Soalan: Saya masih belum dapat menjelaskan hutang saya dengan seseorang sedangkan saya hendak berangkat menunaikan haji. Tuan, bagaimana dengan ibadat haji saya?
Ibadat haji yang ditunaikan itu adalah sah dalam keadaan kita mempunyai niat ataupun ingatan ingin membayar hutang tersebut sekira bertemu dengan orang yang memberi hutang. Keadaan ini sama juga dengan hutang berjadual. Umpamanya hutang beli rumah. Ibadat haji sah sebab belum tiba masa pembayaran hutang seperti yang dijanjikan. Mengikut janji hutang perlu dibayar pada Mei sedangkan April adalah tarikh ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji. Perlu diingat bahawa asasnya membayar hutang hendaklah didahulukan.
Soalan: Tuan, bolehkan kita menunaikan ibadat haji dalam keadaan bermewah-mewah?
Bermewah-mewah adalah bercanggah dengan konsep hamba yang mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tetapi tidak bermakna bermewah-mewah ketika ibadat haji menyebabkan ibadat haji tidak sah. Selain itu hendaklah kita ingat bahawa berkeadaan sedemikian nantinya boleh menyentuh perasaan mereka yang tidak mampu.
Soalan: Bagaimana pendapat tuan berhubung dengan berniaga sambil beribadat haji?
Haji yang ditunaikan itu tidak batal bahkan boleh berniaga sambil mengerjakan haji. Tetapi jangan sampai perniagaan itu boleh menjejaskan perlaksanan ibadat haji.
Soalan: Apakah yang perlu saya lakukan apabila wang yang saya mahu gunakan untuk ibadat haji bercampur antara halal dengan haram?
Sesaorang itu hendaklah menunggu hingga sampai yakin wang untuk mengerjakan ibadat haji adalah wang yang halal mengikut kaedah hukum syara’.
Soalan: Tuan, bagaimana saya mahu mendapat haji mabrur?
Seseorang itu hendaklah mengerjakan segala apa yang dituntut dan menjauhkan diri dari perkara yang dilarang serta melengkapkannya dengan amalan-amalan sunat.