Oleh Husam Musa
Orang kampung yang bertindak balas kerana marahkan polis menghentikan ceramah pada malam itu? Mana mereka tahu polis akan bertindak menghentikan ceramah? Jika mereka tidak tahu, bagaimana mereka polis bersedia dengan lastik, asid dan api yang cukup kuat untuk menyalakan kanvas trak polis?
Kemungkinan kedua ialah para ‘petugas’ PAS yang sudah mengagak polis akan bertindak menghentikan ceramah dan tindakbalas mereka ialah untuk melepaskan geram dan marahkan polis. Polis perlukan bukti di luar keraguan untuk mengesahkan perkara ini. Bukti dari polis yang profesional dan tidak berat sebelah.
Atau peristiwa ini dilakukan oleh ‘perancang-perancang’ yang diatur oleh ‘musuh’ PAS dengan sengaja bagi tujuan politik tertentu?
Kemungkinan pertama adalah tipis. Kemungkinan kedua memerlukan pembuktian. Kemungkinan ketiga tidak boleh ditolak sama sekali. Ahli strategi kuno Cina ada mengatakan, orang yang mendapat manfaat terbanyak dari sesuatu kejadian adalah pihak yang paling disyaki mengatur kejadian itu.
Siapa yang mendapat manfaat politik dari peristiwa ini? Laporan akhbar memetik kenyataan ‘burung kakak tua’ dari seluruh negara dengan nada yang sama : PAS sudah melampau, PAS patut diharamkan, ini bukti PAS ganas, PAS patut tidak dibenarkan berceramah sama sekali. Nyatalah, lawan PAS mendapat keuntungan dari kejadian ini.
Jika trak dibakar dan yang untungnya adalah UMNO, adakah PAS akan melakukan perbuatan sebodoh itu? Orang yang berang boleh lakukan apa sahaja, mungkin itu hujah mereka.
Bukti-bukti sepintas adalah sukar untuk menunjukkan perbuatan ini boleh dilakukan begitu mudah, samada ‘pengganas’ itu berang atau tidak.
Peristiwa bermula dengan lepasan gas pemedih mata. Bagi mangsa gas pemedih mata, yang pertama dalam fikiran mereka ialah menyelamatkan diri dari kelemasan dan kecemasan itu, sebelum ingatkan api untuk membakar dan asid dan lastik. Apa lagi, letrik dipadamkan dan seluruh kawasan gelap.
Mereka mungkin berhujah, pengganas ini tidak berada di kawasan yang disembur dengan gas pemedih mata. Mereka bertindak membakar trak bila keadaan kelam kabut.
Di mana trak diletakkan? Di luar kawalan anggota polis? Dalam kawalan? Katakan di luar kawalan. Bagaimana polis boleh membenarkan trak mereka tidak dikawal? Adakah sesuatu tidak kena dengan latihan mereka sehingga mereka boleh membiarkan trak tidak dikawal?
Apakah bahan yang digunakan untuk membakar kain kanvas trak tersebut? Mancis api? Kertas surat khabar? Mengapa pembakar itu tidak dihalang? Atau ada pembakar upahan mengambil kesempatan?
Polis harus memberikan penerangan terperinci bagaimana kejadian ini boleh berlaku. Polis harus tampil mengemukakan penjelasan menyeluruh yang memuaskan dan bukan penjelasan ala Bollywood.
Sebelum penjelasan terperinci diperolehi, tidak wajar menuding jari tidak tentu arah dan mensabitkan PAS sebagai pihak yang bersalah.
Lebih-lebih lagi integriti polis tidaklah terlalu utuh. Kenyataan polis kadangkala boleh dipertikaikan. Bukankah bekas Ketua Polis menyatakan DSAI adalah ‘safe and sound’ di bawah jagaan polis? Bukankah ada perbicaraan di mahkamah di mana saksi tertentu yang ada kaitan dengan DSAI mendakwa mereka didera di bawah tahanan polis? Bukankah kerajaan sendiri menubuhkan Jawatankuasa Siasatan untuk menyiasat kejadian tahanan Afrika boleh terlepas dari tahanan polis? Bukankah polis telah ditegur dalam tindakan mereka menyuraikan demonstrasi aman di Jalan Kebun?
Selain itu, beberapa kejadian seakan sama yang cuba mengaitkan pembangkang telah berlaku satu demi satu. Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya terbakar dan belumpun asap kebakaran tersebut padam, PM telah menuduh ia adalah satu sabotaj. Penyiasatan bomba gagal menemukan bukti sabotaj. Usaha mengaitkan pembangkang gagal.
Peristiwa Sauk juga cuba dikaitkan dengan pembangkang. Malangnya, pada masa itu, rakyat tidak mempercayainya, tidak percaya ia ada kaitan dengan pembangkang.
Cara yang termudah ialah mengaitkan sesuatu peristiwa buruk dengan PAS secara langsung. Peristiwa Kubang Bok ini memenuhi ciri itu. Ia ‘dirancang’ untuk menggunakan jenama Baling - nostalgia kepada Memali yang divideo klipkan di TV sekarang.
Ia melibatkan Tuan Guru Nik Aziz. Tokoh nombor satu PAS yang cuba digambarkan sebagai pencetus kontraversi.
Ia berlaku ketika Dr. Mahathir yang licik dan pandai merancang itu berada di luar negara.
Adakah ini semua kebetulan?
Tidak. Satu pihak tertentu telah merancang. Sebagai badan yang profesional, polis perlu menyiasat semua aspek kejadian ini. Lawan PAS juga tidak harus dikecualikan dari senarai ‘suspect’. Laporan profesional yang terperinci perlu dikemukakan kepada umum.
Bagi meyakinkan lagi semua pihak, Kerajaan harus dengan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan yang bebas bagi mengkaji semua aspek peristiwa ini, termasuk bentuk-bentuk tindakan polis.
Peristiwa ini tidak harus dipandang ringan. Perhatian besar yang telus, bebas dan profesional haruslah diusahakan oleh Kerajaan. Jika tidak, anggapan bahawa wujud kemungkinan ia dirancang oleh ‘konspirator-konspirator’ yang berkeliaran bebas tidak harus ditolak.
Jika Datuk Seri Abdullah Badawi yakin UMNO dan Kerajaan benar, mereka tidak perlu takut dan berdalih untuk membuktikan kebenaran mereka. Suruhanjaya perlu.