Selama 44 tahun selepas Merdeka, sangat sedikit rakyat Malaysia tahu di mana terletaknya Ketari, tetapi kini ia menjadi tumpuan negara, bahkan perhatian antarabangsa.
Hari ini, akhbar Australia, The Melbourne Age telah memaparkan suatu laporan berita mengenai pilihan raya kecil Ketari yang menyifatkan pilihan raya kecil tersebut sebagai “a test of Mahathir’s popularity” (ujian kepopularan Mahathir).
The Melbourne Age melaporkan:
“Keputusan pilihan raya kecil tersebut tidak akan mempunyai kesan ke atas keupayaan kerajaan negeri yang disokong Mahathir untuk memerintah, kerana ia sudahpun memegang 30 daripada 38 kerusi di dewan undangan negeri Pahang.
“Tetapi pengundian itu adalah suatu ujian penting bagi kerajaan gabungan persekutuan Mahathir, yang sedang bangkit semula selepas kehilangan pengaruh kepada lawan-lawannya dalam pilihan raya umum 1999.” (terjemahan)
Ini menunjukkan bahawa apa yang akan ditentukan oleh para pengundi Ketari pada hari pengundian 31 Mac sedang diperhatikan dengan rapat bukan sahaja oleh rakyat tetapi juga dunia memandangkan keputusan mereka bukan sekadar akan menentukan siapa akan menjadi ahli dewan undangan negeri mereka tetapi juga mempunyai pengaruh meluas terhadap masa depan dasar-dasar pembangunan negara di Malaysia selepas peristiwa-peristiwa traumatik serangan pengganas ke atas Amerika Syarikat pada 11 September.
Jentera propaganda pilihan raya Barisan Nasional dan Gerakan telah mula memainkan muslihat keganasan 11 September dalam cara sepertimana mereka mengeksploitasi muslihat ketakutan 13 Mei selama tiga dekad lalu untuk memanipulasi kebimbangan rakyat mengenai keganasan dan fahaman pelampau dan keinginan untuk keamanan, ketenteraman dan kesejahteraan dan “memaksa” para pengundi memberikan mereka suatu cek kosong untuk menyokong dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional, termasuk perisytiharan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada perhimpunan agung Gerakan 29 September bahawa Malaysia sudahpun sebuah negara Islam dan wawancara Mahathir dengan tujuh akhbar Cina pada 14 Mac yang menegaskan “matlamat mutakhir” dasar pendidikan negara.
Umpamanya, akhbar China Press malam ini memaparkan diet propaganda Gerakan yang terdiri daripada kepalsuan dan pemutarbalikan muslihat keganasan 11 September di mana naib pengerusi Gerakan, Dr. Kang Chin Seng membuat tuduhan serius mengaitkan PAS dengan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan jenayah-jenayah rompakan bank, rampasan senjata api, pengeboman gereja Kristian dan kuil Hindu, bahkan pembunuhan ahli dewan undangan negeri Lunas, Dr. Joe Fernandez.
Sungguhpun bukan bagi saya mempertahankan PAS oleh sebab PAS berupaya mempertahankan dirinya, kami berhak menuntut bahawa apa-apa dakwaan, khasnya dakwaan serius mengaitkan sebuah parti politik dengan keganasan dan jenayah-jenayah rompakan bank, rampasan senjata api, perbuatan khianat dan pembunuhan, perlulah disokong dengan fakta dan bukti.
Setahu saya, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara pun tidak mengaitkan PAS dengan perbuatan keganasan dan jenayah rompakan bank, rampasan senjata api, pengeboman gereja Kristian dan kuil Hindu ataupun pembunuhan bekas ahli dewan undangan negeri Lunas, apatah lagi KMM, tetapi pemimpin-pemimpin Gerakan nampaknya mempunyai maklumat yang tidak dimiliki oleh kerajaan dan pihak polis dan mereka haruslah berkongsi maklumat sedemikian dengan orang ramai dan khasnya, para pengundi Ketari.
