UMNO Perompak Wang Rakyat
UMNO Perompak Wang Rakyat
     Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite AMERIKA,
BRITAIN & YAHUDI
'SYAITAN DUNIA'!




Krisis Anwar-Mahathir: Mencari Erti Persahabatan

Oleh Wan Hamidi Hamid

Tiga tahun sudah berlalu.

Anwar Ibrahim kini di dalam penjara. Dr Mahathir Mohamad masih tetap Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno. Pakatan pembangkang Barisan Alternatif yang sudah tiga tahun usianya sudah menguncup. DAP sudah meninggalkan pakatan longgar itu. Puncanya sama saja; PAS dan cita-cita negara Islam. Parti Keadilan Nasional masih terkial-kial mencari arah perjuangan manakala kumpulan minoriti Parti Rakyat Malaysia sudah mahu bergabung dengan Keadilan, mengakhiri sejarah parti pembangkang yang tertua di negara ini.

Bagaimana ini semua berlaku? Ini soal politik dan politik kepartian. Di celah-celah pergolakan ini, termasuk cetusan krisis ekonomi yang hebat pada 1997 yang masih terasa benar kesannya sehingga hari ini, isu-isu kemanusian sering tenggelam.

Aku juga tidak ketinggalan dalam keterumbang-ambingan menghadapi krisis besar dan masalah kecil dalam hidup. Sebagai wartawan, September 1998 menjadi sejarah ledakan besar politik di antara Anwar dan Mahathir. Kesannya menjalar sehingga ke meja berita. Waktu itu aku bertugas di akhbar The Star yang mana ku lihat, berbanding media lain, sesetengah wartawannya agak radikal di segi percakapan dan idea-idea mereka. Terutamanya kalangan mereka yang bertugas di meja Section Two (rencana, penulisan ringan seperti pelancongan, masakan, ragam hidup dan hiburan). Sebaik sahaja Anwar dipecat dari kerajaan, dan kemudiannya dari Umno pada awal September 1998, sudah mula bising di kalangan wartawan Star. Banyak yang meghentam Mahathir dan pentadbirannya, kata mereka tindakan itu kejam dan tidak adil.

Aku juga mula mempertikaikan pendirian ku sendiri. Aku tidak pernah sukakan Anwar kerana sejak aku mula bertugas sebagai wartawan lebih sedekad yang lalu (bermula di Berita Harian), ku rasakan Anwar dan kroni-kroni perniagaan, politik dan kewartawanannya begitu angkuh dengan ideologi Islamisme Melayu mereka. Kalau bukan kumpulan itu, siapa yang menciptakan istilah Melayu Baru, ketinggian martabat Melayu dan Islamamisasi (walaupun idea asal ciptaan Mahathir, kumpulan Anwar termasuk ABIM, JIM dan beberapa pertubuhan dan individu lain yang mengembangkannya)?

Sehingga ku rasakan hidup agak tertekan di Berita Harian pada sekitar awal 1990an di mana segala rencana dan pendapat terlalu menjurus kepada Islamisme, yang walaupun bunyinya kadang-kadang modernis, amalannya agak konservatif. Anwar menjadi pelopor utama arah aliran ini yang banyak menarik kalangan profesional Melayu.

Mahathir juga membiarkan penguasaan kumpulan Anwar terhadap akhbar-akhbar Melayu dan stesen TV3 yang ketika itu amat dibenci oleh parti pembangkang kerana didakwa memanipulasi pemberitaan dan angle berita serta laporan khas. Namun, majoriti rakyat Malaysia menerima hakikat itu kerana Anwar dilihat sebagai lambang pimpinan pelapis kepada generasi tua Mahathir.

Jadi apabila Anwar dihalau dari pemerintahan, puluhan ribu penyokongnya terutama orang Melayu marah pada Mahathir. Namun pada awal-awal minggu September 1998, seperti ada semangat baru rakyat untuk menentang Mahathir yang masih lagi dilanda kesan buruk pecahnya ekonomi buih serantau.

Ketika itu juga berlaku tuduh-menuduh sesama kami wartawan di Star. Aku sebagai wartawan meja berita sering dihamburkan tuduhan (biasanya di belakang tetapi ada kawan-kawan yang simpati menceritakannya – seperti batu api agaknya kawan-kawan ku ini). Segelintir kami dianggap barua kerajaan, penyokong Mahathir – semata-mata aku tidak pandai berlakon untuk menyatakan Anwar itu bukan alternatif kepada masalah yang kita semua hadapi.

Dalam sekelip mata, Anwar mengumpulkan ribuan penyokong di ceramah politik di rumahnya di Bukit Damansara, hampir saban malam. Seminggu kemudian dia mula membuat road show ke Seberang Prai, Kota Baru dan Kuala Terengganu. Ratusan ribu mengikuti luahan kemarahan Anwar setelah dipecat dari pucuk pemerintahan negara.

