Forum Utama
Campurtangan Istana: Jalan Sempit dan Bengkok Lagi Bahaya!
Muqqaddimah: Krisis antara Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan Baginda Sultan Kelantan nampak reda. Tapi, ia ibarat api dalam sekam. Di luar tampak tenang, di dalam panas membara. Krisis atau konflik ini, tidak mudah tamat begitu sahaja. Tok Guru sudah melancarkan perang dengan Istana. Pindaan Perlembagaan akan dilakukan. Bila? Apa pandangan mereka di luar Kelantan terhadap isu ini. Ikuti interbiu Editor, Tarmizi Mohd Jam bersama Naib Presiden PRM yang juga seorang peguam, Sdra. Hassan Karim dalam menelusuri isu penuh kontroversi yang sentiasa menggegarkan Kelantan.
Tarmizi Mohd Jam: Kerajaan Negeri pimpinan PAS sedang bergelut dengan Istana Kelantan. Apa komen Sdra.?
Hassan Karim: Hal ini bukan perkara baru. Semasa Kelantan di bawah kerajaan BN dulu, hal yang sama juga berlaku.
Pada pengamatan Sdra. apakah isu sebenar yang sedang menyelubungi Istana dan Kerajaan Negeri?
Isu pingat itu, hanya secara kebetulan saja. Kata bidalan Melayu, retak mencari belah. Isu yang lebih besar ialah soal saingan kuasa. Persaingan kuasa antara Istana dan Eksekutif, sering muncul dari semasa ke semasa. Ada dua ciri utama dalam sistem kenegaraan di Malaysia, termasuk di Kelantan. Pertama negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Kedua, sistem raja berperlembagaan. Kedua-duanya seperti kembar Siam, berjalan serentak dan seiring. Kadang-kadang berlaku geseran dan suhu akan panas.
Dato Nik Aziz tidak menjawab surat tunjuk sebab yang diberi oleh Istana Kelantan. Dari sudut perundangannya bagaimana dan apa kesannya tidak menjawab surat berkenaan dalam konteks politik Kelantan?
Di bawah sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, kedudukan raja hanya sebagai simbol. Kuasa eksekutif terletak pada Ahli Jemaah Mesyuarat Negeri yang diketuai oleh Menteri Besar Kelantan. Istana tidak wajar malah tidak manis menghantar apapun jua yang boleh disifatkan sebagai surat tunjuk sebab kepada Menteri Besar. Dalam ursan pentadbiran kenegerian, raja sebenarnya bertindak atas nasihat Menteri Besar. Tindakan tidak menjawab surat berkenaan adalah tepat dari segi perundagan perlembagaan. Jika Tuan Guru Dato Nik Aziz selaku Menteri Besar dan Kerajaan Kelantan mempunyai sokongan politik yang kuat dari rakyat, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.
Apa yang Sdra. dapat respon tentang sikap yang ditunjukkan oleh Dewan Pemuda PAS Kelantan yang begitu lantang mengkritik Istana Kelantan dan memberi "kata dua"?
Istana Kelantan mesti sedar. Semasa Kelantan di bawah Umno dan BN dulu, Krisis politik antara Istana dan Kerajaan Negeri juga berlaku. Malah sikap Umno dan BN dulu terhadap Istana lebih biadap, menghina dan memalukan raja. Kini Istana berkrisis pula dengan kerajaan Pas. Jika hal semacam ini berterusan, lama kelamaan pengaruh dan saki baki kuasa serta kasih sayang serta hormat rakyat kepada istana juga akan terhakis. Istana dilihat sebagai duri dalam daging pentadbiran kerajaan negeri, tak kira parti politik mana yang berkuasa. Sikap Menteri Besar Kelantan masih berhikmah dan santun terhadap Istana. Sikap Pemuda Pas agak lantang. Ini sesuatu yang normal. Mungkin orang-orang muda sekarang sudah bosan dengan gelagat Istana yang semacam cacing naik ke mata.
Bukankah kata dua yang diketengahkan oleh Pemuda PAS Kelantan itu mempunyai kecenderungan manghasut dan boleh dikaitkan di bawah Seksyen 3 (1a) Akta Hasutan 1948?
Pendirian Pemuda PAS jelas bahawa mereka mahu menyedarkan semua pihak termasuk Istana bahawa sistem raja di Malaysia ini, termasuk di Kelantan bukannya sistem raja berkuasa mutlak. Jika Yang di-Pertuan Agong tiada kuasa mutlak, mana mungkin Sultan Kelantan, raja bagi sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia boleh ada kuasa mutlak. Undang-Undang Tubuh negeri Kelantan tidak boleh bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Pendirian Pemuda Pas iu bukan menghasut.
Bagaimana Sdra. melihat keperluan Pindaan Perlembagaan Negeri bagi menghadkan campurtangan Istana dalam pentadbiran?
Ini memang wajar. Jika tidak dilakukan sekarang, krisis dengan Istana ini akan berterusan. Jalan yang sempit dan bengkok lagi bahaya, perlu diluruskan.
Tidakkah Sdra. nampak, pindaan ini akan menyulitkan lagi hubungan Kerajaan Negeri dengan Istana.
Kerajaan Negeri ditubuhkan atas mandat rakyat. Kerajaan Negeri bertanggungjawab terhadap rakyat. Hubungan yang perlu dijaga ialah hubungan Kerajaan Negeri dengan rakyat. Jika Kerajaan negeri bersikap adil, telus apa yang hendak dilakukannya, dan rakyat nampak pindaan perlembagaan itu baik, tidak perlu gusar sangat. Malah pihak Istana perlu sedar akan batas. Istana hanya simbol. Kuasa negeri pada hari ini terletak pada tangan rakyat, bukan Istana. Malah, untuk kelangsungan Istana, ia seharusnya menjaga hubungan baik dengan Kerajaan Negeri, bukan sebaliknya.
