lucah. Pengusahanya sengaja melewatkan waktu perniagaan sehingga larut malam bagi mengelakkan tindakan pihak berkuasa. Yusof mendakwa Cake menerima 30 aduan mengenai kegiatan berkenaan dan akan memaklumkannya kepada pihak berkuasa supaya tindakan tegas dikenakan terhadap mereka terbabit. Sehubungan itu, beliau berharap gejala berkenaan segera dibendung bagi menjamin generasi muda bersih daripada kegiatan negatif.


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 18 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com