Datuk Haji Abdul Rashid bin Abdul Rahman
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Aras 4 & 5, Blok C7, Parcel C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan, 62690 PutraJaya.
26 Mac 2002
Datuk,
Memorandum Bantahan Mengenai Perbuatan-perbuatan Yang Menyalahi Undang-undang Pilihan Raya Dan Menjejaskan Perjalanan Pilihan Raya Kecil Kawasan DUN Ketari Yang Adil, Bersih dan Bebas
Dengan segala hormatnya, kami merujuk kepada perkara tersebut di atas berhubung dengan pilihan raya kecil kawasan DUN Ketari.
Kami telah menerima aduan-aduan daripada penduduk tempatan di Ketari berkenaan tiga perkara berikut dan ingin menyatakan bantahan kami:
1. Kenyataan akhbar Gerakan yang tidak sihat dan tidak berasas
Kami ingin menarik perhatian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada suatu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Naib Pengerusi Gerakan, Datuk Dr. Kang Chin Seng yang tidak sihat dan tidak berasas. (Sila rujuk kepada lampiran satu dan dua) Beliau telah memburuk-burukkan parti Pembangkang melalui dakwaannya yang mengaitkan PAS dengan perbuatan-perbuatan ganas dan kejam Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM).
Tuduhan sedemikian jelasnya bersifat melulu dan tidak berasas yang mengandungi unsur-unsur intimidasi dan mencerminkan pengamalan politik kepalsuan dan ketakutan. Tuduhan terhadap PAS tersebut secara tidak langsung telah memburuk-burukkan DAP sebagai salah sebuah parti Pembangkang. Di sini, apa yang kami ingin perjelas dan tekankan adalah apa-apa dakwaan serius yang mengaitkan sesebuah parti politik dengan perbuatan keganasan dan jenayah perlulah disokong dengan bukti-bukti yang kukuh dan perkara sedemikian berhak kami bangkitkan.
Tuduhan terhadap pihak Pembangkang secara keseluruhan adalah serius kerana ia akan memutarbalikkan persepsi rakyat umumnya dan pengundi-pengundi Ketari khasnya terhadap pihak Pembangkang yang mana akan memberikan mereka gambaran salah yang boleh memudaratkan DAP. Pemimpin-pemimpin yang mengeluarkan kenyataan akhbar seharusnya sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk mempastikan apa yang mereka katakan adalah rasional dan menurut kebenaran. Oleh itu, kenyataan-kenyataan yang mengandungi dakwaan tidak berasas seperti ini yang mana kebenarannya tidak dibuktikan perlu dihentikan dengan serta-merta.
2.Kawalan tidak wajar Kementerian Penerangan ke atas isi kandungan akhbar-akhbar
Kami telah menerima aduan daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa setiap pagi mulai 24/3/2002, wakil-wakil daripada akhbar-akhbar tertentu “dipanggil” untuk menghadiri satu “sesi taklimat” di pejabat Kementerian Penerangan di Kampung Baru, Ketari. Pada sesi taklimat tersebut, pegawai-pegawai daripada Kementerian Penerangan akan menjelaskan kepada wakil-wakil akhbar mengenai apakah masalah-masalah yang telah ditangani dan diselesaikan oleh kerajaan.
Pada masa yang sama, pegawai-pegawai ini “memujuk” dan “menasihatkan” pihak akhbar supaya tidak mengheboh-hebohkan sesetengah isu seperti SRJK(C) Damansara dan sekolah wawasan di atas alasan bahawa perkara-perkara berkenaan telah selesai ditangani oleh kerajaan dan usah dibangkitkan lagi. Ekoran daripada seruan sedemikian daripada Kementerian Penerangan, kami boleh menjangka bahawa pihak akhbar dan media akan menggelapkan isu-isu sedemikian daripada disiarkan.
Perbuatan sedemikian, sekiranya benar, merupakan suatu cara halus dan “licik” untuk mempengaruhi dan mengawal kebebasan akhbar. Selain itu, ia juga memperlihatkan penggunaan sumber kerajaan bagi tujuan yang tidak wajar. Ini seterusnya boleh menjejaskan perjalanan pilihan raya yang bebas dan adil.
3. Jamuan makan malam percuma
Menurut penduduk tempatan di Ketari, Barisan Nasional telah merancang dan menganjurkan satu siri Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat secara percuma di dalam kawasan pilihan raya kecil Ketari. Majlis-majlis makan malam ini telah dianjurkan dengan menggunakan nama pertubuhan-pertubuhan muhibah tempatan dan dihadiri para pemimpin tertinggi Barisan Nasional seperti Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr. Lim Keng Yaik dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.
Kad-kad jemputan diberikan secara percuma kepada ahli-ahli pertubuhan sosial dan pengundi-pengundi di kawasan Ketari. Setiap jamuan makan malam mempunyai 60 hingga 100 meja makan yang boleh menampung 600 orang hingga 1,000 orang. Di antara majlis makan malam yang telah dan akan dianjurkan adalah seperti berikut:
23/3 (Sabtu) bertempat di Dewan SRJK (C) Ketari
24/3 (Ahad) bertempat di Dewan Cheong Koon Kam, SRJK (C) Perting (dihadiri Menteri Besar Pahang)
26/3 (Selasa) bertempat di Tokong Kwan Ti, Bukit Tinggi
27/3 (Rabu) bertempat di SRJK (C) Sungai Dua
28/3 (Khamis) bertempat di Dewan Cheong Koon Kam, SRJK (C) Perting (perasmian Dewan oleh Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi)
Jelasnya, penganjuran majlis-majlis makan malam percuma seumpama seperti ini secara besar-besaran yang nescaya melibatkan perbelanjaan amat besar menimbulkan soal sama ada Barisan Nasional telah berkali-kali menyalahi peraturan pilihan raya yang mengehadkan perbelanjaan maksimum untuk seorang calon pilihan raya kawasan DUN kepada RM30,000 sahaja.
Justeru, kami menggesa pihak SPR supaya memandang serius perbuatan-perbuatan yang telah kami gariskan di atas yang mana telah diadukan kepada kami oleh para pengundi di Ketari. Mengenai perkara pertama, kami berharap SPR akan mengeluarkan arahan untuk menghentikan kenyataan-kenyataan tidak sihat dan tidak berasas seperti yang dibuat oleh pemimpin Gerakan tersebut. Selain itu, kami juga berharap SPR akan menyiasat perkara kedua dan ketiga dan bertindak tegas terhadap mereka yang menyalahi peraturan-peraturan pilihan raya.
Sebagai badan yang diberikan mandat perlembagaan untuk mengendalikan pilihan raya, SPR mempunyai tugas untuk mempastikan supaya pilihan raya kecil kawasan Ketari dapat dijalankan dengan bebas, adil dan bersih. Ini adalah penting kerana para pengundi perlu diberikan pilihan sebaik mungkin untuk memilih calon mereka berdasarkan gambaran sewajarnya tanpa dikelabui apa-apa kepalsuan atau ketakutan. Akhir kata, kami berharap kempen pilihan raya kecil kawasan DUN Ketari ini dapat dikendalikan secara bersih dan adil dan amalan-amalan kotor dan negatif sepertimana yang berlaku pada pilihan-pilihan raya lepas tidak dibiarkan berulang.
Keprihatinan dan tindakan wajar SPR kami dahului dengan ucapan terima kasih.
Yang benar,
t/t
YB Kerk Kim Hock
Setiausaha Agung DAP
merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya DAP
______________________
Terbitan : 30 Mac 2002
Ke atas
Home