UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Siapa Abdullah?

Tentunya, media perdana akan gamat dengan munculnya PM Malaysia di TV Al Jazeera. Melupakan bahawa beliau muncul dalam program Bilahudud, selepas dua pemimpin lain negara iaitu Wan Azizah dan Haji Hadi Awang.

NST melapurkan, "The 90-minute programme, aired live in Arabic, carries interviews with leaders and influential people around the world, and is filmed in various locations." Dengan sendirinya memberi pengiktirifan kepada Wan Azizah dan Haji Hadi walaupun tiada berita mengenai kemunculan mereka di Al Jazeera. Selain siri ulasan berat sebelah dan merapu oleh seorang penulis dalam akhbar mingguan. Seperti biasa, adalah agak stereotaip membaca lapuran berita akhbar perdana mengenai intipati wawancara PM tersebut. Setelah 20 tahun mendengar atau membaca ucapan PM, barangkali ramai yang lebih suka menutup saja TV kerana sudah boleh dijangka apa yang mahu diperkatakan.

Begitupun membaca berita melalui akhbar Utusan Online, yang melapurkan mengenai penafian PM untuk mengharamkan PAS, hanya sekilas menyentuh mengenai soalan tentang Anwar Ibrahim. Tidak pula soalan mengenai kesahihan seorang bekas menteri kanan yang dikatakan oleh timbalannya telah menyumbangkan 10 juta Dolar Amerika ke sebuah pertubuhan Islam militan.

Seorang sahabat di tanahair sejak lama selalu meludah ke peti TV setiap kali PM muncul. Kasihan kepada peti TV yang tidak berdosa. Mungkin dia boleh digolongkan sebagai teroris kerana merosakkan harta benda sendiri.

Penulis teringat apabila memberitahu seorang kenalan Arab yang mengetuai sebuah organisasi multinasional di Dubai mengenai kedatangan PM untuk melawat Dubai tahun lalu, secara sinis menempelak, "Tell him, we do not want him here!"

Secara amnya, PM Malaysia memang popular di kalangan ekspatriat berasal dari India, terutama Kerala. Beberapa orang ekspatriat India menghantar surat ke akhbar UAE memuji-muji ucapan beliau mengenai perlunya seorang diktator baik di dunia ini.

(PM adalah antara pemimpin luar yang melawat pejabat penulis dan pada majlis makan tahunan dua bulan lalu, bos besar menyenaraikan kesemua nama-nama pemimpin tersebut, dan tercicir nama PM Malaysia.. walau beberapa minit cuba mengingat nama yang tercicir itu!)

Begitupun, selain nama Anwar Ibrahim yang selalu disebut oleh pengacara Ahmed Mansour, timbul juga nama Abdullah Badawi. Pada ketika ini ada beberapa Abdullah yang sedang popular. Memang nama Abdullah juga popular di Dubai.

Putera Abdullah dari Arab Saudi kelihatan bakal menjadi Abdullah yang paling berpengaruh. Cadangan beliau mengenai proses perdamaian Timur Tengah menarik perhatian ramai pemimpin dunia.

Yang lain ialah Raja Abdullah dari Jordan dan Abdullah Abdullah, Menteri Luar Afghanistan yang dulu selalu menyerikan CNN dengan pelbagai ulasan dari pihak sekutu Pakatan Utara. Raja Abdullah pula boleh bercakap Inggeris dengan fasih dan salah seorang pemimpin yang pernah melawat pejabat penulis.

Di UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan, Menteri Penerangan dan Kebudayaan, yang juga anak kepada Sheikh Zayed, presiden UAE adalah salah seorang yang kerap mendapat perhatian. Beliau masih lagi muda tetapi dianggap mempunyai karisma dan potensi sebagai pemimpin masa depan.

Selama sebulan lalu juga, seorang lagi Abdullah menjadi pemangku PM Malaysia. Saban hari, beliau muncul di muka depan akhbar tempatan dengan pelbagai ucapan dan saranan. Kadang-kadang nampak melucukan dan bertaraf kelas tiga. Tetapi untuk lebih adil, memang bukan senang untuk membayangi PM yang dikatakan amat terkenal seantero dunia terutama dunia ketiga.

Barangkali dengan pengumuman PM di Al Jazeera, antara senarai nama Abdullah yang telah disebut, Abdullah ini bakal menjadi perhatian dunia sebagai pengganti PM Malaysia.

Seorang sahabat di sini bertanya dengan wajah kebingungan, "Siapa Abdullah?" tanpa menyebut Badawi. Mungkin senada dengan heboh satu masa dulu mengenai pertanyaan "Siapa Mahathir?" yang menyebabkan penyanyi M. Nasir mahu digam dan dianggap kurang ajar.

Sememangnya soalan itu tidak lucu tetapi itulah realiti. Tidak seperti Anwar Ibrahim atau Haji Hadi, Abdullah Badawi bukan sahaja kelihatan tidak berkarisma, tetapi juga memerlukan banyak lagi ‘image building’. Mungkin perlu menulis sebuah buku, seperti PM dengan ‘Malay Dilemma’ atau Anwar Ibrahim dengan "Asia Renaissance’.

Pemimpin yang tidak laku lagi seperti Megat Junid dan Ibrahim Ali pun menulis buku. Tidak pasti pula sama ada buku mereka itu laku macam novel ‘Shit’ atau ‘Cinta 100 Ela’. Tetapi tidak semestinya untuk menjadi PM mesti menulis buku kerana ramai juga pemimpin dunia (terutama pemimpin tempatan) yang bukan sahaja tidak menulis buku, malah tidak membaca buku.

Dengan perkembangan dunia yang semakin hebat saingan, memang kita memerlukan pemimpin yang berwibawa dan berilmu, bukan sekadar pemimpin yang di’tunjuk’ sebagai pengganti oleh PM. Rakyat lebih berhak dari seorang manusia untuk memilih pemimpin nombor satu, malangnya dengan sistem yang ada sekarang, PM dilantik oleh sekumpulan elit yang boleh dibeli undinya.

Seperti sahabat yang bertanya, "Siapa Abdullah?" itu, penulis sendiri tidak tahu banyak perkara mengenai bakal PM ini. Kali pertama penulis bertemu secara berdepan dengan Abdullah Badawi ialah sewaktu beliau bersama PM melawat Wellington, New Zealand pada tahun 1984. Kali terakhir pula ialah sewaktu menerima dua Hadiah Sastera Utusan Melayu- Public Bank 1997.

Selepas muncul di Al Jazeera, PM dilapurkan amat berpuas hati dengan prestasi Abdullah selama memangku jawatannya. Tidak pasti pula untuk rakyat kerana tiada pula di buat pungutan suara atau undian umum. Tetapi bayangkan pula sekiranya PM berpendapat sebaliknya!

fudzail
fudzail@hotmail.com
5.3.2002






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 7 Mac 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://www.tranungkite.cjb.net/ dan Email : tranung2000@yahoo.com