KALAU sesiapa terbaca satu berita dalam Utusan Malaysia (baca Utusan Meloya) bertarikh Isnin 25 Februari 2002 halaman 9, bertajuk Geran Bantu pembangunan komuniti, tentu ada yang perasan "sesuatu yang pelik" dalam berita berkenaan.
Khususnya orang-orang Umno, mereka pasti terlihat foto Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Dato' Dr. Siti Zaharah Sulaiman sedang menyampaikan sesuatu kepada orang kampong, berdiri di sebelahnya ialah bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato' Annuar Musa yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan.
Dr. Siti Zaharah dan Annuar Musa turut menghadiri majlis korban Puteri Umno Negeri Kelantan di rumah Bendahari Umno Bahagian Pasir Putih, Dato' Suhaimi Yaakob, di Kampung Nering dekat Pasir Putih.
Apa yang pelik?
Ketika heboh orang ramai bercakap soal penyelewengan PPRT, Annuar Musa pernah tampil memberi pelbagai penjelasan. Antara penjelasan yang diberikan termasuklah hubungannya dengan Suhaimi Yaakob sudah terputus lama kerana Suhaimi dianggap "makan tuan" dan mengkhianati Annuar.
Suhaimi adalah bekas Setiausaha Akhbar kepada Annuar ketika Annuar menjadi Menteri Belia dan Sukan, Malaysia. Kini Suhaimi adalah Presiden Unimaya, salah sebuah syarikat yang mendapat kontrak membekalkan komputer melalui skim KWSP-pembelian dari BSN. Disebabkan kegagalan dan penipuan Unimaya, maka kontrak KWSP-BSN dibatalkan kerajaan ekoran komplen/sungutan pembeli yang tidak berpuashati kerana kelewatan membekalkannya.
Orang-orang Umno selama-lamanya percaya yang hubungan Annuar dengan Suhaimi sudah terputus. Berkerat rotan berpatah arang, seperti kata Annuar kalau bercerita di merata tempat. Namun, bangkai gajah manakan boleh ditutup dengan tudung saji. Akhirnya, terdedah juga siapa mereka berdua. Rakan kongsi yang cukup arif perangai masing-masing, sama-sama kaki perempuan, sama-sama kaki songlap wang rakyat melalui kontrak-kontrak kerajaan.
Hari ini, Annuar Musa sedang berhempas pulas membersihkan namanya di kawasan Parlimen Peringat kononnya dia bersih dari dakwaan terlibat dalam penyelewengan wang PPRT berjumlah RM40 juta.
Annuar turut menganjurkan Konvensyen Kemiskinan 2002 bagi membincangkan bagaimana seharusnya rakyat termiskin dibantu kerajaan. Khabarnya bukan main hebat dia bercakap dalam soal-soal mahu membela rakyat termiskin tetapi sewaktu dia menjadi Menteri yang bertanggungjawab dalam soal kemiskinan sejak 1993 hingga pilihanraya 1999, RM40 juta wang rakyat termiskin lesap. Ini belum dikira berapa juta lagi wang RISDA, sebuah agensi yang terletak di bawah kementeriannya ketika itu, digunakan untuk tujuan politik peribadinya.
Lihat sahaja mahligainya sekarang di Kuala Lumpur, kereta mewahnya dan kereta spot isterinya sudah cukup untuk kita mentertawakan bahawa dia pandai berlakon dalam mencari tempat. Manusia yang kaya raya, berlagak seperti seorang pejuang rakyat termiskin dan bercakap seperti seorang alim yang cukup takut dengan dosa-dosa penyelewengan.
"Saya sanggup ditembak jika saya makan duit PPRT," inilah kata-kata Annuar Musa di mana-mana dia berucap sekarang. Kita tunggulah sejauh mana seriusnya polis dan BPR menjalankan siasatan terhadap kes penyelewengan PPRT. Apakah Annuar Musa diselamatkan kerana dia Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan?
(Buku Penyelewengan PPRT-Siapa Benar? Susunan Fadzli Mohd Nor berharga RM10.00 masih boleh didapati. Sila hubunginya ummu_natasya@hotmail.com )
-Ummu Natasya 2002
ummu_natasya@hotmail.com