BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Mengapa DAP Perlu Kalah Di Ketari ?

Walaupun DAP tidak lagi berada di dalam BA namun tidak ramai penyokong-penyokong BA yang mahukan BN menang di Ketari.

Ramai yang masih mahukan calon DAP menang dan kekalahan BN di Ketari akan memberikan tekanan kepada mereka yang sekarang begitu ghairah menyerang BA terutamanya PAS.

Tetapi adakah kemenangan DAP akan membantu di dalam usaha-usaha untuk menumbangkan BN pada pilihanraya umum yang akan datang ?

Kemenangan DAP hanya akan mengukuhkan hujjah DAP bahawa mereka tidak memerlukan BA. Kemenangan DAP bererti mereka akan kembali sepenuhnya kepada politik perkauman ala 60’an dan 70’an. Imej DAP di kalangan masyarakat Melayu yang mula meningkat akibat kerjasama dengan PAS dan KeAdilan akan terus merudum ke tahap pra-1969.

Sama ada kita suka atau tidak, kita terpaksa mengakui bahawa BN adalah merupakan entiti berbilang-kaum. Walaupun sering berlaku pergeseran di antara parti-parti komponen seperti perebutan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang namun mereka dapat menonjolkan imej sebuah organisasi yang bersatu-padu.

Ini amatlah penting bagi Malaysia di mana pengundi-pengundinya adalah berbilang kaum dan pada hakikatnya parti-parti politik secara bersendirian tidak akan dapat membentuk kerajaan Pusat kecuali kerajaan-kerajaan Negeri.

Juga terdapat banyak kerusi-kerusi campuran di mana peratusan majoriti sesuatu kaum itu adalah di antara 45 hingga 55 peratus oleh itu secara bersendirian amatlah sukar bagi sesebuah parti beteraskan bangsa untuk menang. PAS boleh menang di Jerlun dan DAP boleh menang di Bukit Bintang di mana sesuatu bangsa itu merupakan majoriti tetapi bagaimana dengan kerusi-kerusi campuran ?

Oleh itu berdasarkan realiti semasa, hanyalah sebuah entiti berbilang-kaum yang dapat menyaingi “appeal” berbilang-kaum BN.

Ini terbukti di dalam pilihanraya lepas di mana tarikan berbilang-kaum BA telah menyebabkan ramai pengundi-pengundi bukan Islam mengundi PAS buat pertama kali. Kemenangan PAS di DUN Kajang adalah satu bukti.

Sementara ramai juga pengundi-pengundi Melayu telah buat pertama kalinya mengundi DAP. Ini termasuk di Ketari pada tahun 1999 di mana penurunan majoriti BN dari 2,900 ke 231 adalah apabila pengundi-pengundi Melayu di kawasan-kawasan seperti Mempaga dan Janda Baik tidak mengundi BN.

Kekalahan DAP di Ketari akan membuat pemimpin-pemimpin mereka menyedari bertapa pentingnya pakatan berbilang-kaum untuk menjatuhkan BN. Walaupun persefahaman pilihanraya atau “electoral pact” boleh diwujudkan tetapi ianya tidak akan menarik ramai pengundi yang mahukan alternatif yang kuat dan bersatu-padu untuk menggantikan BN di peringkat Pusat.

Tetapi apa akan jadi sekiranya DAP kalah dan terus lenyap sepertimana Parti Buruh yang begitu hebat di dalam tahun-tahun 50’an dan 60’an ? Jika ini berlaku mungkin ianya akan memberikan KeAdilan seluas-luas ruang tanpa dibayangi DAP untuk mengukuhkan kedudukannya di dalam masyarakat bukan Melayu.

Oleh itu mungkin adalah lebih baik sekiranya DAP terus lenyap atau memasuki BN dari ianya menyemarakkan semula politik perkauman di kalangan penyokong-penyokong pembangkang.

Iskandar A. Samad
Ampang Jaya
25 Mac 2002







______________________
Terbitan : 26 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com