BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Surat Lutfi kepada Dato' Rais Yatim

Ahmad Lutfi Othman
DL32, Jalan Mutiara
Taman Bukit Ampang
Ampang, Selangor.

Tarikh: 28 Mac 2002
14 Muharam 1423

Yang Berhormat
Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Jabatan Perdana Menteri

MEMBANTERAS AMALAN RASUAH DI MALAYSIA

Sejak sekian lama saya menulis tentang rasuah, dalam bentuk penulisan popular, terutama membabitkan pemimpin kanan kerajaan. Bagaimanapun, tidak banyak fakta dan bukti konkrit yang dapat saya kemukakan dalam tulisan-tulisan itu. Ini kerana, seperti semua orang tahu, jenayah rasuah cukup sukar untuk dibuktikan disebabkan seolah-olah tiada pihak pihak yang menjadi mangsa dalam amalan keji itu. Yang memberi dan menerima mendapat habuan masing-masing, jadi terlalu sukar mencari saksi untuk mendedahkannya.

Alhamdulillah, pada pertengahan Oktober 2001, saya mendapat maklumat, berdasarkan tiga mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor, yang mana Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo disyakki terbabit dengan amalan salahguna kuasa, kronisme dan korupsi. Keputusan mesyuarat Exco meluluskan tanah kepada syarikat tertentu begitu mencurigakan, yang ada antara umur pengarahnya baru 20 tahun, juga membabitkan orang yang sama dalam syarikat berbeda dan didapati ada kes di mana pemohon mendapat tanah berulang kali dalam waktu singkat. Tinjauan awal menunjukkan ada antara mereka yang mempunyai hubungan keluarga dengan pembantu kanan MB Selangor, sebahagiannya tidak tahu mereka pernah memohon tanah, dan tidak terkecuali nama-nama yang timbul ialah kenalan rapat Dr Khir Toyo.

Selepas saya membuat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya, pada 23 Oktober 2001, banyak pihak ingin tahu dari mana punca maklumat kelulusan mesyuarat Exco itu. Mereka lebih tertarik untuk mengetahui siapa musuh dan seteru politik Dr Khir Toyo yang disyakki mendedahkan rahsia berkenaan. Laman-laman web yang menyokong Khir menuduh paling kurang tiga orang anggota Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor yang membocorkan rahsia penyelewengan MB kepada saya.

Dalam pada itu ramai juga yang mahu tahu, siapa pegawai JKR yang memberikan laporan terperinci tentang prestasi Meram Holdings Sdn Bhd, sebuah kontraktor yang hampir disenarai-hitamkan, kerana tidak dapat menyiapkan paling kurang lima projek. Seolah-olah yang lebih penting untuk dibincangkan ialah dalang di sebalik pendedahan ini. Ramai teman-teman saya yang cuba didekati oleh pihak yang rapat dengan Khir – dan cuba dirasuahkan -- yang tujuannya hanya satu, memastikan siapakah anggota Exco yang menikam belakang MB. Hujah mereka, maklumat yang saya dedahkan tidak mungkin diperolehi kecuali melalui orang-orang yang hadir dalam mesyuarat Exco.

Walhal, untuk mendapatkan maklumat-maklumat itu, tidaklah sesukar mana. Banyak pihak, khususnya dalam pentadbiran kerajaan sendiri, yang telah muak dan meluat dengan gelagat perasuah-perasuah ini -- yang melihat sendiri bagaimana khazanah kekayaan Selangor diagih-agihkan sesama kroni -- sanggup menyalurkan fakta kes tertentu. Saya lihat tujuan mereka cukup murni, jauh dari kepentingan politik sempit, bukan untuk menyingkirkan Khir Toyo dari jawatan MB, ataupun difaktorkan rasa dengki ke atas anak muda itu, tetapi mahu melihat suatu sistem pemerintahan yang ditadbir dengan baik, bebas dari rasuah dan amalan salahguna kuasa.