Aku juga mengikuti beberapa ceramahnya. Banyak kawan-kawan tidak senang bila ku katakan Anwar sekadar mencari keburukan Mahathir tanpa mengiyakan sendiri apa yang dia (Anwar) lakukan sepanjang 16 tahun di dalam kerajaan.

Aku persoalkan juga sikap opportunistic pembangkang yang mana pimpinan mereka tiba-tiba memeluk Anwar, melaungkan slogan “Hidup Anwar” serta teriakan reformasi ala Indonesia.

Nampaknya andaian seperti itu amat tidak popular di kalangan rakan-rakan wartawan yang sudah menjadikan Anwar sebagai martyr politik negara. Apatah lagi apabila bekas Timbalan Perdana Menteri itu ditahan di bawah ISA pada 20 September setelah mengadakan perhimpunan besar-besaran di Masjid Negara dan Dataran Merdeka – hanya beberapa jam selepas Queen Elizabeth dari England melawat gereja di situ sempena Sukan Komanwel yang julung kali diadakan di negara ini.

Pada siang hari itu, aku sekali lagi dilanda krisis keyakinan. Mungkinkah Anwar benar-benar dapat menjatuhkan Mahathir melalui kebangkitan rakyat? Ku ikuti ucapan Anwar yang memang jelas sebagai bukti bahawa dia benar-benar seorang pemidato terbaik di negara.Namun, dalam perjalanan lautan manusia dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka, aku bertambah bimbang. Jika Anwar dapat ketepikan Mahathir, sebagaimana Suharto dipaksa turun dari takhtanya oleh rakyat Indonesia melalui reformasi, mungkinkah Malaysia akan kali pertamanya melalui era bebas yang sejati dan adil?

Jawapan itu timbul dalam sekelip mata sahaja. Sepanjang perjalanan ke Dataran, laungan reformasi terlalu banyak diselang-selikan oleh ungkapan-ungkapan Islam, yang biasanya dikaitkan dengan kumpulan radikal. Selain “Allahu Akbar” dan “Jihad”, sering terdengar teriakan “Mari kita ke Stadium Bukit Jalil untuk hancurkan pesta maksiat!”. Maksiat? Oh, kerana Sukan Komanwel menghidangkan beer untuk tetamunya.

Bagi ku ini bukan kebangkitan rakyat Malaysia. Secara rambang hampir 80 peratus yang menyertai rapat itu adalah orang Melayu yang jelas agenda Islamisme sempit yang diadunkan dengan parokialisme Melayu. Mereka benci Mahathir kerana memecat Anwar tetapi tidak mahu menghumbankan sistem berat sebelahnya yang meletakkan satu kaum dan satu agama mengatasi segala-galanya; sedangkan umat lain berjumlah kira-kira 45 peratus penduduk negara.

Inilah asas utama hujah ku yang sering ditolak oleh rakan-rakan wartawan, bukan sahaja di Star tetapi beberapa media lain. Kerana andaian inilah aku dicap sebagai barua Mahathir. Aku tidak serik. Bagi ku perlawanan menentang Mahathir bukan kerana namanya Mahathir, bukan kerana bapanya tidak dari kalangan Melatu – tetapi kerana kongkongan demokrasi, kebebasan dan penutupan isu-isu keadilan, hak saksama dan korupsi yang melibatkan semua yang pernah bersama dengan pentadbirannya. Sehinggakan aku dan seorang sahabat dari The Star (bahagian mingguan Sunday), walaupun jarang bertelagah, mempunyai anggapan negatif antara satu sama lain. Dia menyangka aku pro-Mahathir dan aku menuduhnya pro-Anwar. Kami mengambil keputusan tidak saling bertegur sapa.

Beberapa bulan kemudian tercetus suara hati antara kami untuk duduk dan bercerita secara terbuka. Akhirnya kedua-duanya ketawa kerana menyedari penelitian kami bukan sekadar politik luaran Anwar-Mahathir tetapi apa yang berlaku lebih mendalam lagi.

Ini bukan soal the big picture. Bagi ku sesiapa yang menggunakan istilah itu sekadar menyembunyikan gajah di depan mata kerana kuman di seberang laut tersangat amat jelas untuknya. Bagi ku, ini soal kemanusiaan. Aku dan rakan wartawan itu menyedari bahawa apa yang kami marahkan selama ini ialah kerana begitu mudah ahli-ahli politik dan penyokong mereka menjadikan hidup ini hitam dan putih. Seolah-olah tiada pilihan lain lagi. Dalam hal ini, Mahathir harus 100 peratus bersalah dan Anwar itu suci dan sempurna segalanya.

