Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR, 28 Mac (Hrkh)- Menteri Pendidikan menolak cadangan melaksanakan matapelajaran bahasa Arab secara intensif di peringkat sekolah rendah.
Menteri Pendidikan Tan Sri Dato Seri Musa Mohamad yang menjawab soalan dari Ahli Parlimen, Hassan Mohammad (Besut-PAS) berkata cadangan mengadakan kelas Bahasa Arab secara intensif di sekolah rendah tidak dapat diterima kerana kesuntukan masa di dalam masa pembelajaran murid di sekolah rendah.
Katanya pelbagai teori kukuh yang dikeluarkan diperingkat sekolah rendah menyatakan ia adalah tidak wajar kerana di peringkat ini pelajar didedahkan pelbagai bahasa.
Malah mereka juga didedahkan juga dengan bahasa ibunda serta bahasa pengantar sekolah.
"Saya tidak bermaksud pelajar-pelajar kita tidak boleh belajar bahasa lain selepas waktu persekolahan," tambahnya semasa menggulung perbahasan rang Undang-undang Pendidikan Pindaan (2001) bacaan kali kedua.
Menurut Musa, sekolah di peringkat tahun satu pada hari ini telah didedahkan dengan bahasa Arab komunikasi yang menjadi sebahagian sukatan pelajaran.
"Asas sudah ditanamkan di sekolah rendah, tetapi untuk teguhkan kehendak bahasa Arab bukan di peringkat ini," kata Musa.
Dalam pada itu, Hassan berkata beliau begitu kecewa dengan jawapan Menteri Pendidikan.
Malangnya, kata Hassan ramai pelajar di peringkat sekolah menengah tidak boleh berbahasa Arab kerana mereka hanya mula didedahkan ketika tingkatan satu sehingga ramai di kalangan mereka tidak berminat untuk mempelajari bahasa Arab selepas itu.
"Saya harap kerajaan dapat mengimbangi bahasa Arab sebagaimana bahasa lain yang turut diajar di sekolah. Umpamanya, Bahasa Inggeris yang diajar bermula dari sekolah rendah," katanya semasa meminta penjelasan daripada kerajaan.
Isu ini juga turut diperbahaskan oleh Ahli Parlimen, Hj Ismail Noh (Pasir Mas-PAS) yang menegaskan bahawa pengamalan bahasa Arab adalah sebahagian dalam kehidupan umat Islam terutama ketika dalam mengerjakan ibadah.
______________________
Terbitan : 30 Mac 2002
Ke atas
Home