Perlukan Pindaan Perlembagaan dibuat masa ini..
Ini masa yang baik, sebelum terlambat. Ketika Kerajaan Negeri pimpinan Pas kuat dan disokong rakyat, pindaan ini wajar dilakukan. Yang penting ia perlu dilakukan bukan kerana soal pingat tetapi soal pentadbiran negeri yang lebih luas. Rakyat perlu dijelaskan.
Dari segi perundangannya, wajarkah Sultan menarik balik darjah kebesaran yang telah dianugerahkan kepada seseorang.
Hak untuk memberi pingat adalah antara lain kuasa dan keistimewaan yang masih ada pada Sultan. Soal pingat bukan soal besar. Pingat-pingat ini saki baki sistem feudal lama. Dalam Islam tak ada soal-soal beri pingat. Dalam Islam, sesiapa yang berbuat baik, Allah janjikan pahala. Begitu juga sebaliknya. Jadi, Apabila Sultan tarik balik pingat kepada seorang dua Exco Negeri, dan dirasakan tindakan itu tidak adil dan tidak manis, maka elok dan wajar sekiranya semua Exco dan pemimpin PAS memulangkan semula semua pingat masing-masing ke Istana.
Nampaknya ini satu strategi politik untuk PAS pinda Perlembagaan Negeri.
Dalam sejarah di mana negeri dan negara sekalipun, pihak Istana akan terhakis kuasa dan pengaruhnya atas kesilapan dan tindakannya yang tidak adil dan melawan arus. Oleh kerana negeri ini negara berperlembagaan, soal pindaan perlembagaan adalah langkah paling wajar untuk mengatasi sesuatu masalah perundangan dari berulang-ulang.
Apakah langkah meminda Perlembagaan Negeri ini menguntungkan rakyat.
Pindaan ke atas perlembagaan negeri Kelantan adalah menguntungkan rakyat. Jika kerajaan negeri dapat mentadbir negeri dengan lebih berkesan tanpa ganggu gugat pihak Istana, tentu sekali itu baik untuk rakyat umum.
Secara umumnya, apakah pendirian Sdra. dengan langkah yang di ambil Mahathir melucutkan imuniti Raja-Raja Melayu beberapa tahun dulu?
Mahathir melucutkan imuniti Raja-Raja Melayu tetapi sebaliknya imuniti itu diberi kepadanya. Dia sekarang yang jadi seolah-olah raja. Lihat sahaja dalam kes perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Lihat bagaimana Mahkamah memberi imuniti kepada Mahathir supaya tidak dibawa ke mahkamah sebagai saksi. Raja terhakis kuasa, tetapi Mahathir menghimpun kuasa untuk dirinya. Ini saya tidak setuju. Sepatutnya setiap pindaan perlembagaan yang melibatkan penyusunan kuasa antara institusi-institusi
dalam sistem kenegaran, kuasa sepatutnya mesti diserahkan kepada rakyat bukan kepada Perdana Menteri.
Bagaimana Sdra. melihat kekuatan pengaruh Sultan di kalangan rakyat Kelantan dalam mempengaruhi undi pilihanraya?
Metos berbeza dengan realiti. Jika Istana bersikap tidak adil dan dilihat oleh rakyat hanya mementingkan kedudukan sendiri, ia tidak mempunyai kekuatan apa-apa untuk mempengaruhi undi pilihanraya. Malah proksi yang menyokong Istana akan kalah. Kedudukan Istana hanya akan berpengaruh sekiranya Kerajaan Negeri dilihat tidak adil, dan soal pindaan perlembagaan ini hanya kerana soal pingat.
Kalau Tan Sri Mohamad Yaakob tumbang atas isu "hubungan kurang selesa" dengan Istana, bagaimana agaknya Sdra. Melihat perkembangan ini di Kelantan sekarang dibawah kepimpinan Dato Nik Aziz?
Perkara utama ialah penjelasan kepada rakyat Kelantan penting. Soal pindaan perlembagaan bukan soal pingat. Tetapi soal yang lebih besar. Soal campur tangan istana dalam pentadbiran kerajaan negeri. Kerajaan BN pimpinan Mohamad Yaakob tidak popular kerana rasuah, menyalahgunakan kuasa, boros, tunduk keterlaluan kepada Mahathir. Selain itu Umno Kelantan yang berpecah ketika itu. Sekiranya Kerajaan Kelantan pimpinan Dato Nik Aziz terus bersikap telus, adil kepada semua, tidak boros, berhemat, sukar untuk Umno dan BN menggugat. Umno Kelantan juga kini masih berpecah. Ia seperti kapal tak ada nakhoda, tak ada haluan. Sebaliknya Pas disokong oleh parti-parti lain dalam Barisan Alternatif.
Mengapa agaknya Umno mengambil sikap tunggu dan lihat?
Agak sukar untuk Umno hendak menentang pindaan perlembagaan di Kelantan, sebab dulu ia yang pertama mencuba untuk membuat pindaan. Tetapi tidak berjaya. Jika Pas berjaya melakukan pindaan itu, Umno akan berasa lega. Ia bermimpi untuk berkuasa semula. Pada ketika itu tidaklah susah lagi dengan pihak Istana. Dalam Umno di Kelantan pun, yang kuat menyokong Istana bukan semua. Kecuali seorang dua, terutama Tengku Razaleigh Hamzah. Yang lain-lain ada rekod masing-masing mencaci cerca pihak Istana.