BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Azalina dinasihat jangan cari publisiti murahan

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Hrkh) - Ketua Puteri Umno, Azalina Othman, dinasihatkan supaya menonjolkan matlamat sebenar perjuangan Puteri Umno dan bukan hanya mencari publisiti murahan dengan penyertaan golongan tertentu khususnya para artis terkenal.

Ketua Wanita KeADILan, Fauziah Salleh berkata, sejak dari awal penubuhan Puteri Umno, ramai terpengaruh terutamanya para pelajar universiti kerana ditawarkan dengan pelbagai keistimewaan jika menyertainya.

Fauziah berkata berita-berita mengenai penubuhan Puteri Umno mendapat publisiti meluas di media perdana apabila golongan artis terkenal antaranya Erma Fatima dan Erra Fazira turut menyertai Puteri Umno dan dilantik sebagai exco pergerakan.

"Dan kini tak sampai setahun jagung, sudah ramai letak jawatan, dan ini membuktikan perjuangan pergerakan itu tidak jelas dan mungkin nak cari "glamour" semata-mata," katanya.

Tambah beliau, sikap garang atau agresif sebagaimana yang diakui oleh Azalina turut membuktikan beliau tidak sesuai memimpin golongan muda.

"Saya bercakap ini dari segi pendekatan psikologi, kebanyakkan naluri golongan muda terutama remaja tidak suka pada sikap agresif atau `keras'. Kita hendaklah bersikap lembut tetapi tegas. Bukan keras sampai nak arah itu dan ini tanpa mengetahui perasaan dan hati orang lain," katanya.

Ujar beliau seterusnya, setiap ketua atau pemimpin harus mempunyai hikmah di dalam tindakan dan perbuatannya.

"Kalau tidak ada hikmah, macam mana orang nak terima kita?" soal beliau.

Selain itu, ujar beliau, `orang luar' melihat kemasukan ke dalam Puteri Umno dianggap sebagai `indah khabar dari rupa' apabila pelbagai keistimewaan atau habuan akan ditawarkan sebelum menyertainya.

Bagaimanapun, selepas mereka menyertai Puteri Umno dan merasai kepimpinan Azalina, barulah mereka sedar selama ini perjuangan Puteri Umno hanya sebagai tempat untuk mencari glamour semata-mata tanpa asas perjuangan yang jelas.

"Apa yang kita mahu perjuangan mesti jelas, iaitu untuk pembangunan rakyat, pembelaan kaum wanita di samping menjadi "role model" kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat Dr Mariah Mahmud pula berkata setiap perjuangan mestilah berlandaskan kepada matlamat sebenar.

"Kalau kita ikhlas dalam perjuangan, setiap orang yang menganggotainya pasti mempunyai daya juang yang tinggi untuk menghadapi apa keadaan sekalipun.

"Jangan kita masuk ke dalam sesebuah persatuan atau pertubuhan itu ada kepentingan tertentu, hakikatnya apabila kehendak peribadi tidak tercapai, kita pun ambil keputusan untuk keluar," katanya.

Tambahnya lagi, sikap seseorang pemimpin yang menerajui sesebuah pergerakan itu turut memainkan peranan utama agar peribadi dan personalitinya mudah diterima oleh pengikut yang lain.

"Jika kita tidak disukai atau digemari ramai orang, mungkin ada kesilapan dan kelemahan pada diri kita yang harus diperbaiki," katanya.

Baru-baru ini, pelakon terkenal, Erma Fatima meletakkan jawatannya sebagai Exco Puteri Umno dan juga Pengerusi Biro Program Khas berkuat kuasa 29 Mac ini. Sebelum ini, seorang lagi artis, Erra Fazira turut berbuat demikian.

Mengulas perletakkan itu, Azalina mengakui sikapnya `garang sedikit dan mendesak' ketika melaksanakan tanggungjawab tetapi menafikan ia sebagai faktor beberapa orang exconya meletakkan jawatan.







______________________
Terbitan : 31 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com