Rang Undang-undang Pilihan Raya yang dibentangkan di Parlimen seharusnya mengurangkan separuh deposit pilihan raya sebalik daripada menaikkannya empat kali ganda menjadi RM20,000 memandangkan deposit RM5,000 sekarang untuk calon-calon Parlimen sudahpun paling tinggi di Komanwel.
Deposit bagi seorang calon Parlimen di United Kingdom adalah 150 pound sterling sehingga tahun 1985, apabila kadar deposit dinaikkan kepada 500 pound sterling yang bersamaan dengan kira-kira RM2,700. Ini jelasnya jauh lebih kurang daripada deposit RM5,000 bagi seorang calon Parlimen dan RM3,000 bagi seorang calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di Malaysia.
Deposit RM5,000 di Malaysia juga lebih tinggi daripada negara-negara Komanwel lain sepertimana yang ditunjukkan oleh perbandingan berikut:
Australia (Dewan Bawah) - AU$250 atau RM500
Australia (Dewan Atas) - AU$500 atau RM1,000
Britain - pound sterling 500 atau RM2,700
Kanada - CA$200 atau RM480
India - R 500 atau RM40
Ireland - pound IE 100 atau RM420
New Zealand - NZ$100 atau RM160
Dalam mana-mana demokrasi berparlimen yang bermakna, rakyat patut digalakkan supaya tampil ke depan sebagai calon-calon bagi pemilihan untuk jawatan awam dan sistem deposit wang yang wujud bukan diniatkan untuk menghalang calon-calon yang serius tetapi bertujuan mempastikan semua calon yang tampil ke depan untuk bertanding berbuat demikian dengan semangat serius dan bukannya sebagai suatu gurauan.
Bagi tujuan ini, suatu deposit pilihan raya tidak harus bersifat terlalu menyekat sehingga memutarbalikkan proses pilihan raya menjadi suatu permainan wang yang berpihak kepada golongan kaya dan berada sementara melemahkan semangat calon-calon dan parti-parti politik yang serius dan idealistik tetapi tidak begitu kuat dari segi kewangan yang ingin menawarkan pengundi-pengundi pilihan berhubung dasar-dasar dan haluan negara.
Permintaan kuasa perundangan untuk menaikkan deposit pilihan raya sebanyak empat kali ganda kepada RM20,000 sedangkan deposit RM5,000 yang sedia wujud sudahpun paling tinggi di kalangan negara-negara Komanwel, yakni lebih tinggi daripada negara-negara maju seperti UK, Australia, Kanada dan New Zealand, hanya akan membuat Suruhanjaya Pilihan Raya kelihatan sebagai telah menjadi sebuah institusi menyelongkar wang yang menyimpang daripada mandat perlembagaannya untuk menjamin kesamarataan peluang dalam proses pilihan raya tanpa mana tidak akan adanya pilihanraya yang bebas, bersih dan adil.
Bagi tujuan ini, cadangan dalam Rang Undang-undang Pindaan Pilihan Raya untuk menaikkan deposit pilihan raya sebanyak empat kali ganda perlu dibatalkan dan Akta induk dipinda supaya mengurangkan deposit RM5,000 sekarang sekurang-kurangnya separuh supaya ianya tidak mengenakan beban dan kesukaran yang tidak adil ke atas calon-calon serius di atas alasan kewangan dan membebaskan Malaysia daripada pembezaan diragui kerana mempunyai peruntukan deposit pilihan raya yang tertinggi di Komanwel.
Oleh : Lim Kit Siang
______________________
Terbitan : 30 Mac 2002
Ke atas
Home