KeADILan gesa SPR pastikan pilihanraya lebih adil

PUTRA JAYA: Parti KeADILan Nasional mahukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil langkah-langkah bagi memperkemas dan mempertingkat ketelusan perjalanan pilihanraya di Malaysia.

Perkara itu terkandung dalam memorandum yang dikemukakan kepada SPR oleh Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Ismail di Putrajaya, 6 Mac lepas.

“KeADIlan juga mengatkan bahawa kegagalan SPR memastikan perjalanan pilihanraya di Malaysia berjalan dengan adil dan bebas akan menjejaskan kewibawaan SPR di mata rakyat dan masyarakat antarabangsa,” kata memorandum itu.

Antara lain memorandum itu meminta SPR menyiasat kejadian beberapa penyokong KeADILan yang dipukul, diculik dan diserang dalam pilihanraya kecil Indera Kayangan, menyiasat perbelanjaan BN yang jelas melebihi had ketika berkempen, menyiasat amalan politik wang dan memastikan hak liputan media untuk semua parti yang bertanding.

SPR juga digesa mengusahakan penggubalan undang-undang yang menghalang kerajaan daripada meluluskan sebarang peruntukan atau projek ketika tempoh kempen pilihanraya dan nahukan SPR supaya bertegas mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk BN yang menyalahgunakan jentera kerajaan.

Mengenai daftar pemilih, SPR diminta melakukan proses pendaftaran semula semua pemilih bagi tujuan membersihkan senarai daftar pemilih, melaksanakan sistem pendaftaran secara automatik bagi pengundi yang telah mencapai umur layak mengundi dan had umur pengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Memorandum itu juga mendesak SPR menghapuskan undi pos serta memastikan nama-nama pemilih tidak boleh dikeluarkan atau dipindahkan tanpa kebenaran pengundi berkenaan.

Bagi mengelakkan pengundi hantu, KeADIlan mencadangkan penggunaan cap jari sebagai tanda pengenalan bagi pemilih pada hari pengundian. Parti itu juga mencadangkan SPR supaya tidak tercatat sebarang nombor siri pada kertas undi atau keratannya bagi mengelak prasangka serta memendekkan tempoh proses untuk mewartakan daftar pemilih baru bagi mengelakkan mereka terpaksa menunggu lama untuk mengundi.

KeADIlan juga meminta SPR mengadakan pertemuan dengan semua parti politik bagi membahaskan cadangan-cadangan mengenai sebarang pindaan terhadap Akta Pilihanraya dan persempadanan semula kawasan pilihanraya.-ER






............................................
Terbitan : 13 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah
DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://www.tranungkite.cjb.net/
Email : tranung2000@yahoo.com