Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Pemimpin Umno menghina hukum Allah Mengapa Majlis Fatwa tak bertindak?

KUALA LUMPUR - Presiden PAS, Ustaz Fadzil Noor mempersoalkan mengapa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak bertindak terhadap pemimpin-pemimpin Umno yang menghina hukum Allah?

Pemimpin Umno, termasuk Dr Mahathir, pernah berkata kalau dilaksanakan hukum Islam, bagaimana kita nak gunakan batu-bata untuk membuat jalanraya? Ada pula yang berkata kalau nak makan sup tangan, pergilah ke Kelantan.

"Ucapan pemimpin Umno itu bukan sahaja memaki-hamun PAS, tetapi memaki-hamun Islam, memaki-hamun hukum Allah. Mengapa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak ambil tindakan?" Tanya Ustaz Fadzil ketika berucap di majlis sambutan Maulidur Rasul, di Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Isnin lalu.

"Ambil ucapan pemimpin-pemimpin Umno di peringkat tertinggi sampai ke bawah, sejak zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj sampai kepada Dr Mahathir. Jangan hanya merakam ucapan pemimpin PAS. Mesti juga merakam ucapan pemimpin Umno.

"Apa ucapan Dr Mahathir umpamanya, terhadap Islam? Mengapa Majlis Fatwa tidak sibuk dengan ucapan-ucapan yang ternyata jelas menghina hukum-hukum Allah, dan mempersenda sunnah Nabi?" Tanya beliau lagi.

Ustaz Fadzil berkata demikian sebagai reaksi terhadap sikap pemimpin-pemimpin Umno yang tidak habis-habis menimbulkan isu 'amanat Haji Hadi', yang berdasarkan kepada ucapan Ustaz Hadi Awang pada tahun 1981.

Berikutan keputusan Majlis Raja-raja membenarkan penggunaan perkataan Islam pada nama-nama pertubuhan, 22 Mac, pemimpin-pemimpin Umno seperti berebut-rebut memberi amaran kepada PAS supaya jangan menyalahgunakan perkataan Islam dan menyelewengkan ajaran Islam.

Dalam sentimen itu, Naib Presiden Umno Datuk Najib Razak menggesa Presiden PAS supaya mengeluarkan kenyataan rasmi menolak apa yang dikatakan 'amanat Haji Hadi' itu, dan membuat kenyataan bahawa orang-orang Umno tidak kafir.

"Bukan kerja kita untuk mengkafirkan orang," jawab Fadzil, yang ditujukan kepada Najib. "Dia minta saya buat satu kenyataan rasmi kepada semua orang PAS, beritahu mereka orang Umno itu tak kafir. Itu bukan kerja PAS. Kita pun tak tahu dia kafirkah tak kafir. Mana kita tahu?

"Kita tidak tahu seseorang itu kafir atau tidak, kecuali yang menzahirkan kekufurannya. Yang tidak menzahirkan kekufurannya hanya Allah saja yang tahu. Kita diminta tolong beritahu yang Umno itu tak kafir. Mana kita tahu! Dia yang patut beritahu orang-orang dia - kamu ni Islam, kamu tak kafir. Bukan kita."

Fadzil juga menjelaskan bahawa soal kafir-mengkafir ada kaedahnya. "Kita tidak mengkafirkan seseorang Islam yang beriqrar dengan dua kalimah syahadah dan beramal dengan tuntutan dua kalimah itu, kecuali orang itu sendiri mengatakan dia kafir."

Perkara itu pernah berlaku dalam satu pilihanraya kecil di Kelantan - kata Presiden PAS itu lagi. "Muslimat kita pergi ke satu kampung, wanita Umno di situ kata - 'jangan datanglah ke rumah kami, kami kafir'. Mereka sendiri kata mereka kafir."

Terhadap keghairahan pihak-pihak tertentu memberi amaran kepada PAS supaya jangan menyelewengkan ajaran Islam, Fadzil menegaskan:

"Memang kita tidak pernah menyelewengkan ajaran Islam. Tunjukkan, mana penyelewengan yang kita lakukan? Oh, itu amanat Ustaz Abdul Hadi. Saya tidak pernah dengar mana-mana pihak, mufti atau majlis agama, yang mengeluarkan kenyataan bahawa ucapan Ustaz Abdul Hadi itu salah dari segi Islam."

Fadzil menyarankan pihak-pihak yang mengatakan 'amanat Haji Hadi' itu salah dari segi Islam, supaya berjumpa dan berbincang sendiri dengan Ustaz Hadi, berdasarkan kepada ilmu Islam.

Mengenai kejadian sembahyang dua imam, yang juga ghairah dibangkitkan oleh pihak Umno, Ustaz Fadzil menjelaskan:

"Islam meletakkan kaedah. Ada hukum-hakamnya. Seseorang yang nak menjadi imam disyaratkan, yang pertama, orang yang paling fasih membaca Quran. Kalau imam yang dilantik ialah orang yang tak fasih membaca Quran, jika ada makmum yang lebih fasih daripada imam itu, maka sembahyangnya tidak sah. Itu hukum feqh."

Selanjutnya beliau menjelaskan: "Demikian juga imam yang tak disukai oleh jamaah, tak boleh menjadi imam. Tiga golongan yang Rasulullah s.a.w sebut tidak diangkat sembahyang mereka walaupun sejengkal daripada kepala, di antaranya ialah orang yang menjadi imam kepada satu kumpulan yang kumpulan itu tidak suka kepada dia.

"Sebab itu imam sejak dahulunya dipilih oleh anak qariah - di kalangan anak qariah yang fasih, yang faham hukum-hakam. Ini tidak! Pilih orang Umno, jadi imam - reti tak reti, tak kira."


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 1 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.bizaddress.net/ dan Email : dppkd@hotmail.com