Saya ingin merujuk tulisan Akmal Aura yang bertajuk "Seruan untuk pemuda
Kg.Parit Baru" dan berkongsi pendapat dengan beliau.
Saya berpendapat seruan supaya bersama-sama menyertai BA itu patut ditujukan
bukan sahaja kepada golongan muda di Kg.Parit Baru, tetapi juga kepada golongan
muda di daerah Sabak Bernam khususnya, dan di negeri Selangor amnya.
Sebabnya ialah, di kampung-kampung di daerah Sabak Bernam (bukan sahaja di
Kg.Parit Baru) masih ramai golongan muda yang saya anggap tidak mempunyai
"kesedaran politik" atau mempunyai kesedaran politik yang rendah.
Maksudnya ialah mereka masih terus menyokong UMNO dan kerajaan BN yang ada
sekarang, walaupun mereka tahu ( atau sengaja buat-buat tak tahu) pemimpin
UMNO telah melakukan kezaliman, salah guna kuasa, rasuah, kronisme dan
sebagainya.
Kalau kita bercakap dengan mereka tentang kegagalan atau ketidakmampuan kerajaan
yang ada sekarang membela kehidupan rakyat kampung pula, mereka akan berkata ,
bahawa kalau parti lain memerintah pun bukan boleh berbuat apa-apa; serupa
juga.
Jadi kata mereka, buat apa kita susah-susah nak menukar kerajaan yang ada
sekarang . Kita kekalkan kerajaan yang ada sekarang, lagi baik!
Pendapat dan pendirian seperti ini memang agak mengecewakan, kerana lahir dari
golongan muda yang agak berpelajaran juga,. Golongan yang masih berpendirian
seperti ini terutamanya terdiri daripada mereka yang bekerja makan gaji dengan
kerajaan, misalnya yang bekerja sebagai polis pangkat rendah.
Agaknya orang-orang muda atau separuh muda yang bekerja sebagai polis pangkat
rendah ini memang sudah "diajar dan dilatih" begitu lama supaya sentiasa taat
setia dengan membuta tuli kepada ketua mereka dan kerajaan, tanpa mahu merenung
sejenak bahawa dengan berbuat demikian, mereka sebenarnya turut menyokong
sebuah kerajaan yang zalim dan korup.
Mujurlah kini sebahagian anak muda dari daerah Sabak Bernam (seperti Akmal
Aura dan rakan-rakan beliau) tidak lagi bersikap demikian.
Saya harap seruan Akmal Aura akan ada kesannya, dan akan semakin ramai golongan
muda dari daerah Sabak Bernam yang mempunyai kesedaran politik yang tinggi, dan
membawa angin reformasi di daerah tersebut.
Wali al-Fatah
31 Mac 2001