Oleh : Salman Al Munziri
KAHERAH: Kekejaman tentera Israel membunuh berpuluh-puluh umat Islam
Palestin setiap hari sejak dua minggu lalu membangkitkan kemarahan
umat Islam di negara jirannya, Mesir.
Hampir setiap hari rakyat negara ini terutamanya golongan mahasiswa
mengadakan demonstrasi menentang keganasan tentera Israel. Kebanyakan
mereka menyatakan kesediaan untuk berjuang dan berperang menentang
tentera Yahudi itu sekiranya di bukakan pintu sempadan untuk mereka.
Agensi berita Al-Qanat melaporkan, 3000 mahasiswa Universiti
Munaufiyyah, Mesir berdemonstrasi sejak Isnin lalu menuntut pemimpin
Arab mengambil tindakan tegas ke atas rejim Israel.
Sementara itu di utara Mesir, 1500 Mahasiswa Universiti Kufrus
Syeikh, mengadakan demonstrasi semalam (Selasa) menuntut perkara yang
sama. Mereka berarak di kampus utama universiti berkenaan dan
melaungkan slogan jihad penuh semangat sambil menuntut pemimpin-
pemimpin negara Arab yang akan menyertai Sidang Kemuncak di Beirut 27
dan 28 Mac ini mengambil keputusan tegas terhadap rejim berkenaan.
Al Jazeerah pula melaporkan 2500 mahasiswa Universiti Kaherah,
berarak menuju ke pejabat Kedutaan Israel yang terletak berhampiran
kampus utama universiti berkenaan. Malangnya mereka terpaksa berpatah
balik ke kampus kerana di halang oleh pihak polis.
Tunjuk perasaan-tunjuk perasaan ini dimulakan oleh 6000 pelajar
Universiti Iskandariah minggu lalu.
****
Sehingga awal malam tadi (waktu Malaysia) tentera Israel telah
membunuh sekurang-kurangnya 31 orang Islam di Semenanjung Ghaza dan
Tebing Barat dalam masa 24 jam.
Namun tindakan kejam mereka segera dibalas oleh tiga orang pemuda
yang tidak dikenali dengan menyerang sebuah bas yang membawa
pengganas Yahudi. Sekurang-kurangnya tujuh orang Yahudi terbunuh,
manakala yang lain cedera parah.
Kejadian berlaku di daerah Al Jalil Barat berhampiran pekan Syalumi
yang terletak tiga kilometer daripada sempadan Lubnan. Bagaimanapun
tiga pemuda berkenaan kemudiannya gugur syahid setelah berberapa
ketika berbalas tembakan dengan tentera Yahudi.
Setakat ini, tidak dapat diketahui identiti ketiga-tiga pejuang
berkenaan.
............................................
Terbitan : 14 Mac 2002
Ke atas
Home