Berita Arwah Mak Yan menghembuskan nafas mengejutkan
seluruh masyarakat Malaysia dan Islam United Kingdom
dan Eire. Pemergian Arwah Mak Yan di saat-saat Sdr.
Anwar bergelut dengan masalah kesihatan yang meruncing
menambahkan lagi tragedi kepada episod kezaliman
manusia yang direstui pimpinan negara serta rakyat
Malaysia yang menutup mata.
Kami di Birmingham berasa begitu terkejut dan
tersentak seketika. Apa lagi yang diperlukan untuk
membuka mata rakyat Malaysia bahawa isu kezaliman ke
atas Sdr. Anwar ini bukan isu peribadi Sdr. Anwar
semata-mata. Ia merupakan satu tragedi yang mengajak
kita membuat pendirian dan bangun menegaskan yang hak
menentang yang batil.
Allah SWT tidak dengan sewenang-wenangnya menguji
sesuatu bangsa itu kalau bukan ada hikmah di
sebaliknya. Marilah kita sama-sama sedar dan insaf
bahawa apabila kita berdiam diri dan mengamalkan sikap
tidak endah – kezaliman akan berterusan dan kita akan
menjadi sebahagian daripada pihak yang menzalimi
lantaran sikap tidak endah kita.
Waktu di sekolah dahulu pada setiap kali perhimpunan
mingguan, kami mengucapkan doa di bawah. Saya tidak
pernah merasai kuatnya makna tersebut sehinggalah saya
melihat bagaimana majoriti kita membiarkan sahaja
kezaliman demi kezaliman dilakukan dan kita berdiam
diri sahaja.
Marilah kita sama-sama terus berdoa - di sebalik
tragedi yang merundung keluarga Sdr. Anwar dan rakyat
Malaysia (pemergian kekanda dan ibunda beliau dalam
waktu terdekat ketika beliau dipenjarakan atas fitnah)
– agar Allah SWT menunjukkan kebenaran dan kebatilan
itu dengan sejelas-jelasnya kepada kita; dan
menganugerahkan kekuatan kepada kita untuk berdiri
menuntut kebenaran dan menolak kebatilan.
Masyarakat Malaysia dan Islam di United Kingdom dan
Eire akan mengadakan majlis tahlil kepada Arwah Mak
Yan di Manchester, Leeds, Liverpool, Birmingham,
Bradford, Hull, Newcastle, Lamperter, Dublin dan
Belfast seperti yang dilaporkan di laman Free Anwar
Campaign. Marilah kita sama-sama mengingati kebesaran
Allah SWT dan membuat sedikit amal jariah sebagai
sedekah kepada Arwah Mak Yan dan keluarga Saudara
Anwar – ini sumbangan terkecil yang boleh kita
lakukan.
Doa
Ya Allah!
Kami redha bahawa Engkaulah Tuhan kami, Islam sebagai
agama anutan kami dan Muhammad itu nabi dan Rasul
ikutan kami.
Ya Allah!
Berilah kepada kami kebolehan memahami rahsia sesuatu
sebagaimana yang Engkau berikan kepada orang-orang
yang mencapat martabat Ariffin. Kurniakanlah kepada
kami kefahaman para Anbia dengan berkat kelebihan dan
kemuliaan khatamal-Mursalin.
Ya Allah!
Jadikanlah kami orang yang benar-benar faham dan
mengerti agama kami. Ajarkanlah kami rahsia-rahsia
yang terkandung di dalam ayat-ayat Mu dan tunjukkanlah
kepada kami jalan yang benar dan lurus.
Ya Allah!
Tunjukkanlah kami kebenaran itu dengan
sejelas-jelasnya dan anugerahkanlah kepada kami
kekuatan untuk mengikutinya. Tunjukkanlah kepada kami
kebatilan itu dengan sejelas-jelasnya dan
anugerahkanlah kepada kami kekuatan untuk menjauhinya.
Ya Allah!
Kami memohon perlindungan dengan Mu daripada ilmu yang
tidak berguna, daripada hati yang tidak pernah
khusyuk, daripada mata yang tidak pernah mengalirkan
air mata keinsafan, daripada diri yang tidak kenyang
dan puas menurut tuntutan nafsu dan syahwat serta
daripada doa yang tidak diperkenankan oleh Mu.