Bila Pak Lah menyebut parti Umno bukan parti assobiyyah, kita pun hairan juga adakah Pak Lah yang lulusan Pengajian Islam Universiti Malaya itu faham apa itu assobiyyah. Assobiyyah adalah satu fahaman yang berasaskan bangsa, atau qaumiyyah. Ia juga berasaskan puak sekalipun ia bersifat zalim. Tidak dapat dinafikan bahawa Umno adalah sebuah parti yang bersifat perkauman, yang berasaskan kepada bangsa, iaitu bangsa Melayu.
Umpamanya dalam Dasar Ekonomi Baru, kerajaan yang diwakili Umno berusaha untuk mencapai sasaran 30% penyertaan Bumiputra (Melayu) dalam sektor industri. Walaupun ia adalah satu dasar yang bertepatan kerana orang Melayu ketinggalan dalam bidang ekonomi akibat dasar penjajahan, tetapi Umno menjadi assobiyyah kerana ia hanya mementingkan kaum Melayu sahaja, tidak mengambil kira kaum lain yang senasib dengan orang Melayu, seperti kaum India dan China yang miskin macam orang Melayu.
Begitu juga dalam bidang pendidikan, mereka menetapkan kuota untuk kaum Melayu dan bukan Melayu. Semuanya adalah berasaskan perkauman. Bahkan kebanyakan kakitangan kerajaan adalah kaum Melayu. Semua ini menampakkan bahawa kerajaan/Umno adalah memperjuangkan nasib rakyatnya melalui perkauman. Hal ini berbeza jika Islam dijadikan dasar politik dan pemerintahan. Samada soal pendidikan, soal pengagihan kekayaan, peluang pekerjaan dan sebagainya, kriteria yang diambil adalah adakah seseorang itu mempunyai sifat dan akhlak yang baik sebagai seorang Islam. Tetapi ini bukan bermakna nasib kaum bukan Islam diabaikan. Bahkan jika orang-orang bukan Islam itu lebih baik, Islam sedia bertolak ansur dan memberikan peluang dan jawatan penting terhadap warganegara bukan Muslim. Banyak contoh-contoh dalam sejarah Islam di mana doktor peribadi,para pegawai dan penjawat awam adalah terdiri dari warga negara bukan Muslim
Bahkan dalam satu keadaan Nabi pernah bersabda, 'Barangsiapa yang menyakiti ahli zimmah adalah dia menyakiti aku." Ini bermakna Nabi menyamatarafkan warga ahli zimmah dan warga Muslim dalam negara Islam.
Jadi sebenarnya siapakah yang bersifat perkauman yang dimaksudkan oleh Paklah itu. Nama Umno itu sendiri adalah melambangkan perkauman, jadi di mana buktinya Umno bukan parti perkauman dan berjuang atas dasar bukan perkauman? Apakah peristiwa 13 Mei berlaku bukan atas dasar perkauman? Tambahan pula kebelakangan ini Umno bukan sahaja menolong kaumnya sahaja, tetapi khusus segala pertolongan dan bantuan adalah samada seseorang itu kroni atau tidak. Amalan kronisme adalah sesuatu yang tidak adil dan ia termasuk dalam pengertian assobiyyah yang zalim. Ketika Nabi ditanya apa itu assobiyyah ya Rasulallah? Nabi menjawab iaitu "menolong kaummu atas dasar yang zalim. " Inilah assobiyyah yang paling teruk, iaitu menolong kaum sendiri dengan mengenepikan hak orang lain.
Sesunguhnya Umnolah parti perkauman, bukan Pas, bukan Keadilan dan bukan PRM. Parti-parti tersebut terbuka kepada semua kaum dan ia boleh dipimpin oleh sesiapa sahaja mengikut dasar sesuatu parti itu, dan kesemuanya tidak menjadikan kaum sebagai asas pertimbangan dalam membuat sessuatu dasar atau keputusan.
Masihkah Paklah tidak faham apa itu assobiyyah?
AlKundangi,
18.4.2001