31 Mac - Kangar: Seramai 74 orang peneroka Felcra Lubok Sireh, Perlis telah memfailkan writ saman terhadap Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, Kerajaan Negeri Perlis dan Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) di Mahkamah Tinggi Kangar hari ini.
Plaintif yang diwakili oleh seorang peguam terkemuka dari Pulau Pinang antara lain menuntut supaya pembayaran dividen yang diterima mereka semenjak 1995 diteruskan sebagaimana biasa. Pembayaran dividen yang dibuat berdasarkan hasil tanaman getah yang dibuat melalui Koperasi Peserta Rancangan sebanyak RM1100.00 telah dihentikan semenjak awal 1999. Sehingga November 1999 seramai 135 peserta telah dinafikan daripada menerima pembayaran tersebut.
Menurut jurucakap Jawatankuasa Bertindak Peneroka Felcra Lubok Sireh, pertemuan mereka dengan Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim, pada 10 Februari, 2000 untuk meminta penjelasan mengenai sebab-sebab pemberhentian pembayaran dividen ini tidak berhasil. Apa yang diandaikan oleh para peneroka bahawa pemberhentian ini bermotif politik adalah benar apabila Shahidan Kassim menggambarkan bahawa pembayaran dividen ini dibuat dengan mengutamakan penyokong-penyokong Umno / BN dan sebagai hukuman kepada peneroka yang tidak menyokong Umno / BN.
Felcra Lubok Sireh terletak di kawasan Parlimen Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato' Azmi Khalid. PAS memang telah lama bertapak di sini dan dengan tertubuhnya cawangan Parti Keadilan Nasional di sini Umno semakin tenat. Pada pilihanraya umum yang lalu, Dato' Azmi Khalid hanya menang tipis ke atas calon Parti Keadilan Nasional, Hj Anuar Tahir yang juga Setiausaha Agong parti berkenaan.
Keadaan menjadi lebih parah apabila pada 27 Jun, 2000 mereka yang dinafikan hak menerima dividen ini disingkir pula daripada menjadi ahli Koperasi Peserta Rancangan. Surat yang ditandatangani oleh Pengerusi koperasi itu bertajuk "Terhenti Menjadi Anggota Koperasi" itu antara lain tertulis, "Dimaklumkan, memandangkan nama tuan / puan telah tidak tersenarai sebagai peserta rancangan yang sah (tidak memiliki pegangan saham ladang) di bawah Skim Tanah Rancangan Felcra Lubok Sireh oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, maka dengan sendirinya tuan / puan bukan lagi sebagai peserta Rancangan Felcra dan dengan itu tuan / puan juga tidak layak menjadi anggota dalam koperasi ini".
Apa yang dipersoalkan ialah, pada tahun 1987 sehingga 1994, para peserta telah menandatangani secara berperingkat dengan Felcra Berhad satu perjanjian yang menerima mereka yang menandatangai perjanjian tersebut sebagai peserta skim rancangan dan menjamin pemberian hak milik saham ladang setelah selesai proses pembayaran balik yang akan dipotong dari keuntungan skim.
Mereka yang telah dicicirkan antaranya adalah bekas Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Peserta dan semasa penyingkiran dibuat mereka masih lagi menjadi ahli lembaga pengarahnya. Antara mereka juga adalah penerima Anugerah Peneroka Jaya Negeri Perlis dan pernah memegang jawatan Pengurus Ekskutif Projek dan yang lain pula beberapa tahun sebagai Ahli Jawatankuasa Kemajuan Peserta (JKKP). Diskriminasi politik ketara apabila diteliti bahawa mereka yang disingkir adalah penyokong atau ahli PAS dan KeADILan.
Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis, melalui Lajnah Pertanian telah menganjurkan dialog dengan semua peneroka yang disingkir. Pengerusi Lajnah Petani, Peneroka dan Nelayan Dewan Pemuda PAS Pusat, Sdr Mazlan Aliman telah hadir dan menyampaikan ucapan serta menjawab pelbagai soalan daripada peserta. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah YB Ust Zolkarnain Abidin, ADUN Santan, Sdr Hisharuddin Hassan, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perlis dan Sdr Md Radzi Mustafa, Ketua Dewan Pemuada PAS Kawasan Padang Besar.
Pemuda PAS Perlis bercadang untuk meneruskan dialog seperti ini bukan sekadar dengan peserta Felcra Lubuk Sireh tetapi juga peneroka Felda Chuping, Felda Mata Ayer dan Felda Rimba Mas di masa-masa akan datang.
Pemuda PAS Perlis