Akhirnya jika idea ini menjadi dominan (dan sememangnya domiman pegangan ini sekarang), sistem yang meletakkan orang bukan Melayu dan beragama lain, dan juga kalangan yang tidak punya agama tetapi rasionalisme sebagai pegangan hidupnya, sebagai warga jenis lain (dan rendah sedikit kedudukannya) akan berterusan.

Kami berpendapat dominasi idea ini seperti satu hegemoni yang tidak dapat dipecahkan kekebalannya jika rakyat sendiri tidak mahu membuka mata dan telinga terhadap keadaan sekeliling.

Sehinggakan istilah menjadi pegangan utama. Apabila aku menyatakan pada ketikanya Mahathir mempunyai kebijaksanaan, penyokongnya terus menganggap aku dari kumpulan itu manakala penentangnya bertambah menjiuhkan bibir. Begitu juga apabila aku mengkritik tindakan Mahathir, mahu sahaja penentangnya mengisytharkan aku penyokong Anwar dan BA. Begitu mudah sekali tanggapan dibuat, dengan mengetepikan isu-isu sebenar yang mana kedua-dua kumpulan yang bertentangan itu sekadar menolak ke tepi atas alasan “isu-isu sensitif”, khususnya perkara-perkara kaum, agama, kebebasan dan hak saksama. Asasnya masih benci dan dendam. Di mana rasionalnya?

Ini terbukti apabila pilihanraya 1999 memastikan Mahathir dan Barisan Nasional terus menerajui kepimpinan negara. Cumanya Umno kalah banyak kerusi, bukan kepada parti sokongan Anwar, iaitu Keadilan tetapi kepada musuh tradisinya PAS. Maka mendabik dadalah PAS, dan perkembangan idea Islamisme semakin berkembang.

Sampai saat ini, ku lihat pakatan politik pembangkang hanya sekadar meraih undi. Mereka gagal menyelesaikan isu “negara Islam”, “undang-undang Islam” dan isu-iu hak seperti hak saksama yang melibatkan hak istimewa Melayu dan kedudukan agama Islam, serta hal-hal yang berkaitannya. Oleh itu DAP mengambil jalan mudah meninggalkan BA.Dengan reaksi pengemboman di New York dan serangan balas Amerika Syarikat terhadap Taliban di Afghanistan, PAS menunjukkan belang sebenarnya. Bukan sahaja ia menyokong Taliban dan arkiteknya Osama Ladin, parti itu kembali ke asal dengan menjuarai kempen berjihad menentang kafir Amerika di Afghanistan.

Walau ada sedikit kegetiran sepanjang tiga tahun lalu, aku tidak menyesal sama sekali. Pendirian ku sesekali goyah, namun prinsipnya tetap sama. Ada antara kawan-kawan masih hidup dengan dunia hitam putih ciptaan mereka, ada pula yang kecewa dan hanyut dengan kemelut politik yang sebenarnya banyak menguntungkan pemain-pemain politik dan kroni-kroni mereka sahaja – dari mana-mana kem sekali pun.

Yang paling berharga bagi ku, ialah menemui erti persahabatan dengan seorang kawan ku itu(yang kini bergiat secara independen dalam usaha-usaha sosiobudaya dan penulisan kreatif). Tidak dinafikan, mungkin kami akan kembali bertentang pendapat, tetapi itu soal kedua. Yang pentingnya kami sedar bahawa perjuangan bersama (kalau itu boleh dikatakan sebagai perjuangan) adalah menjurus ke arah mencetuskan semangat membuka minda di kalangan semua pihak.

Apa yang ku harapkan ialah sekadar setiap individu di Malaysia (bukan pemimpin atau wakil mana-mana pihak tetapi setiap orang perseorangan yang menjadi rakyat) mula bertanya, mengapa ini terjadi dan bagaimana mengatasinya. Dan soalan itu bukan sekadar satu dua soalan tetapi berterusan dan berganda-ganda. Dalam hidup, perlu bertanya “mengapa”, terutama dalam masyarakat Malaysia yang sebenarnya tidak banyak digalakkan bertanya. “Terima saja, kami tahu apa yang baik untuk kamu”. Dan ini bukan sahaja suara dari kalangan kerajaan tetapi juga pembangkang, NGO dan individu yang kononnya menentang kerajaan untuk membuka jalan ke arah yang lebih baik.

Untuk kawan-kawan ku yang lainnya, termasuk yang belum sempat untuk kita bersahabat, kita sebenarnya ramai. Hanya kita masih malu dan segan untuk bersuara secara terbuka. Kerana itulah suara lantang minoriti sering memimpin kita, walaupun pimpinan itu jarang sekali berbicara soal demokrasi, kebebasan, hak sama rata dan keadilan sejagat. Kita sering menuduh mereka memaksa kita, tetapi bukankah kita sendiri yang membenarkan keadaan menjadi sedemikian?






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 10 Mac 2002

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://www.tranungkite.cjb.net/ dan Email : tranung2000@yahoo.com