Kang berkata bahawa dengan Nik Aziz sebagai ketua Dewan Ulama PAS dan anaknya, Nik Adli sebagai “pemimpin utama” KMM, siapakah boleh berkata tidak ada kaitan di antara PAS dan KMM dan perbuatan-perbuatan keganasan dan jenayah rompakan bank, rampasan senjata api, perbuatan khianat dan pembunuhan Dr. Joe Fernandez.
Sehingga kini, kerajaan bukan sahaja telah gagal mengemukakan laporan penuh mengenai KMM tetapi apa yang paling membingungkan dan tidak dapat dipertahankan adalah kenapa tidak ada sesiapa pun, termasuk Nik Adli yang didakwa dan dibicarakan di mahkamah di atas pelbagai kesalahan serius yang dituduh terhadap mereka, baik rompakan bersenjata, perbuatan khianat, rampasan senjata mahupun pembunuhan.
Saya tidak dapat mengelak daripada memandang dengan perasaan kecurigaan apabila kerajaan terpaksa menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menahan orang tanpa perbicaraan untuk tempoh tidak tentu kerana ini hanya bermakna bahawa kerajaan tidak mempunyai bukti yang dapat dipertahankan dalam perbicaraan awam dan tuduhan-tuduhan tersebut adalah lebih bersifat politik daripada fakta. Saya boleh bercakap menurut pengalaman kerana saya telah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri seperti ramai pemimpin DAP lain walhal saya tidak melakukan apa-apa kesalahan jua di bawah undang-undang.
Penduduk Ketari mesti menetapkan tiga matlamat bagi pilihan raya kecil Ketari pada 31 Mac:
- Pertama sekali, untuk menjelaskan bahawa sungguhpun rakyat menyokong usaha kerajaan terhadap keganasan bagi mempastikan peristiwa 11 September tidak berlaku di Malaysia, ini bukannya suatu mandat sokongan popular untuk perisytiharan Mahathir bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam kerana ianya menyalahi “kontrak sosial” nenek moyang kita daripada tiga kaum dalam Perlembagaan Merdeka 1957 yang ditegaskan semula oleh penduduk Sabah dan Sarawak pada tahun 1963, yakni Malaysia adalah sebuah negara demokratik, sekular, pelbagai agama, bertoleransi dan maju dengan Islam sebagai agama rasmi tetapi bukannya sebuah negara Islam.
- Keduannya, untuk menjelaskan bahawa kebimbangan rakyat mengenai 11 September bukannya mandat bagi “matlamat mutakhir” dasar pendidikan negara Barisan Nasional yang ditegaskan semula oleh Mahathir dalam temuramah beliau dengan tujuh akhbar Cina pada 14 Mac.
- Ketiganya, untuk menunjukkan dengan jelas dan memajukan semangat Lim Fong Seng untuk menerajui suatu pergerakan kebangsaan bagi suatu Piagam abad ke-21 sistem pendidikan bahasa ibunda yang menyeluruh daripada peringkat rendah ke peringkat pengajian tinggi di Malaysia, yang dalam kes pendidikan Cina di Malaysia, akan termasuk memansuhkan “matlamat mutakhir” dasar pendidikan kebangsaan; membina sekolah-sekolah rendah Cina yang baru tanpa halangan; membuka semula sekolah rendah Cina Damansara yang asal di Petaling Jaya sebagai sebuah “sekolah komuniti” bagi pelajar-pelajar di kawasan berhampiran; menarik balik projek sekolah wawasan; membenarkan penubuhan semula atau pendirian sekolah-sekolah menengah bebas Cina yang baru di Pahang dan di negara; dan pengiktirafan oleh kerajaan terhadap Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) sekolah-sekolah menengah bebas Cina dan menubuhkan sebuah universiti dengan menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.
Oleh : Lim Kit Siang
______________________
Terbitan : 30 Mac 2002
Ke atas
Home