KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Harga-harga saham di Bursa Saham
Kuala Lumpur (BSKL) pada umumnya dijangka terus jatuh minggu depan.
Seorang peniaga berkata, pelabur-pelabur secara khusus akan merasa
bimbang terhadap pendapatan korporat yang menurun bagi tempoh suku pertama.
Pendapatan korporat diumumkan dalam dua minggu pertama selepas berakhirnya
setiap suku tahun.
Menurut peniaga itu, pada awal minggu, pasaran mungkin bertahan pada
tahap sekitar 640-650 mata kerana ia dianggap sebagai tahap sokongan kukuh
tetapi ia akan turun selepas itu.
Dari segi teknikal, lantunan akan berlaku sekitar masa ini, tetapi
tekanan jualan ke atas sentimen pasaran yang lemah mungkin terlalu kuat
untuk diserap.
Katanya, pasaran akan turun lebih rendah lagi ke arah tahap sokongan
berikutnya, iaitu pada 615 mata dengan kegiatan sederhana mencari saham
murah yang muncul sekali sekala.
Dalam minggu baru berakhir, langkah-langkah rangsangan yang diumumkan
oleh Perdana Menteri dan Laporan Tahunan 2000 Bank Negara Malaysia tidak
memberi kesan yang banyak kepada pasaran.
Amaran mengenai keuntungan oleh syarikat-syarikat teknologi utama AS
membayangkan penurunan mendadak pertumbuhan yang lebih teruk daripada yang
dijangkakan di AS.
Para penganalisis bimbang bahawa industri teknologi AS yang lembap akan
menjejaskan eksport elektronik tempatan. Eksport elektronik menyumbang
lebih 50 peratus daripada keseluruhan eksport negara.
Minggu ini, Indeks Komposit ditutup 21.79 mata lebih rendah kepada
647.48 dan Indeks Papan Utama turun 4.66 mata kepada 149.15.
Indeks Kewangan jatuh mendadak sebanyak 171.88 mata kepada 4,558.3
manakala Indeks Perusahaan turun 38.50 mata kepada 1,165.9.
Indeks Papan Kedua susut 2.20 mata kepada 107.64. Jumlah dagangan di
papan Utama bagi keseluruhan minggu lalu mengecil kepada 311.683 juta saham
bernilai RM738.297 juta daripada 469.222 juta saham bernilai RM1.109 bilion
pada minggu sebelumnya.
Di Papan Kedua, jumlah dagangan susut kepada 22.781 juta saham bernilai
RM29.608 juta daripada 30.515 juta saham bernilai RM42.758 juta.
Urus niaga langsung meningkat kepada 98.498 juta saham bernilai
RM121.789 juta daripada 38.123 juta saham bernilai RM68.842 juta.
Berjaya Group-waran mendahului senarai kaunter paling cergas dengan
12.423 juta saham diurus niaga diikuti oleh Berjaya Toto (11.454 juta),
Time Engineering-waran 2000/2005 (9.384 juta), Public Bank-asing (9.240
juta), Time Engineering-waran (7.599 juta), Time Engineering (6.563 juta),
Technology Resources (6.382 juta), Timedotcom (5.484 juta) Malaysian
Resources (5.372 juta) dan Amsteel (5.349 juta).
Pada hari Jumaat, waran Berjaya Group turun satu sen kepada 10 sen,
Berjaya Toto jatuh enam sen kepada RM3.50, Time Engineering-waran 2000/2005
susut tiga sen kepada 46 sen, Public Bank-asing jatuh empat sen kepada
RM3.38, Time Engineering-waran turun dua sen kepada 71 sen, Time
Engineering tidak berubah pada RM1.49, Technology Resources jatuh 12 sen
kepada RM1.80, Timedotcom susut satu sen kepada RM2.08, Malaysian Resources
turun satu sen kepada RM1.10 dan Amsteel berkurangan satu sen kepada 18
sen.
Berdasarkan sektor, barangan pengguna yang diniagakan di Papan Utama
menyaksikan 12.591 juta saham diurus niaga, barangan industri 26.465 juta,
pembinaan 19.735 juta, dagangan/perkhidmatan 81.329 juta, teknologi 5.438
juta, prasarana 8.408 juta, kewangan 53.147 juta, hotel 841,600, harta
23.235 juta, perladangan 7.458 juta, perlombongan 1.014 juta, amanah
394,000, dana tertutup 362,000, pinjaman 8.516 juta dan TSR/waran 62.746
juta.
Di Bursa Urus Niaga Sekuriti dan Sebutharga Automasi Malaysia (Mesdaq),
Indeks Komposit Mesdaq tidak berubah pada 71.32.
Kotra Industries Bhd, yang merupakan satu-satunya kaunter komponen yang
diniagakan kekal pada 80 sen dengan 9,800 saham diniagakan, bernilai
RM8,006.
Kaunter-kaunter lain, Supercomal Technologies Bhd dan Intelligent Edge
Bhd tidak diniagakan sepanjang minggu ini.
Kedua-duanya tidak berganjak daripada harga sebelumnya, masing-masing
pada RM2.10 dan RM1.00. -- BERNAMA