Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Rakyat Malaysia dirompak 2 kali

Oleh : Hishamuddin Rais

Konsep negara sebagai pemilik harta sering difitnah sebagai agenda ekonomi sosialis atau komunis. Di Thailand, pernah disebarkan sekeping poster di kampung-kampung yang menunjukkan cangkul berantai yang dikelilingi oleh petani. Petani ini diperlihatkan terpaksa menunggu giliran untuk menggunakan cangkul yang dimiliki oleh negara.

Di Malaysia, ada guru-guru agama yang telah menunjukkan lima jari tangan kepada orang kampung sebagai bukti ‘sahih’ bahawa jari-jari manusia itu ada yang tinggi dan rendah. Maka tidak mungkin manusia dapat disama-ratakan agihan ekonominya. Mesti ada yang kaya dan ada yang miskin.

Semua ini contoh propaganda hodoh lagi jahat untuk menentang konsep bahawa harta milik negara. Propaganda jahat dalam era Perang Dingin ini disebarkan oleh pelbagai kerajaan, junta tentera atau diktator yang didukung oleh kaum pemodal tempatan dan kapitalis antarabangsa. Semuanya bertujuan memperdayakan orang ramai daripada memahami konsep ekonomi bahawa harta dimiliki oleh negara.

Fakta sebenarnya tidak pernah diberitahu kepada orang ramai; tentang bagaimana dalam era itu juga, banyak negara - di Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Latin - yang menjalankan dasar ekonomi bahawa harta dimiliki daulah.

Di Malaysia sendiri, air, api, hospital, pos, telefon, radio, sekolah dan jalan raya adalah contoh-cotoh harta yang dimiliki oleh negara. Justeru konsep bahawa harta dimiliki oleh negara bukan lagi asing atau ganjil atau ekonomi sosialis dan komunis.

Konsep ini bererti harta-harta ini dipunyai dan kendalikan oleh kerajaan. Kerajaan pula adalah para perwakilan yang dipilih oleh orang ramai. Justeru itu, harta-harta kerajaan dengan sendirinya menjadi harta milik orang ramai. Syarikat, tanah ladang, lombong, loji, pubrik atau bank kepunyaaan negara ini diurus sama seperti pengurusan syarikat swasta.

Pegawai dan kakitangan yang cekap dan bertanggungjawab diamanahkan mengendalikan syarikat-syarikat ini. Segala modal dan pelaburan dikendalikan oleh kerajaan. Mungkin ada sebahagian yang berkongsi milik dengan syarikat swasta tetapi saham terbesar tetap milik kerajaan.

Keuntungan daripada syarikat dan harta milik kerajaan ini akan masuk ke kantung khazanah negara. Wang yang terkumpul ini akhirnya masuk dalam belanjawan negara untuk membiayai sekolah, universiti, hospital, rumah kebajikan atau khidmat sosial yang perlukan rakyat.

Ekonomi ‘lucah’, rompakan terancang

Bagi syarikat atau harta yang dimiliki swasta, segala keuntungan itu dimasukkan ke saku tuan punya syarikat atau poket para pemegang saham. Syarikat swasta bergerak atas hukum dan syarat ekonomi kapitalis - membuat keuntungan sebanyak mungkin dengan kos yang paling rendah.

Syarikat swasta tidak bertanggungjawab terhadap kebajikan orang ramai. Kebajikan yang dijaga oleh syarikat swasta hanyalah kebajikan anggota lembaga pengarah dan pemegang saham.

Syarikat swasta juga tidak akan melakukan pelaburan, penerokaan baru atau merintis jalan baru jika projek-projek ini dilihat tidak mendatangkan keuntungan maksima. Syarikat swasta tidak mempunyai akidah untuk memberikan nilai khidmat sosial. Khidmat kesejahteraan untuk orang ramai bukan falsafah dan lunas-lunas ekonomi kapitalis.

Di sinilah perbezaan induk yang memisahkan dasar ekonomi bahawa harta itu milik negara dengan harta milik swasta yang dikendalikan oleh syarikat persendirian.

Perkembangan ekonomi yang berlaku kebelakangan ini - apabila kerajaan melalui badan-badan berkanun mengambil alih harta-harta swasta seperti syarikat penerbangan MAS, sistem keretapi aliran laju ringan, syarikat dotCom atau sistem pembentungan Indah Water - bukanlah dasar ekonomi negara memiliki harta.

