BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

MASALAH AIR SEMAKIN TERUK

Air oh air, ke mana engkau pergi, aku cari air kerana tidak cukup mandi! Air oh air mengapa engkau kuning, melihat air kuning kepala naik pening!

Cili Api teringat beberapa tahun lalu, apabila negeri Kelantan kekurangan air dan air yang mengalir dari beberapa paip tidak banyak dan kelihatan cemar pula, akhbar dan TV yang dikuasai UMNO-BN heboh menyalahkan kerajaan negeri itu. Tidak cekap kononnya. Sekarang ini tidak ada lagi kehebohan seumpama ini. Adakah masalah air di Kelantan sudah selesai? Atau adakah masalah air di negeri-negeri lain lebih teruk?

Dalam beberapa bulan yang lalu ini penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor tidak terkata apa-apa apabila air yang keluar perlahan-lahan dari paip rumah mereka berkeladak. Dalam dua tiga minggu yang lepas ini pula, air terpaksa dicatu dalam banyak kawasan di Lembah Kelang. Ini termasuk kawasan kediaman orang kaya dan berpangkat tinggi, dan juga lebih teruk lagi kawasan kediaman orang miskin yang terpaksa memunggah air ke pangsa pencakar langit. Macam mana ini boleh berlaku?

Masalah air ini sudah merebak sekarang ke negeri-negeri lain, termasuk Melaka dan Sabah. Pada masa-masa yang sudah Cili Api jarang mendengar kekurangan air di Sabah. Mengapa berlaku kini? Adakah akibat daripada penebangan hutan dan "pembangunan" yang tidak terancang? Di Melaka pula masalah ini memang berulang kita dengar. Kononnya bermacam-macam rancangan telah dijalankan oleh UMNO-BN untuk mengatasinya. Mengapa sampai sekarang tidak selesai?

Cili Api sering membaca, mendengar dan melihat melalui media pengampu propaganda pemerintah yang begitu cekap membawa pembangunan. Cili Api memang tahu mereka cekap membuat projek berbilion-bilion ringgit yang tidak membawa faedah kepada rakyat ramai, tetapi memberi keuntungan besar kepada para pemimpin pusat dan negeri. Malangnya mereka ini tidak begitu cekap menyediakan kemudahan- kemudahan yang boleh menyelesaikan masalah rakyat. Mana cekapnya gembong-gembong besar UMNO-BN ini, jikalau masalah air bertambah buruk?

Ada satu lagi yang Cili Api tidak faham. Sumber air di negeri ini memang banyak. Lihat saja di Gunung Ledang, Johor. Air ini sepatutnya boleh dibekalkan kepada negeri-negeri yang kekurangan air. Yang sedihnya, sudah berpuluh-puluh tahun air dari Johor dijual ke Singapura dengan harga sangat murah. Yang bodohnya pula Malaysia membeli balik air itu selepas ditapis dengan harga berpuluh kali ganda.

Cili Api tahulah, kita memang ada perjanjian dengan Singapura. Tetapi, mengikut fikiran benak Cili Api, bukankah perjanjian dibuat oleh manusia dan tentu boleh diubah oleh manusia juga? Mengapa selama- lama ini kita tak habis-habis dibuli oleh Singapura? Dari soal wang CPF pekerja Malaysia, sampai kepada tanah Keretapi Tanah Melayu di Tanjung Pagar, membawalah kepada usaha menambak Selat Johor untuk membesarkan pulau sekangkang singa itu, sehingga jual-beli air dengan harga tidak seimbang itu.

Cili Api sangka pemimpin-pemimpin Malaysia ini hebat-hebat dan bijak- bijak belaka. Rupa-rupa mudah saja dikelentong oleh Singapura. Malaysia boleh!







______________________
Terbitan : 18 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com