Saya baru sahaja menghadiri majlis perhimpunan ummah sempena maal hijrah 1423 di Dewan Melinium Kepala Batas Pulau Pinang yang bertemakan "bersama menghayati keindahan Islam". Boleh tahan juga dewan baru yang menelan belanja 27 juta ini. Siap dengan sistem penghawa dingin. Di atas bumbung dewan pula terdapat lampu berpusing yang mengeluarkan cahaya terang benderang menyuluh ke atas langit. Barang kali untuk suluh kapal terbang yang lalu lalang di atas. Khabarnya lampu itu adalah sponsor daripada pihak kontraktor demi menunjukkan kemurahan hati mereka. Terima kasihlah. Dah dapat 27 juta beb!….. apalah sangat dengan harga lampu berpusing itu yang dianggarkan menghampiri RM 100 ribu tu…
Walau bagaimana pun setakat yang saya tahu kos sebanyak 27 juta ini boleh digunakan untuk pembinaan sekolah teknik yang terdiri dari beberapa buah bangunan seperti kelas, asrama, bengkel pertukangan, pejabat dan segala perlatan yang kemahiran yang diperlukan untuk tujuan pembelajaran. Atau pun bersamaan dengan kos pembinaan tiga buah sekolah menengah harian biasa.Tetapi di zaman pemerintahan Dr M ni projek-projek mega seumpama ini adalah amat penting bagi menunjukkan kata-kata keramat Malaysia Boleh. Walau pun telah ada sebuah dewan besar Komplek Sukan MPSP yang terletak berhadapan dengan dewan melinium ini, namun pada malam sambutan tersebut ia berasa amat sedih kerana tidak digunakan.
Kehadiran orang ramai boleh tahan juga. Mungkin kerana inilah julung-julung kali satu majlis keramaian diadakan di dewan yang baru ini selepas perasmian dulu. Mereka mungkin ingin melihat secara dekat bagaimanakah rupa bentuk yang dikatakan Dewan Melinium ini. Disamping mereka yang diarahkan wajib hadir oleh ketua-ketua jabatan masing-masing. Ramai juga yang kelihatan hanya berlegar-legar di persekitaran dewan, seolah-olah majlis yang sedang berlangsung itu tidak ada daya penarik untuk mereka ke sana.
Yang ingin saya ceritakan di sini ialah ucapan pertama dalam majlis tu ialah daripada Dato'Dr Helmi TKM Pulau Pinang. Bunyi ucapan beliau cukup mengasyikkan. Ditambah dengan nada suara yang lembut dan terkawal. Seperti mana biasa isu utama ucapan beliau ialah seruan kepada masyarakat Islam supaya melupakan perbezaaan fahaman politk di dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang melanda masyarakat. Ini penting katanya demi memelihara perpaduan masyarakat Islam Pulau Pinang yang menurut beliau telah menjadi masyarakat minoriti. Apabila perpaduan umat Islam tercapai maka akan terlihat keindahan Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna. Begitu indah sekali isi ucapan Dr Helmi ini. Tapi pada amalannya macam mana Dato'! Isu perlantikan Jawatankuasa Masjid -masjid Pulau Pinang masih belum selesai dan ia akan terus menjadi panas saban kali berlaku pemilihan jawatankuasa masjid. Begitu jelas sekali amalan diskriminasi berasaskan fahaman politik telah digunakan bagi menyelesaikan masalah ini. Hak jemaah yang membuat perlantikan Jawatankuasa Masjid telah dinafikan. Sebaliknya dengan alasan menggunakan peraturan yang ada Dato' telah melantik sesiapa sahaja tanpa mengira samada berkebolehan atau tidak, berjemaah di masjid atau tidak, asalkan ia ahli UMNO. Ada pula AJK yang dilantik oleh Jemaah masjid walau pun berkebolehan tetapi telah dipecat dengan alasan ia ahli PAS. Inilah yang sebenarnya berlaku. Amalan ini amat jelas sekali bertentangan dengan apa yang Dato' perkatakan pada ucapan Dato itu. Saya sukalah nak peringatkan Dato' dengan peringatan Allah dalam surah as Saf:
" Wahai orang-orang beriman, kenapakah kamu bercakap tentang apa yang kamu tidak lakukan. Sesungguhnya sebesar-besar kebencian di sisi Allah sekiranya kamu bercakap tentang apa yang tidak kamu lakukan".
Saya akan menunggu pembuktian kata-kata Dato dalam ucapan tersebut. Sekiranya masalah yang sama berlaku dan tidak ada perubahan yang berlaku, maka jelas Dato hanyalah pandai berkata-kata tetapi tidak pandai melaksanakan apa yang dikata.
Hamzid
______________________
Terbitan : 18 Mac 2002
Ke atas
Home