Tapi bagi saya, lebih penting dari itu, sepatutnya segala maklumat yang dianggap sulit itu sebenarnya adalah hak rakyat untuk mengetahuinya. Ini bermakna keputusan mesyuarat Exco mengenai kelulusan tanah, projek dan sebagainya harus dimaklumkan kepada publik. Rakyat berhak tahu bagaimana Menteri Besar dan konco-konconya menguruskan amanah mereka. Ini tidak, tanah bernilai tinggi di kawasan berpotensi diluluskan ratusan ekar kepada kroni dan tiada siapa yang tahu, tetapi untuk mengagihkan tanah seekar seorang, yang sememangnya telah didiami sejak zaman berzaman, MB dengan bangganya menghebahkan kepada dunia, melalui majlis gilang-gemilang, ditambah dengan membeli iklan dua muka surat penuh berwarna-warni, hanya untuk menggambarkan MB Selangor prihatin dengan rakyat miskin!

Kuasa mutlak menteri besar adalah punca segala-galanya, di samping sikap buruk individu yang menjawat posisi penting itu. Saya teringat satu wawancara saya dengan Datuk Seri, lebih kurang lima tahun dulu yang menjelaskan panjang lebar tentang bahayanya memberikan seseorang menteri besar kuasa seluas dan sebesar itu. Seseorang MB dalam sekelip mata seolah-olah boleh menjadikan seseorang itu jutawan. Maknanya, seseorang itu pada hari Selasa mungkin tidak ada apa-apa asset, tetapi pada petang Rabu, selepas mesyuarat Exco, dia akan bertukar menjadi jutawan, selepas misalnya 10 ekar tanah di Bukit Cherakah dianugerahkan kepadanya. Tiada apa-apa syarat ketat yang perlu dicukupkan oleh pemohon ini, kerana MB berhak memberikan tanah kepada sesiapa saja yang disukainya, termasuk kepada orang yang belumpun memohon tanah itu!

Dan dalam kes di Selangor, keadaan buruk bertambah bobrok lagi bila segala permohonan tanah dan projek dibincang dan diluluskan dulu dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), yang diadakan sehari sebelum mesyuarat Exco. Selain MB, hanya dua Exco Kanan yang duduk dalam mesyuarat penting. Dan sekali lagi MB berkuasa mutlak mengagihkan kekayaan milik rakyat ini kepada sesiapa saja syarikat ataupun individu yang dikehendakinya. Lalu, berterusanlah misteri ini, rakyat tidak tahu bagaimana sebenarnya kekayaan negeri “dirompak melalui proses yang dibenarkan oleh undang-undang”.

Bertambah tenat lagi keadaan yang sedia buruk itu bila Khir, selepas kes rasuahnya dihebohkan, telah mengarahkan kertas-kertas yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco pada pagi Rabu hanya akan diedarkan kepada anggota Exco selepas masing-masing berada di kerusi masing-masing, sedangkan sepatutnya kertas itu diberikan sehari sebelum mesyuarat. Lebih menggelikan hati bila semua kertas berkenaan, termasuk minit mesyuarat, dipungut semula selepas selesai mesyuarat. Tepat sekali ungkapan dalam sebuah laman web pro-reformasi: “Exco Selangor masuk mesyuarat berlenggang, keluar mesyuarat pun berlenggang. Dan mesyuarat Exco Selangor ini lebih teruk daripada mesyuarat parti komunis zaman Stalin.”

Di samping tidak mahu maklumat tentang “salahguna kuasanya” bocor, Khir semakin rakus menggunakan mesyuarat Exco untuk terus meluluskan projek dan tanah kepada kroni dan suku-sakatnya, tanpa mendapat bantahan anggota Exco. Ya, bayangkan saja, setiap anggota Exco masuk tanpa persiapan apa-apa sedangkan Khir telahpun menelaah kertas-kertas yang akan dibincangkan itu pada hari Isnin lagi, iaitu dua hari lebih awal. Senanglah beliau memasukkan nama-nama kontraktor atau syarikat ataupun individu tertentu untuk membolot segala peluang yang terhidang.

