Forum Utama
Pilihanraya Umum 2004: Rakyat Kelantan Pilih Umno Semula?
Oleh MOHAMAD IQBAL
DALAM suasana krisis, sudah ada yang memikirkan apakah mampu PAS bertahan lagi, setelah tiga penggal berkuasa di Kelantan.
Seperti biasa, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimamkan sembahyang sunat hajat, mengadu kepada Allah swt, mengenai apa yang dihadapinya. Memang betul, Allahlah tempat mengadu yang paling tepat. Tidak usah mengadu dengan sesiapa di dunia ini, kerana masing-masing mempunyai kepentingan sendiri, jauh sekali untuk membantu menyelesaikan masalah.
Dalam soal politik Kelantan, ada pihak yang sudah berkira-kira untuk menangguk di air yang keruh, menumpang mencari peluang, kalau-kalau ia boleh membantu Umno kembali berkuasa.
Dalam pilihan raya umum 1990, PAS bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 (S46). PAS dapat menyapu bersih semua kerusi. Kemudiannya, dua wakil rakyat S46 di Dun Sungai Pinang dan Limbongan bertindak melompat ke Umno. Dua Ahli Parlimen S46 bagi kawasan Machang dan Pasir Mas juga bertindak serupa.
Dari beberapa perkiraan, pilihan raya umum 1995, Umno terbayang dapat kembali berkuasa kerana tujuh kawasan yang mereka menangi dan dua kerusi Parlimen iaitu Peringat dan Jeli.
Masing-masing sudah memasang angan-angan, ada yang teringin hendak menjadi Menteri Kewangan dan ada juga yang bercita-cita hendak menjadi Naib Presiden Umno. Malangnya, pilihan raya umum 1999, Umno kecundang lagi walaupun S46 sudah kembali ke pangkuan.
Itulah sebabnya, ada yang mengatakan S46 bukan sebuah parti tetapi hanya reban yang sudah ketiadaan ayam. Ahli-ahli S46 tidak mengikut jejak Tengku Razaeigh Hamzah sebaliknya berdamping dengan PAS dan KeADILan. Antaranya Abdul Razak Abas yang terpilih bertanding di Parlimen Gua Musang menentang Tengku Razaleigh.
Di Johor, Kahar Ahmad, bekas Adun S46 kawasan Parit Bakar turut tidak kembali ke pangkuan Umno, sebaliknya mengetuai KeADILan ketika menghadapi pilihan raya umum yang lalu.
Jadi, dalam menghadapi krisis MB-Sultan Kelantan ini, mungkinkah PAS akan bermasalah untuk mempertahankan kerajaan negeri? Jawapannya tentu tidak kerana rakyat Kelantan jelas tidak akan kembali memilih Umno kerana mereka lebih yakin dengan PAS dan parti-parti yang Pas restui.
Dulu, bila PAS berada di dalam BN, mereka mengundi dacing. Bila PAS bersama-sama S46, mereka memilih S46 walaupun lambang parti itu cukup baru di mata mereka. Terbaru, bila KeADILan bersama-sama PAS, mereka mengundi KeADILan, walaupun parti itu belum pun setahun usianya.
Dengan lain perkataan, mereka menolak dacing. Mereka bukan tidak biasa dengan lambang dacing sebab selain dari poster pilihan raya, kampit baja subsidi juga berlambangkan dacing.
Namun, bila diminta mengundi, mereka tidak menggunakan kebiasaan sebaliknya parti yang mereka yakini bersih, jauh dari nepotisme dan korupsi.
Dari segi politiknya, rakyat Kelantan jauh lebih terkehadapan dari rakyat negeri-negeri lain. Media massa mengambarkan Kelantan negeri di mana penyakit taun mudah merebak. Media massa juga mengambarkan kekotoran cukup ketara di Kelantan tetapi rakyat Kelantan tetap berpendirian, mereka pilih PAS dan parti-parti yang PAS restui.
Umno boleh sahaja menganjurkan perhimpunan, mendakwa kononnya mahu mempertahankan institusi kesultanan Melayu. Orang Melayu khususnya Melayu Kelantan tidak mungkin boleh diperbodohkan. Mereka masih ingat Umno cukup teruk menginjak-injak institusi raja-raja Melayu dalam krisis Sultan Johor dengan Gomez dahulu. Sampai ada yang menabalkan seorang Raja lain sebagai Sultan Kelantan.
Memang betul, ingatan orang Melayu cukup singkat tetapi ia tidak sesingkat ingatan orang-orang Umno. Tengku Razaleigh boleh sahaja memaafkan Dr. Mahathir Mohamad tetapi bolehkah ahli-ahli di peringkat bawahan melupakan begitu sahaja persengketaan mereka hingga tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46.
Rakyat Terengganu mengambil masa sembilan tahun untuk menjejak langkah rakyat Kelantan. Ada kemungkinan, pilihan raya umum 2004, Pahang, Selangor dan Kedah pula mungkin akan mengikut jejak Kelantan dan Terengganu. Tidak ada sebab mengapa rakyat Kelantan mahu menolak PAS hanya kerana krisis MB-Sultan.
Mungkin ada rakyat Kelantan yang simpati dengan Sultan tetapi disebabkan Sultan tidak bertanding dalam pilihan raya, maka mereka akan memilih PAS dan tidak mungkin beralih kepada menyokong BN.
Dato' Annuar Musa, Dato' Mustapa Mohamed dan Dato' Ibrahim Ali tewas kepada calon-calon KeADILan dan PAS yang tidak ternama. Ini satu lagi bukti bahawa pengundi (rakyat) Kelantan bukan memilih personality, sebaliknya memilih parti. Setakat ini, mereka masih kental dengan PAS.
Kalau kita masih ingat, dalam pilihan raya umum yang lalu, media massa memainkan cerita kononnya ramai ahli-ahli KeADILan kembali ke pangkuan Umno. Bukan sedikit belanja digunakan untuk menyarungkan mereka dengan topi BN dan t-shirt dacing tetapi kesannya kepada keputusan pilihan raya jelas, rakyat tidak makan lagi dengan psi war seperti itu.
Lebih jauh lagi, ada yang cuba membuat aduan kononnya ada penipuan dalam pengundian. Kononnya ada unsur-unsur rasuah dan membeli undi. Namun, mahkamah memutuskan ia tidak relevan dan dibuang begitu sahaja.
Apakah jika diadakan pilihan raya semula, BN akan menang di kawasan-kawasan yang sudah dimenangi PAS? Jauh semanggang dari api. Rakyat Kelantan selesa dengan PAS. Mereka selesa dengan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan mereka tidak kisah sangat soal air bersih, kerana selama-lamanya mereka hidup begitu.
Mereka tahu, bukan Kelantan sahaja bermasalah soal air tetapi ia turut melanda Johor, Kedah dan Selangor.