BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Kes rasuah menteri besar Selangor: Sapu selagi boleh!

Oleh RAKYAT SELANGOR JUGA

Berdasarkan laporan aktivis media Ahmad Lutfi Othman kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) berkenaan kes korupsi menteri besar Selangor Datuk Sri Khir Toyo, nampaknya Khir dan kroni-kroni beliau begitu agresif sekali mengaut keuntungan dari projek-projek, penganugerahan tanah dan sebagainya. Dari apa yang diperhatikan, cara mengaut keuntungan Khir dan kroni agak low profile, kurang menarik perhatian. Beberapa aktivis pembangkang menganggap kes Khir agak sukar untuk difahami rakyat berbanding kes rasuah yang jelas, iaitu memberi atau menerima wang.

Perkara ini diakui sendiri oleh banyak pihak, termasuk Lutfi sendiri. Mereka berpendapat, kes konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa (ketika membeli tanah dari perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, PKNS) tidak dianggap sebagai satu bentuk korupsi bukan sahaja oleh rakyat biasa tetapi juga oleh BPR. Menurut Lutfi, seorang pegawai BPR berkata bahawa "kroni bukan satu kesalahan!"

Projek seperti pemasangan paip air dari Empangan Semenyih ke Banting, pembinaan jalan di kawasan kampung dan lain-lain bukanlah projek mega yang menarik perhatian seperti Formula 1 atau mahligai Perdana Menteri. Rakyat mungkin tidak rasa rugi apa-apa dari pembaziran tersebut. Mereka yang terlibat dalam penyelewengan Khir juga juga adalah mereka yang jarang muncul di media, walaupun memang dikenali di Selangor. Ini mungkin menyebabkan kes ini dianggap lebih merupakan kes eksklusif negeri Selangor dan bukan kes rasuah yang menggambarkan sistem kuasa menteri besar yang boleh membuka pintu kepada amalan rasuah yang tidak terbatas.

Kegiatan rasuah yang dilakukan dengan begitu rakus oleh Khir seperti membenarkan dakwaan bahawa beliau sedar tidak akan lama berada di tampuk kekuasaan di negeri terkaya itu. Ramai berpendapat, Khir akan terus menyapu sebanyak mungkin supaya dapat mengumpul harta dengan segera, kerana sebagai seorang budak muda yang masih baru, tidak mungkin beliau akan dapat bertahan lama. Sokongan kepada beliau juga dikatakan tidak sekuat ahli politik Umno lain yang lebih senior. Semasa pemilihan menteri besar Selangor selepas kejatuhan Datuk Abu Hassan Omar, Khir bukanlah calon yang favourite, malah ramai yang menggangap beliau bukanlah calon! Ramai yang menunggu dan berharap diletakkan di puncak kuasa negeri Selangor, tetapi berlaku upset bila seorang ahli politik yang masih muda pula dilantik menjadi menteri besar.

Tetapi perlu juga diakui bukan Khir seorang yang menjadi punca semua ini. Orang disekeliling beliau turut menyumbang kepada bencana ini. Siapa pun menteri besar yang memimpin Selangor, keadaan yang serupa atau lebih buruk akan berlaku kerana elit politik di Selangor memang setiap masa berusaha mengumpul kekayaan dengan apa cara sekali pun. Menurut beberapa sumber, ratusan projek sedang dicadangkan untuk perlaksanaan sebagai cara mengaut keuntungan segera. Projek membina masjid, jalan kampung dan macam-macam lagi akan diberikan kepada syarikat kroni yang kemudian akan menyerahkan kepada syarikat lain setelah keuntungan yang dihajatkan diperolehi. Ini kerana, syarikat kroni berkenaan memang tidak mampu untuk melaksanakan projek yang dianugerahkan kepada mereka.

Mungkin apa yang berlaku kepada beliau hari ini mendorong beliau untuk terus berusaha menyapu sebanyak mungkin harta kekayaan Selangor, kerana masa depan beliau semakin tidak menentu. Sekurang-kurangnya, Khir mempunyai masa sehingga pilihanraya umum akan datang untuk terus mengumpul harta, sekiranya beliau tidak jatuh secara mengejut sebelum masa itu. Beliau kini yakin PM akan mempertahankan segala tindakan buasnya mengaut kekayaan Selangor. Bagi PM, rasuah bukan isu utama, selagi Khir taat setia kepadanya, dan memberikan apa saja yang dimahukannya, Khir akan selamat sejahtera.

Tapi PM perlu memikirkan masa depan Umno di Selangor. Apakah dengan mengekalkan Khir akan menyebabkan pembangkang makin diterima rakyat ataupun langkah menyingkirkannya mengakibatkan masalah dalaman kian kronik.







______________________
Terbitan : 30 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com