MENYEDARI bahawa suara rakyat adalah suara keramat dan rakyat adalah penentu masa depan negara kita;
MENGINSAFI bahawa sistem yang menghormati kebebasan suara rakyat dan hak asasi manusia adalah teras penting dalam menegakkan keadilan dan kebenaran;
MEMPERAKUI bahawa keharmonian kaum, penyatuan rakyat dan perpaduan negara adalah tanggungjawab bersama semua lapisan masyarakat dalam kerangka perjuangan mempertahankan hak asasi, menegakkan keadilan, mengekalkan keamanan dan menyuburkan kebebasan rakyat dalam negara kita;
MEMAHAMI bahawa keadaan negara kini kian parah dengan sistem pemerintahan yang tanpa segan silu bertindak mencabuli hak asasi dan kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan memusnahkan kewibawaan pelbagai institusi masyarakat serta menjerumuskan negara ke arah pemerintahan diktator, yang justeru itu merangsangkan rakyat memperjuangkan reformasi terhadap dasar-dasar pemerintahan negara;
MAKA kami warganegara Malaysia yang mewakili pelbagai lapisan rakyat dan badan-badan bukan kerajaan dengan ini mengemukakan Memorandum Rakyat 14 April 2001 yang mencakupi 10 perkara asas kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) seperti berikut:
1. Jaminkan Kebebasan Bersuara. Kami mendesak semua bentuk sekatan terhadap hak kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat dimansuhkan.
2. Jaminkan Hak Berhimpun. Kami mendesak semua bentuk sekatan terhadap hak rakyat berhimpun secara aman dimansuhkan.
3. Jaminkan Kebebasan Media. Kami mendesak semua bentuk halangan dan sekatan terhadap kebebasan media cetak dan eletronik dimansuhkan.
4. Pelihara Kebebasan Kehakiman. Kami menggesa usaha berkesan dilakukan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kebebasan badan kehakiman dengan memastikan perlantikan hakim-hakim yang berwibawa, menghentikan semua pendakwaan dan penghukuman terpilih serta membebaskan mereka yang telah dianiaya dengan sertamerta.
5. Martabatkan Sosio-Ekonomi Rakyat Tertindas. Kami mendesak usaha bersungguh-sungguh dilakukan untuk membantu dan membangunkan rakyat tertindas yang ketinggalan, yang diketepikan dan yang dipinggirkan selama ini dan dimartabatkan pembangunan sosio-ekonomi mereka secara adil dan saksama tanpa diskriminasi dalam apa jua bentuk dari segi ras keturunan, warna kulit, jantina, bahasa, agama, mazhab, budaya, wilayah dan fahaman politik.
6. Hapuskan Faham Perkauman dan Diskriminasi Kaum. Kami menggesa langkah pemulihan berkesan dilakukan segera bagi menangani permasalahan perkauman dan diskriminasi kaum di Malaysia dan memulakan proses rundingan menyeluruh melibatkan semua parti dan sektor ke arah penghapusan fahaman perkauman dan diskriminasi kaum.
7. Mansuhkan Undang-Undang Zalim. Kami mendesak semua bentuk perundangan yang zalim dan mencabuli hak asasi secara nyata seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri , Akta Darurat dan Ordinan Darurat yang membenarkan tangkapan dan tahanan tanpa bicara dimansuhkan, dan mendesak Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan, Akta Polis, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Kesatuan Sekerja dan Akta Universiti dan Kolej Universiti dimansuhkan atau dipinda mana-mana peruntukan yang mencabuli kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.
8. Perakui Konvenan Hak Asasi Antarabangsa. Kami mendesak semua konvenan antarabangsa dan ketetapan hak asasi Bangsa-Bangsa Bersatu diperakui dan dimeterai oleh Kerajaan Malaysia demi memastikan semua undang-undang dalam negara ini menepati dan sejajar dengan piawaian hak asasi manusia sejagat.
9. Siasat Rasuah, Kronisme dan Nepotisme. Kami menggesa segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang merangkumi amalan rasuah, kronisme dan nepotisme disiasat, didedahkan dan diperbetulkan melalui peranan institusi penyiasatan dan pendakwaan seperti Badan Pencegah Rasuah dan Jabatan Peguam Negara yang berkhidmat dengan lebih berwibawa dan bebas demi kepentingan rakyat dan negara.
10. Siasat Kepincangan Polis. Kami menggesa langkah penyiasatan bebas dan terbuka diambil untuk menanggani kelemahan dan kepincangan institusi polis dalam isu-isu keganasan polis dan kegagalan polis bertindak secara adil dan saksama dalam mengendalikan aduan-aduan mengenai jenayah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, amalan rasuah, kronisme dan nepotisme khasnya yang melibatkan pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan.
PERTAHANKAN HAK ASASI
Memorandum Rakyat 14 April 2001 ini dikemukakan dengan pengesahan sokongan daripada pertubuhan-pertubuhan berikut: