UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Bukan Islam dalam Parti Islam

TAN'S CORNER

Oleh : CK Tan

Saya memiliki seorang kawan rapat dari PAS yang secara terus terang mengakui kepada saya bagaimana anaknya yang masih menuntut di sekolah menengah agama tidak rasa tertarik dengan perjuangan Islam PAS tetapi sebaliknya lebih rela menyokong perjuangan KeADILan.

Soalnya, mengapa? Apakah perjuangan Islam telah tidak relevan dalam sanubari generasi muda? Apakah keADILan yang tidak mengibarkan bendera Islam bukan satu parti `Islam'? Apakah ura-ura sesetengah pemimpin PAS supaya keahliannya dibuka kepada orang bukan Islam dapat memantapkan lagi perjuangan Islam?

Salah satu faktor mengapa anak-anak Melayu muda lebih berkecenderungan menyokong atau menyertai perjuangan KeADILan dan sekaligus mempengaruhi golongan dewasa dalam pertengahan umur dan golongan tua supaya menyokong parti itu, ialah tidak lain dan tidak bukan ikon KeADILan - Anwar Ibrahim itu sendiri.

Beliau sekarang meringkuk dalam penjara tetapi masih muda dalam lingkungan umur 50-an yang boleh dikatakan mewakili jiwa generasi muda. Apatah lagi beliau selama hayatnya sebagai seorang pelajar, aktivis dan ahli politik memang terkenal dengan pergaulan mesra dan perhubungan awam atau "public relations" (PR)nya yang cemerlang di kalangan generasi muda.

Jiwa dan perjuangan Anwar Ibrahim, khususnya pada zaman beliau memegang tampuk Timbalan Perdana Menteri negara kita, yang mula meloncat diri keluar daripada kerangka atau label lamanya sebagai seorang pejuang kebangsaan Melayu dan Islam, telah menarik minat ramai muda-mudi kita yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama terhadap idea-idea barunya seperti yang termaktub dalam buku tulisannya – Asian Renaissance.

Para muda-mudi yang berjiwa tinggi, berpandangan dunia yang lebih luas berbanding dengan ibu bapa mereka, dan boleh berbahasa Melayu dengan fasih, buat pertama kalinya, cuba menangkiskan prejudis mereka terhadap Anwar selama ini, yang sebenarnya ditanamkan oleh orang- orang tua mereka ke dalam minda mereka sejak kecil lagi.

Kononnya Anwar ini Malay chauvinist yang anti-Cina, Islamic extremist yang anti-bukan Islam, dan banyak lagi tuduhan yang berasas dan tidak berasas disebarkan dari mulut ke mulut di dalam masyarakat Tionghua dan bukan Islam. Lantas memberikan satu gambaran yang buruk terhadap keperibadian dan perwatakan Anwar sebagai seorang ahli politik.

Walau bagaimanapun, faktor Anwar bukanlah satu-satunya sebab mengapa anak-anak muda Melayu, khususnya, lebih tertarik dengan perjuangan keADILan dan bukan PAS.

Pertama, falsafah perjuangan keADILan yang melangkaui batasan perkauaman dan perbezaan agama telah berjaya menarik golongan Melayu yang bukan berijazah agama untuk menyertai atau menyokong perjuangannya.

Golongan ini biasanya mempunyai banyak sahabat karib bukan Islam yang berkongsi satu hasrat yang sama, iaitu kita tanpa mengira kaum dan agama ialah `anak Malaysia'. Mereka telah biasa dengan kehidupan yang mendampingi dan bersanding dengan kawan-kawan bukan Melayu. Kawan- kawan inilah yang lebih memahami jiwa dan berupaya membaca minda mereka berbanding dengan sahabat-handai atau jiran mereka yang sekaum, sebudaya dan seagama.

Mereka berkongsi minat dan cita-cita yang sama. Hasilnya, mereka rasa lebih selesa bergaul dengan kaum-kaum lain. Mereka menolak ajaran sesetengah ustaz, ustazah dan ulama serta nasihat sesetengah rakan sebaya yang berkelulusan agama supaya mengasingkan diri mereka daripada orang bukan Islam.

