Assalamualaikum...
Saudara Pengarang,
Pertama-tamanya, Al-Fatihah dihadiahkan kepada Allahyarhamah Hjh Mak Yan yang telah kembali kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT mencucurkan rahmatNya keatasnya dan menganugerahkannya Syurga Firdaus.
Bagi sesiapa yang mempunyai ibubapa sudah pasti dapat merasa kesedihan dan kepiluan yang dialami saudara Anwar Ibrahim dan keluarganya.
Benar Mak Yan meninggal dunia dalam keadaan terkilan. Terkilan kerana mengenangkan nasib anaknya, Anwar, yang difitnah. Terkilan kerana anaknya bukan sahaja difitnah bahkan tidak mendapat pengadilan yang sempurna. Mak Yan meninggal dunia dalam keadaan hatinya risau memikirkan anaknya yang sedang menanggung kesakitan yang serius dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan. Dalam keadaan kerisauan begini, Mak Yan meninggal dunia, terkilan, kerana tidak dapat bertentang mata dengan Anwar, untuk kali terakhir.
Cuba kita bayangkan, sehingga ke saat-saat akhirnya pun, anaknya yang sedang dirisaukannya masih tidak kunjung tiba lantaran karenah diktator keparat. Ketika hayatnya hanya tinggal satu setengah jam sahaja lagi, barulah pihak diktator keparat membenarkan anaknya menemani beliau. Itupun dengan pelbagai syarat yang tidak munasabah dan tidak berperikemanusiaan!!!
Sewaktu hayat Mak Yan masih ada, mungkin ada nasihat-nasihat terakhir yang ingin disampaikan kepada Anwar. Tetapi sayang, hajatnya tidak kesampaian. Anwar hanya tiba ketika beliau sudah tidak sedarkan diri lagi (sakaratul maut). Cuba bayangkan perasaan Anwar pada waktu itu. Betapa pilunya hati beliau melihat ibunya sudah tidak bermaya. Mungkin Anwar juga ada kata-kata terakhir untuk ibunya. Tetapi peluang ini telah disekat oleh pihak diktator keparat. Apalah salahnya pihak diktator keparat membenarkan Anwar berjumpa dengan ibunya sejak dari awal lagi. Bukankah ini satu pertemuan terakhir. Kenapakah hendak dihalang pertemuan terakhir antara ibu dengan anak. Apakah kemudaratan yang mungkin timbul jika pertemuan ibu-anak ini dibenarkan awal-awal lagi. Letupan nukleur ke?, gempa bumi ke? puting beliung ke?
Sabar Anwar. Biarpun Ibumu telah meninggal dunia dengan hati yang penuh risau. Percayalah, Ibumu pergi dengan hati yang tenang, redha dan bangga terhadapmu. Bangga kerana mempunyai anak, seorang pejuang Agama, Bangsa dan Negara. Percayalah, terkilan Ibumu bukan terkilan sebarangan. Tetapi terkilan yang mengundang Rahmat dan Barakah Allah SWT keatas beliau dan seluruh pencinta keadilan. Semoga Allah sentiasa mencucuri RahmatNya keatas ibumu dan menempatkannya dalam Syurga Firdaus. Amin.
Insya'Allah, kami akan sentiasa menyokong perjuanganmu, Anwar.
shahrastani@hotmail.com