Saya berasa sangat sedih kerana pergerakan demokrasi
negara kita telah kehilangan seorang pejuang yang
tahan lasak. Sdr Lim Fong Seng telah menghembuskan
nafas yang terakhir pada 13 Mac 2002 di Hong Kong.
Bagi pihak Jawatankuasa Pusat dan seluruh anggota PRM,
saya ucapkan takziah kepada keluarga Sdr Lim.
Dari menjadi seorang pelombong timah, Sdr Lim
menceburkan hidupnya dalam perjuangan pendidikan
bahasa ibunda sehingga nafas yang terakhir. Dalam 17
tahun menyandang sebagai pengerusi Dong Zong
(Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus
Sekolah Cina Malaysia), beliau sentiasa menekankan
prinsip demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan,
kesaksamaan serta keadilan dalam perjuangannya. Di
bawah pimpinannya, perjuangan pergerakan pendidikan
Cina telah menunjukkan kematangan perjuangannya dan
menjauhi daripada pengaruh cauvinis.
Sdr Lim pernah ditahan di bawah ISA ketika Operasi
Lalang pada 27 Oktober 1987 hingga 3 Jun 1988. Beliau
tidak tunduk kepada pemerintahan yang bersifat kuku
besi. Demi prinsip-prinsip dan kebenaran yang
diperjuangkannya, beliau sanggup mengorbankan
kebebasan serta kepentingan diri dan keluarganya.
Sdr Lim adalah seorang pejuang yang berprinsip dan
komited. Sumbangannya kepada pergerakan demokrasi dan
hak-hak asasi manusia amat besar. Beliau harus
dijadikan teladan kepada para pejuang muda.
Akhir sekali, Sdr Lim banyak menyokong serta membantu
saya dan PRM ketika saya bertanding kawasan parlimen
Batu dalam pilihanraya umum 1990 buat pertama kali
selepas saya meletak jawatan sebagai profesor di
Universiti Malaya. Rumah Sdr Lim dijadikan pusat
kempen PRM dan digunakan 24 jam sehari sepanjang
kempen pilihanraya. Sokongan dan bantuan penuh Sdr Lim
kepada saya dan PRM tidak akan saya lupakan
selama-lamanya.
Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM
17 Mac 2002
______________________
Terbitan : 20 Mac 2002
Ke atas
Home