Peristiwa 'Taman Medan' jelas membuktikan bahawa hubungan kaum di negara
kita belum mencapai tahap yang memuaskan. Oleh kerana keganasan boleh
tercetus dengan begitu mudah akibat ketegangan kaum, kita harus
mengambil langkah-langkah yang menyeluruh dan berkesan bertujuan
mempertingkatkan persefahaman kaum.
Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Barisan Alternatif yang berlangsung pada
29 Mac 2001, cadangan dari Biro Perpaduan Nasional Barisan Alternatif
untuk mewujudkan satu Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN)
dibincang dan diterima sebulat suara. Konsep dan ciri-ciri Majlis ini
terkandung dalam Lampiran A.
Adalah diharapkan bahawa kerajaan akan memberi pertimbangan yang wajar
kepada cadangan ini. Sekiranya Kerajaan memberi respons yang positif
sebelum tamatnya sidang Parlimen ini pada 3 Mei 2001, suatu rang
undang-undang Majlis Perundingan Perpaduan Nasional boleh dibentang
dalam sesi Parlimen akan datang -- Insya'Allah. BA menggesa kerajaan
membuktikan iltizamnya dalam menangani masalah perkauman dengan
menubuhkan MPPN yang bukan sahaja akan mencadangkan penyelesaian kepada
perselisihan etnik yang akan timbul dari masa ke semasa, bahkan juga
akan menumpu pada perubahan-perubahan jangka panjang yang perlu untuk
memperbaiki hubungan kaum di negara kita.
Dalam beberapa minggu yang akan datang ini, ahli-ahli Parlimen BA akan
terus membahas ide MPPN dalam konteks perpaduan nasional. Ini
menunjukkan bahawa perpaduan nasional merupakan agenda utama bagi BA.
Itulah sebabnya BA sanggup dan sedia menterjemahkan cadangan MPPN dalam
bentuk konkrit selepas 3 Mei 2001 --- sekiranya kerajaan enggan
melaksanakannya.
YB Dato Haji Fadzil Mohd. Noor
Ketua Pembangkang Parlimen
Merangkap Presiden PAS
2 April 2001
*****************************************************************************
Lampiran A
Majlis Perundingan Perpaduan Nasional
Malaysia adalah salah sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang
etnik yang kompleks di dunia. Isu-isu yang berkaitan dengan integrasi
etnik dan perpaduan nasional saling mempengaruhinya dan mempunyai kesan
ke atas setiap lapangan hidup masyarakat. Isu-isu ini akan mempengaruhi
secara langsung atau tidak langsung ke atas kehidupan semua rakyat
Malaysia.
Sungguhpun begitu tidak ada saluran dalam masyarakat hari ini yang
membenarkan rakyat Malaysia daripada latar belakang etnik yang berbeza
untuk bertukar pandangan tentang isu-isu berkaitan perpaduan nasional
dan mengemukakan pendapat mereka kepada kerajaan dan Parlimen. Cadangan
tentang penubuhan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional ini bertujuan
untuk memenuhi kekosongan tersebut. Majlis ini mengandungi beberapa
ciri-ciri berikut:
Status
Majlis ini perlu ditubuhkan melalui Akta Parlimen. Ia akan mempunyai
status dan kuasa sebagai sebuah suruhanjaya berperlembagaan. Ia juga
bebas daripada pengawalan Eksekutif. Keanggotaannya akan dilantik oleh
yang Di Pertuan Agong. Majlis ini akan bertanggungjawab secara langsung
kepada Parlimen.
Kuasa
Cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Majlis mengenai pelbagai isu
berkaitan dengan perpaduan nasional akan dikemukakan ke Parlimen untuk
pertimbangan. Audit tahunannya mengenai perpaduan nasional akan
dibincangkan dan diperbahaskan di Parlimen.
Tujuannya
1) Berbincang bagi mewujudkan falsafah dan pendekatan kepada integrasi
etnik dan perpaduan yang dapat diterima oleh semua.
2) Mencadangkan penyelesaian kepada perselisihan etnik yang akan timbul
dari masa ke semasa.
3) Mencadangkan cara-cara bagi mengurangkan polarisasi etnik dalam
sektor-sektor tertentu dalam masyarakat.
4) Mencadangkan penyelesaian jangka panjang kepada masalah-masalah etnik
yang berkaitan dengan bahasa, agama, kebudayaan, pendidikan dan ekonomi.
5) Mencadangkan langkah-langkah tegas yang bertujuan untuk menghapuskan
salah tanggapan dan prejudis etnik di kalangan masyarakat.
6) Mencadangkan perubahan dalam pelbagai kehidupan rakyat yang mempunyai
kesan secara langsung atau tidak langsung kepada hubungan etnik.
7) Menyampaikan kepada Parlimen odit tahunan tentang hubungan etnik yang
akan menunjukkan keadaan sebenar perpaduan nasional ketika itu,
berasaskan data yang diperolehi daripada peristiwa-peristiwa pergaduhan
etnik, bilangan program antara-etnik di peringkat komuniti dan
sebagainya.
Komposisi
Majlis ini akan terdiri daripada wakil-wakil dari badan-badan agama,
pertubuhan kebudayaan, parti-parti politik, kumpulan-kumpulan
berkepentingan, kumpulan media, kesatuan sekerja, kesatuan majikan,
persatuan perniagaan dan industri, pertubuhan-pertubuhan di luar bandar,
badan-badan profesional, pertubuhan pendidikan, pertubuhan seni dan
lain-lain badan bukan kerajaan. Ia juga akan disertai oleh
individu-individu yang peranannya berkait rapat dengan perpaduan
nasional. Sebaik-baiknya jumlah keanggotaannya tidak melebihi 100
orang.
Prosedur
Majlis akan bermesyuarat sekurang-kurangnya tiga kali setahun.
Perbincangan akan dibuat secara tertutup bagi membolehkan
anggota-anggotanya berbincang segala aspek isu hubungan etnik dengan
bebas. Sungguhpun begitu, dari masa ke semasa, Majlis akan mengeluarkan
kenyataan-kenyataan dan laporan tentang kerjanya – selain daripada
cadangan-cadangannya yang dikemukakan kepada Parlimen yang sudah pasti
akan dapat diperolehi oleh orang ramai.
Majlis Pimpinan Barisan Alternatif
30 Mac 2001