KUALA LUMPUR, 28 Mac (Hrkh) - Sembilan murid dari SJKC Damansara yang diarahkan tutup oleh kerajaan diarah membuat surat rayuan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi mendapat pertimbangan sama ada mereka boleh menduduki peperiksaan UPSR atau tidak.
Wakil ibu bapa, Wong Yew Kong berkata, Kementerian Pendidikan mengarah mereka mengemukakan surat rayuan tersebut setelah mereka merayu masalah tersebut kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim, di Pusat Bandar Damansara, hari ini.
Bagaimanapun, katanya Kementerian menyuruh mereka membuat surat rayuan kepada Jabatan Pendidikan negeri Selangor.
Pada 14 Mac lalu Jabatan Pendidikan Selangor menolak permohonan murid-murid tersebut daripada mendaftar untuk peperiksaan UPSR disebabkan bukan pelajar sekolah yang diiktiraf kerajaan.
Jabatan Pendidikan juga mencadangkan murid berkenaan segera didaftarkan di sekolah yang diiktiraf bagi membolehkan mereka mengambil UPSR.
Sehubungan itu beliau berkata mereka akan pergi ke Jabatan Pendidikan Selangor yang terletak di Shah Alam.
"Petang ini juga kami hantar surat rayuan sebab kami mahu anak-anak kami didaftarkan segera," katanya.
Selain itu katanya, mereka juga menunggu jawapan daripada Guru Besar SJKC Damansara (Tropicana) tentang status murid yang ada di sekolah lama.
"Bagi kami murid-murid yang ada di sini masih sah murid SJKC Damansara sebabnya guru besar berkenaan tidak pun memberitahu bahawa taraf murid tersebut telah dilucutkan dab beliau tidak pernah menjawab surat yang dihantar kepadanya," katanya.
Justeru itu mereka berpendapat murid-murid di sekolah tersebut masih menjadi pelajar yang sah dan mereka juga berhak untuk menduduki UPSR.
SJKC Damansara yang berumur lebih dari 70 tahun itu telah diarahkan tutup oleh pihak Kementerian Pendidikan dan murid-muridnya berpindah ke sekolah baru. Namun, ibu bapa dan murid-murid menentang keras cadangan tersebut dan sebahagian kecil dari mereka berkeras menyambung pelajaran mereka di dalam kontena-kontena berhawa dingin di kawasan Tokong Cina yang berhampiran.
______________________
Terbitan : 30 Mac 2002
Ke atas
Home