Oleh PEMERHATI DALAMAN DI SUK
Cerita pasal Khir Toyo anugerahkan projek besar-besar dan boleh kaut untung lumayan di Selangor kepada kontraktor kroni seperti Lebar Daun, Majulia, JAKS dan banyak lagi bukan isu baru. Pendedahan yang dibuat oleh laman pembangkang tentang ramai jutawan segera yang muncul di celah-celah kawan-kawan dan kenalan rapat Khir langsung tidak mengejutkan. Perihal Khir mengarahkan Pengarah JKR Selangor, Haji Rashid Yusof, dengan nota pensel juga hanya menggambarkan bagaimana MB termuda ini sentiasa tangkas bertindak, demi kepentingan diri, puak, kelompok dan kroni!
Saya berterima kasih kepada wartawan Agendadaily, Roslan Bian, yang akhir-akhir banyak menulis menghentam Dr Hassan Ali dan Ismail Kamus, seolah-olah kedua-dua wakil rakyat PAS itu paling banyak melakukan kesalahan di Selangor. Walhal semua orang tahu, apalah kuasa yang ada pada ADUN Sungai Burong yang juga Ketua Pembangkang di DUN Selangor dan ADUN Gombak Setia itu. Roslan langsung tidak menulis tentang kelemahan dan kecatatan Khir Toyo, sedangkan dialah yang menulis dalam ruangan surat pembaca Utusan Malaysia minta sekurang-kurangnya tiga Exco Kanan Selangor disingkirkan kerana disyakki memberi maklumat dan membocorkan amalan rasuah Khir Toyo kepada Ahmad Lutfi.
Tapi, itu semua bukan isu yang hendak saya bangkitkan. Saya berterimakasih kepada Roslan kerana Agendadaily Selangor semalam ini melaporkan Setiausaha Politik MB Selangor, Dr Karim Mansor (fotonya juga dipamerkan) telah memberikan rawatan percuma kepada penduduk Orang Asli dalam kawasan DUN Ketari, bersama tiga orang rakan karibnya, yang juga rakan karib Khir. Dua darinya tertera nama mereka dalam aduan rasmi Ahmad Lutfi kepada BPR, 23 Oktober 2001.
Mereka ialah Dr Azizan Mohamad, seorang doktor biasa tetapi kini tinggal di kawasan perumahan elit, Country Height dan seorang lagi yang lebih popular ialah Ahmad Termizi Tejeury. Sekali lagi terima kasih kepada Roslan kerana menyebutkan nama mereka.
Kedua-duanya merupakan kroni terdekat Khir Toyo yang bukan saja mendapat kawasan tanah strategik di Shah Alam dan Kuala Langat, tetapi seorang darinya mendapat kontrak RM92.5 juta membina jalan di tengah-tengah bendang di Sekinchan, bersama penyumbang dana kempen Khir di Sungai panjang dalam pilihan raya 1999, Pua Kim An. Malah Dr Azizan dikatakan tempat Khir dan Karim menyimpan wang panas mereka dalam akaunnya. Masakan seorang doktor boleh mempunyai simpanan yang begitu besar berbanding pendapatannya sebagai pengamal perubatan.
Hal ini sebenarnya ada dalam pengetahuan BPR. Ada lagi isu rasuah yang tidak diperincikan oleh Ahmad Lutfi ketika beliau membuat laporan awal kepada BPR di Shah Alam, tetapi dinyatakan secara ringkas dalam aduannya itu.
Pada Perkara E(3) Lutfi mencatatkan kesalahan rasuah Khir:
"Menswastakan kutipan sewa rumah bagi pihak kerajaan negeri kepada sebuah syarikat, Noble Nexus, yang ada kaitan dengan seorang pemimpin Umno Tanjong Karang. Menerusi penswastaan ini, semua urusan masih dikendalikan kerajaan negeri, syarikat hanya berperanan menghantar surat peringatan atau memulakan tindakan undang-undang kepada penyewa yang engkar.
"Upahnya, syarikat berkenaan mendapat 30% daripada kutipan dan sewa tertunggak hingga kini (sekitar Oktober
2001) lebih kurang RM380juta. BPR boleh menemui pegawai yang menentang cadangan penswastaan ini, yang khabarnya telahpun dipindahkan dari Shah Alam. Syarikat ini juga membekalkan semua peralatan yang diperlukan Jabatan Bekalan Air Selangor."
Khir Toyo tidak pula memberikan apa-apa respons kepada tuduhan Lutfi ini. Masakan tidak, kerana realtinya memang begitu.
Noble Nexus yang dimiliki oleh Naib Ketua Umno Tanjong Karang, Jamian Mohamad, yang juga antara kroni
terapat Khir, akan mendapat keuntungan lumayan kerana mereka tidak memerlukan apa-apa pelaburan yang besar, demi mendapat 30 peratus daripada segala ansuran bulanan sewa beli rumah awam kos rendah di Selangor.
Noble Nexus Sdn Bhd beralamat di No 14A, Jalan Ragbi 13/30, Tadisma Business Park, 40100 Shah Alam.
Pembaca yang ragu boleh menghubungi pegawai bertugas Mohd Zaki Abdullah, Tel 03-55183988. Syarikat ini telah diberi kuasa sepenuhnya oleh kerajaan negeri Selangor Darul Ehsan melalui satu Perjanjian Konsesi
bertarikh 27 September 2001, iaitu sebulan sebelum Lutfi mendedahkannya.
Tentunya ramai pembeli-penyewa rumah kos rendah ini yang membayar ansuran bulanan dalam tempoh yang ditentukan. Dan mereka akan membayarnya di kaunter biasa misalnya di Pejabat tanah ataupun Pejabat daerah. Noble Nexus tidak perlu membina rangkaian baru tempat pembayaran, hanya mengutip komisyen lumayan 30 persen.
Dan kalaupun ada yang tidak membayar ansuran bulanan itu, Noble Nexus akan menghantar surat saman melalui syarikat guaman Chellam Wong, beralamat Level 5, Wisman E & C, No 2, Lorong Dungun Kiri, Damansara Heights, Kuala Lumpur (tel 03-2561234)
Selalunya dalam notis saman kepada pemilik rumah, Noble Nexus akan mencadangkan satu jalan keluar: "Jika tuan memerlukan pembiayaan/ pembiayaan semula untuk membayar keseluruhan jumlah pembayaran hartanah tertunggak, kami telah menyediakan untuk kemudahan tuan skim pembiayaan semula yang ditawarkan oleh institusi2 kewangan seperti Bank Islam, EON Bank dan Southern Finance."
Menurut pegawai di Jabatan Hasil, sepatutnya insentif diberikan kepada pegawai sedia ada untuk membuat kutipan bayaran tertunggak itu, bukannya menyerahkan kepada syarikat kroni. Apa pun sama-samalah kita fikirkan bagaimana rakusnya Khir Toyo menyerahkan hasil kekayaan Selangor buat kaum kerabat dan kenalan
rapat serta kroni terdekatnya.
______________________
Terbitan : 31 Mac 2002
Ke atas
Home