Sebenarnya amalan ekonomi itu adalah sistem ekonomi ‘lucah’ dan rompakan terancang yang dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional!

Rompakan ini dapat dilakukan kerana wujud beberapa syarat politik dan hukum sosial dalam negara kita, antaranya sistem politik kuku besi yang telah menutup perbincangkan terbuka di kalangan rakyat agar mereka tidak dapat mempersoalkan garis dan arah ekonomi negara.

Suasana politik ini juga telah memandulkan peranan parlimen sebagai dewan wacana yang mewakili sentimen orang ramai. Wakil-wakil parti pembangkang dalam parlimen hanya dapat ‘berkokok’ tetapi gagal menangkap ‘penyamun’ yang sedang merompak harta rakyat.

Wakil-wakil rakyat Barisan Alternatif di parlimen sedang dilihat oleh rakyat sebagai kerang busuk - mulut terbuka - tetapi tidak mengigit!

Sebenarnya rompakan harta rakyat ini telah berlaku dua kali. Pertama apabila kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Mahathir Mohamad menjalankan dasar penswastaan. Perkhidmatan air, api, telefon, sistem pos, keretapi, kapalterbang dan bermacam-macam lagi harta kerajaan (baca: rakyat) telah diswastakan.

Kucing lahir anak unta!

Apakah rasional harta-harta ini diswastakan? Syarikat-syarikat itu berjalan lancar dan meraih keuntungan, sambil memberikan khidmat sosial. Keuntungan syarikat awam ini dimasukkan ke tabung khazanah negara. Justeru rakyat tidak perlu membeli saham kerana harta-harta ini milik bersama.

Justeru, dasar penswastaan hanyalah tipu helah Barisan Nasional dan kroni-kroni Mahathir untuk merompak harta rakyat. Hujah-hujah yang menuduh harta-harta atau syarikat kerajaan ini menggalakkan rasuah, pembaziran atau tidak eknomik adalah tipu-helah untuk mengabui mata orang ramai. Akhirnya harta-harta rakyat ini dibahagikan di kalangan segelintir mereka yang berkuasa.

Harta-harta yang telah diswastakan ini dipecah-pecahkan untuk dijual. Taukeh dan individu pemilik syarikat ini mendadak menjadi kaya-raya. Segala keuntungan masuk ke kantung dan saku mereka sesama sendiri. Kalau gejala ini bukan rompakan, ini bererti seniman P Ramlee masih hidup lagi.

Tetapi tiba-tiba dua tahun kebelakangan, kita diberitahu syarikat-syarikat ini wajib dibeli kembali oleh kerajaan. Hujah yang disebarkan ialah syarikat-syarikat ini adalah strategik dan mesti diselamatkan daripada tangan orang asing. Kenapa hujah ini tidak digunakan ketika syarikat ini ingin diswastakan dahulu?

Kenapa hari ini disedari bahawa syarikat-syarikat ini wajib dimiliki kerajaan bagi membolehkan syarikat memberikan khidmat sosial?

Jelas, rakyat cuba ditipu sekali lagi untuk rompakan kali kedua. Rompakan kedua ini mempunyai serampang dua mata. Dalam kes klasik pembelian kembali syarikat MAS. Kerajaan telah membeli saham syarikat itu dengan harga RM8 seunit walau harga di pasaran hanya lebih RM3. Sekali lagi kroni Mahathir mendapat habuan.

Jika ini juga tidak diterima sebagai rompakan, maka kucing nampaknya boleh juga melahirkan seekor anak unta!

Apa yang harus dilakukan ialah menghormati tuntutan rakyat iaitu semua punca ekonomi yang melibatkan kesejahteraan orang ramai wajib dimiliki negara. Syarikat-syarikat yang berkepentingan awam seperti air, api, telefon, sistem pengangkutan, hospital, sekolah dan sebagainya wajib diambil alih dan dijadikan harta negara. Kerana semua ini adalah harta yang strategik.

Negara, di mana-mana pun di dunia ini adalah pemilik harta yang terbesar. Negara akan terus menjadi pelabur dan majikan yang terbesar. Ahli-ahli politik dan birokrat yang dilantik hanya diberi amanah untuk menguruskan harta dan bukan untuk merompak harta rakyat.

........................................
Petikan Malaysiakini.com


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 1 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.bizaddress.net/ dan Email : dppkd@hotmail.com