Kuasa sewenang-wenangnya menyerahkan tanah dan projek kepada sesiapa saja yang dikehendaki MB ini mesti dihapuskan segera. Perlu ada badan pengawas selepas kuasa mutlak MB itu disekat. Maklumat tentang kelulusan tanah dan projek mesti dimaklumkan. Bukan seperti sekarang, maklumat tentang tanah kosong misalnya hanya diketahui oleh pihak tertentu, yang selalunya merasuahkan setiap lapis birokrasi berkaitan. Hatta untuk kita mengetahui di mana ada tanah kosong pun terpaksa melayang ratusan ringgit.

Datuk Seri, amat buruk dan memalukan sekali fenomena ini. Saya mohon dan merayu kepada Datuk Seri, buatlah sesuatu demi kepentingan rakyat, dalam kadar segera, khususnya membawakan isu-isu ini dalam sidang Kabinet dan mempengaruhi Perdana Menteri bagi merombak sistem kuasa yang ada. Ini bukan masalah Dr Khir Toyo sahaja walaupun kes rasuahnya – dalam tempoh singkat dia menjadi MB – cukup menggerunkan. Sistem yang memberikan peluang kepada berleluasanya rasuah hendaklah diperbaiki, secara menyeluruh, selain kita menggantikan pemimpin yang mengamalkan korupsi dan menyalahgunakan kuasa.

Saya bertambah sedih bila dimaklumkan -- walaupun selepas berulang kali saya naik-turun Pejabat BPR, sama ada di Putrajaya ataupun di Shah Alam, dan selepas saya menerbitkan pelbagai makalah mengenai isu rasuah MB Selangor ini -- Dr Khir Toyo terus menganggu, misalnya Pengarah JKR Selangor, dengan mengarahkan agar projek tertentu diberikan kepada kontraktor kroni. Yang menariknya, nota arahan itu selalunya ditulis dengan pensil (mungkin memudahkan agar nota ini dipadam jika arahan itu menimbulkan kontroversi satu hari nanti). Memang benar suratsetuju terima tender yang kos projeknya melebihi angka tertentu, hendaklah ditandatangan oleh MB, tetapi ini bukan peluang untuknya mengarahkan projek-projek besar itu (yang sebahagian besarnya telah ditingkatkan harga projek) kepada kroni (saya dibekalkan dengan nama-nama kontraktor yang memonopoli projek), dan menjadikan kekayaan negeri ini hanya berlegar kepada elit (dalam bahasa kasarnya, barua) tertentu saja.

Mahu tidak mahu langkah awal yang wajar dilakukan segera ialah membebas dan memperkasakan BPR. Sebarang ruang yang boleh memesatkan lagi kegiatan rasuah mesti ditutup. Semangat dan komitmen petugas BPR hendaklah ditingkatkan. Sepanjang pengalaman saya, apa yang selalu dilafazkan mereka ialah: “Kami hanya jalankan tugas, yang menentukan sama ada nak dakwa atau tidak, walaupun bukti sudah cukup adalah pihak atas.”

BPR juga harus bertanggungjawab langsung dengan Parlimen dan membuat laporan tahunan kepadanya. Imej Ketua Pengarah BPR mesti mencerminkan kewibawaan dan kesungguhan badan bebas ini untuk membanteras amalan rasuah hingga ke akar umbi, bukannya tersorok di pejabat hingga rakyat dan golongan wartawan sendiri ramai yang tidak mengenalinya.