Jauh sekali mereka mahu menerima perjuangan politik perkauman ala- Umno. Sebenarnya, sifat-sifat orang muda yang enggan mengasingkan diri daripada kaum-kaum dan penganut-penganut agama lain lebih secocok dengan sifat semulajadi orang Melayu pada zaman nenek-moyang mereka dan semangat orang Islam pada zaman awal peradaban Islam, yakni berfikiran terbuka dan bersikap ramah tamah.

Kedua, kewujudan pelbagai kaum dan penganut agama dalam pertubuhannya, tetapi tidak mengabaikan ajaran Islam, jelas mencerminkan realiti stuktur masyarakat kita dan membayangkan model ala-Madinah seperti yang pernah didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Faktor ini juga turut menjadi sebab tarikan kepada golongan Melayu muda yang berlatarbelakangkan pendidikan Islam tetapi berpijak di atas bumi yang nyata.

Malangnya kedua-dua kekuatan tersebut yang menjadi milikan KeADILan tidak wujud dalam PAS sama sekali. KeADILan tidak memerlukan label `Islam' untuk memperjuangkan ajaran Islam yang melangkaui batasan kaum dan agama. Tetapi nampaknya label `Islam' PAS telah menjadi satu beban bagi parti itu melangkaui batasan politik perkauman yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Berikutan keputusan Muktamar Agung PAS tahun lalu yang menolak keahliaan orang bukan Islam, harapan untuk PAS mengatasi saingan rakan seperjuangannya - KeADILan untuk memenangi hati orang muda menjadi semakin malap. Ucapan Tuan Guru Hadi Awang dalam muktamar itu yang menyeru orang-orang bukan Islam supaya menyertai parti-pari komponen dalam Barisan Alternatif seolah-olah telah memasang satu bom waktu yang hanya menunggu masa untuk menghancurkan perjuangan Islam itu sendiri. Terutamanya setelah tercetusnya peristiwa September 11, waktu untuk bom itu untuk meletup mungkin tidak lama lagi.

Gara-gara keputusan tersebut PAS bukan sahaja kehilangan peluang keemasan untuk mendedahkan keindahan ajaran Islam kepada ahli-ahli bukan Islam, bahkan gagal membuktikan kepada masyarakat bukan Islam bagaimana Islam dapat memerintah sebuah pertubuhan politik, hatta sebuah negara, yang terdiri daripada berbilang kaum dan penganut agama.

Masih terngiang-ngiang di telinga saya nasihat kolumnis Harakah MGG Pillai kepada PAS dalam ucapannya di sebuah majlis makan malam pada tiga tahun yang lalu sebagi ucapan pelancaran koleksi ucapan-ucapan rasmi Tuan Guru Nik Aziz yang bertajuk A Malaysian Hindu looks at an Islamic State.

Dalam ucapannya, beliau secara tersirat mengajak PAS agar menjadikan kegagalan kerajaan Islam Moghul di India bagi merangkumkan masyarakat bukan Islam ke dalam pangkuannya sebagai satu iktibar.

Saya memetik: "Pakistan from the Muslim provinces of India is an admission of failure of both Hinduism and Islam. Islam could not convert the Hindus it conquered. Nor could Hinduism envelope Islam into its consciousness. Pakistan therefore is a monument of failure of both Hinduism and Islam."

Nasihat Pillai tersebut juga selalu menjadi petikan (quotation) saya dalam menasihati sahabat beragama Islam agar menjadikan perjuangan Islam sebagai sesuatu yang boleh diterima oleh kaum dan penganut agama lain. Jika tidak, perjuangan Islam yang murni akan gagal di bumi Nusantara ini yang memang berperanan sebagai satu relau bagi semua kaum, budaya dan agama sejak zaman silam lagi.

PAS, renungkanlah kata-kata Pillai tersebut. Dengarlah nasihat Dr Hatta Ramli (AJK PAS Pusat) dan Subky Latif (AJK PAS Pusat dan kolumnis Harakah) supaya mengambil langkah yang bijak untuk mengajak dan merangkumkan orang-orang bukan Islam ke dalam perjuangan Islammu.






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 6 Mac 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://clik.to/tranung dan Email : tranung2000@yahoo.com