Assalamualaikum…
Saudara Pengarang,
Tajuk diatas bukanlah bertujuan untuk menghina raja-raja melayu kita. Sebaliknya, ia menggambarkan kekecewaan kita sebagai rakyat Malaysia yang merdeka. Sering saya tertanya-tanya apakah yang sudah terjadi dengan raja-raja kita ini. Mereka seolah-olah 'pekak', 'bisu' dan 'tuli' dengan senario politik Malaysia yang semakin hari semakin meruncing. Apakah mereka tidak menyedari betapa 'terseksanya' rakyat sekarang. Kadar inflasi tinggi, kos hidup meningkat, pengangguran bercambah, ekonomi meruncing dan kezaliman regim Mahathir terhadap rakyat, khususnya Anwar, kian parah. Pendek kata, rakyat marhain semakin tertekan hidup mereka. Kita ingin bertanya raja-raja kita, setakat ini apakah sumbangan mereka untuk meringankan bebanan rakyat?
Raja-raja kita sekarang sudah kehilangan "bisa". "Bisa" yang dimaksudkan di sini ialah kuasa dan keprihatinan mereka dalam membela rakyat. Benar, kekebalan mereka telah dicabut. Benar, telah diluluskan oleh regim Mahathir bahawa mereka tidak boleh campur tangan dalam urusan kerajaan. Mereka adalah raja berperlembagaan. Tetapi, ini tidak bermakna mereka boleh memejam mata daripada melihat penyelewengan yang sedang berlaku. Tegasnya, raja-raja kita tahu bahawa Mahathir dan regimnya telah menyeleweng dan penyelewengan regim ini telah menjangkiti badan-badan kerajaan. Raja-raja kita tahu bahawa Islam dipersendakan, ulama dihina, rasuah berleluasa, Anwar dianiaya, hasil titik peluh rakyat dirompak, hutang dimiliknegarakan dan rakyat dizalimi. Raja-raja kita tahu semua ini, tetapi setakat ini apakah tindakan mereka?
Yang kita lihat setakat ini mereka hanya pandai baca "skrip" yang telah disediakan untuk merasmikan sesuatu majlis. Yang kita lihat setakat ini ada diantara mereka yang turut tumpang sekaki dengan Mahathir merompak khazanah negara dan duit rakyat. Pendek kata, mereka tidak peduli lagi tentang rakyat. Mereka hanya pandai bermain golf, bersukaria dengan isteri, melancong ke luar negara dan menghabiskan duit rakyat. Asalkan kepentingan mereka tidak terancam, asalkan tembolok mereka penuh, mereka tidak akan risau. Sikap sebegini memang digemari Mahathir. Mahathir tahu selagi raja-raja ini diuliti kemewahan, selagi itulah dia bebas untuk membuat apa saja kepada rakyat.
Hasilnya, lihatlah sekarang. Mahathir bebas untuk buat apa saja. Mahathir kebal. Undang-undang tidak dapat menyentuhnya. Mahathir is above the law. Kuasa Mahathir boleh menjatuhkan sesiapa sahaja dan ini termasuk juga raja-raja. Jangan sesiapa berani mencabar Mahathir. Kelak di I.S.A. kannya. Kelak dikerahkan kuncu-kuncunya untuk melebamkan mata pencabar-pencabarnya. Kuasa Mahathir boleh mencetuskan bail-out berbillion-billion ringgit. Bail-out khas untuk kuncu-kuncunya yang setia. Bail-out yang boleh menjahanamkan negara dan mempapakedanakan rakyat. Mahathir yakin raja-raja tidak akan berani menyentuhnya sebab dia sudah mencabut "bisa" mereka.
Sekali lagi ingin saya jelaskan, tulisan ini bukanlah bertujuan untuk menghina atau membuat tuduhan palsu terhadap raja-raja. Sebaliknya, sebagai luahan rasa kekecewaan yang amat sangat daripada rakyat marhain terhadap raja-raja. Apa lagi yang boleh rakyat harapkan kepada raja-raja kalau mereka masih bersikap lewa dan tidak peka dengan kegawatan rakyat. Jangan salahkan rakyat jika pada suatu hari nanti, rakyat mula menolak sistem raja berpelembagaan. Jangan salahkan rakyat jika rakyat mahu sistem ini dimansuhkan terus. Apa guna rakyat menyanjung sistem raja berpelembagaan sedangkan ketika rakyat teraniaya tidak ada seorang pun raja yang tampil membantu mereka.
Shahrastani.