Seseorang pimpinan tertinggi kerajaan tentulah amat arif benar dengan peruntukan undang-undang yang boleh memerangkapnya jika melakukan rasuah. Misalnya, projek ataupun tanah hanya tidak boleh diluluskan kepada saudara-mara terdekatnya. Justeru, golongan yang arif dengan kaedah “merompak wang rakyat melalui jalan yang sah dari segi undang-undang ini” sudah pasti akan mencari jalan keluar yang sebenarnya terlalu mudah untuk digunakan. Nama-nama proksi yang rapat dengan pembantu-pembantu kanan MB, misalnya Setiausaha Politik, akan dimasukkan dalam syarikat tertentu, kadang-kadang hanya dalam masa beberapa hari sebelum permohonan dibuat. Dan permohonan itu pun dihantar untuk diproses seminggu dua sebelum Exco bermesyuarat. Sebab itu saya pernah menegaskan kepada seorang pegawai BPR Selangor: “Kalau kita nak cari nama-nama adik beradik MB yang dapat projek atau tanah atau balak, memang tak akan berjumpa. Soalnya, apakah bila tidak ada nama-nama saudara-mara MB, maka bermakna MB sudah bebas dari rasuah?”

Kita juga harus isytihar perang ke atas amalan jijik yang hanya akan menjahanamkan negara, tidak cukup dengan tangisan Perdana Menteri di perhimpunan Umno. PM perlu keberanian untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana anggota Kabinetnya yang terbukti rasuah. Hapuskan tanggapan buruk rakyat ke atas PM dengan PM sendiri membuktikan bahawa beliau, tanpa kompromi, akan menyingkirkan sesiapa saja yang mengkhianati amanah rakyat. Sayang sekali, PM dianggap mengeksploitasi kes-kes rasuah menterinya untuk memastikan kesetiaan mereka tidak berbelah-bagi dan senanglah PM untuk memperalatkan tokoh-tokoh yang fail siasatan BPR sudah berada di atas mejanya.

Saya juga musykil dengan laporan Harakah bahawa siasatan BPR sebenarnya telahpun dihantar kepada PM, dan dalam laporan itu Dr Khir boleh didakwa di mahkamah. Hanya restu PM diperlukan untuk memulakan tindakan undang-undang itu. Tapi, maaf Datuk Seri, rasanya tidak ada pihak yang meletakkan harapan bahawa PM akan mengambil tindakan kepada Dr Khir meskipun cukup bukti. Paling berat, kata banyak pihak, PM hanya akan mengambil tindakan berbentuk politik, seperti memaksa Dr Khir berundur dengan sebab-sebab yang boleh dicari kemudian, misalnya atas alasan kesihatan! Apa pun sepatutnya BPR tidak perlu merujuk kepada PM selepas siasatan disiapkan, dan lebih wajar lagi jika BPR diberikan kuasa pendakwaan tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.

Kesimpulannya, pengalaman saya yang terbabit secara langsung dalam kes rasuah MB Selangor ini cukup menarik sekali. Tergambar bagaimana mekanisme rasuah merebak, tanpa dapat disekat oleh peruntukan sedia ada. Ia cukup menyedihkan. Sebagai rakyat biasa, saya hanya dapat terus bersedih dan membuat laporan kepada BPR, seterusnya jika mampu menerbitkan makalah mengenai amalan jijik ini (sekarang terhenti kerana kehabisan modal, antara lain disebabkan rampasan pihak polis pada 28 Oktober 2001 ke atas semua 43,000 naskhah penerbitan Memo14 yang saya usahakan).

Bagaimanapun, saya percaya Datuk Seri tidak hanya sekadar bersedih, tetapi mempunyai bidang kuasa yang memadai untuk memulakan usaha memerangi rasuah dengan lebih serius lagi.

Di atas kesediaan Datuk Seri mendengar dan membaca luahan hati saya ini, saya dahulukan jutaan terima kasih.

Sekian.

Yang benar,

Tt
(Ahmad Lutfi Othman)







______________________
Terbitan : 30 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com