Saya telah pertama kali menjejakkan kaki di Desa Hormat sebelum pilihanraya umum 1999 sebagai Pengerusi Lajnah Pekerja & Peneroka Bandar PAS Negeri Selangor dan sejak itu telah berkali-kali bertemu dengan penduduk kampung tersebut.
Oleh itu amatlah menyedihkan bagi saya untuk menjadi saksi kepada keganasan Kerajaan Barisan Nasional merobohkan sebahagian besar dari rumah-rumah di kampung tersebut pada 7 Februari lepas.
Beginilah keadaannya para peneroka bandar di bawah Kerajaan Barisan Nasional. Di zaman Tun Abdul Razak mereka digalakkan berhijrah ke Lembah Kelang tetapi setelah mereka menyumbang kepada pembangunan negara akhirnya mereka dihalau keluar dengan satu penyelesaian yang berat sebelah.
Tidak ada peneroka bandar yang menentang pembangunan dan peningkatan kualiti hidup tetapi Kerajaan Negeri Selangor telah gagal untuk memastikan berlaku keseragaman di dalam penyelesaian masaalah peneroka bandar.
Sebagai kesimpulan, terdapat banyak persoalan-persoalan yang perlu dijawab oleh Kerajaan Negeri Selangor di dalam kejadian di Desa Hormat dan di antaranya adalah :-
1. Penduduk Desa Hormat terpaksa membayar sewa bulanan bagi rumah pangsa sementara mereka di Lembah Subang. Tetapi kenapakah terdapat peneroka-peneroka bandar lain seperti di Ampang yang mendapat penempatan percuma sehingga rumah kos rendah mereka siap dibina ? Mereka diberi pilihan sama ada tinggal di rumah panjang secara percuma atau mencari rumah sewa dengan bayaran sewa ditanggung oleh pemaju.
2. Penduduk Desa Hormat hanya ditawarkan RM 500 untuk berpindah sebelum rumah-rumah mereka dirobohkan dan RM 270 selepas perobohan. Tetapi kenapakah terdapat peneroka-peneroka bandar seperti di Cheras Baru dan Sg. Besi yang dibayar pampasan oleh pemaju ? Benarkah tidak ada pampasan yang diperuntukkan kepada penduduk Desa Hormat ? Jika ada ke mana duit ini pergi ? Dengan perkembangan sedemikian maka tidak hairanlah ada yang menuduh terdapat “orang tengah” yang telah “kenyang”.
3. Alasan bahawa hanya ada pampasan bagi tanah swasta tidak boleh diterima. Mengapakah pemaju-pemaju swasta dapat membayar pampasan beribu-ribu ringgit tetapi Kerajaan Malaysia yang mempunyai aset yang bernilai berbilion-bilion ringgit hanya boleh membayar “duit lori” ?
4. Pihak berkuasa mendakwa tanah yang diambil akan dibina sekolah. Tetapi mengapakah wakil pemaju yang menyelia kerja-kerja perobohan ? Mengapakah wakil-wakil pemaju yang menentukan rumah mana yang hendak dirobohkan ?
5. Mengapakah Dewan KEMAS dan Bilik Gerakan Barisan Nasional tidak dirobohkan pada 7 Februari lepas walaupun ianya berada di dalam kawasan yang hendak diambilalih ? Bukankah jelas berlaku pilihkasih di dalam penguatkuasaan undang-undang ?
6. Mengapakah diteruskan perobohan rumah ketika penduduk sedang memunggah barang-barang mereka walaupun terdapat bahan-bahan yang dipercayai merbahaya seperti bumbung-bumbung yang mungkin mengandungi asbestos sedang dirobohkan ? Adakah nyawa penduduk termasuk kanak-kanak tidak mempunyai harga di sisi MPPJ ?
7. Mengapakah di dalam Buletin Utama TV3 pada 7 Februari gambar-gambar dari Desa Hormat disiarkan tetapi telah dilaporkan sebagai operasi terhadap pendatang haram ? Adakah MPPJ telah memberikan maklumat yang salah kepada TV3 agar tindakan mereka ini tidak dipertikaikan ?
Saya yakin perjuangan sahabat-sahabat kita di Desa Hormat tidak sia-sia. Ianya sekurang-kurangnya akan menjadi isyarat kepada Kerjaan Negeri Selangor supaya tidak memperlekehkan para peneroka bandar. Perjuangan mereka akan dapat memberikan semangat kepada para peneroka bandar di seluruh negara.
Negeri-negeri seperti Selangor telah menetapkan tarikh untuk mencapai “setinggan sifar” tetapi perlu ada penyelesaian yang adil. Saya yakin peneroka bandar bukannya anti pembangunan tetapi hormatilah mereka sebagai rakyat Malaysia yang telah menyumbang kepada pembangunan negara.
Oleh itu saya menyeru kepada semua pimpinan Barisan Alternatif di semua peringkat agar memberikan sokongan kepada sahabat-sahabat kita yang sedang mempertahankan hak mereka. Sokongan saudara-saudara adalah penting untuk memastikan tidak ada lagi penduduk yang dihalau tanpa sebarang penyelesaian. Ziarahilah mereka, turunlah ke akar umbi. Tinggalkan sebentar keselesaan rumah, pejabat, masjid, surau atau markaz saudara-saudara. Sedikit lumpur tidak akan membunuh saudara-saudara.
ISKANDAR A. SAMAD
10 Februari 2002
iskandar_samad@hotmail.com