Oleh PENENTANG RASUAH KHIR TOYO
Sekali pandang, seolah-olah kes rasuah dan amalan salahguna kuasa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, tidak lagi relevan, terutama apabila Ahmad Lutfi yang mendedahkannya kini tidak lagi membuat sebarang laporan baru kepada BPR dan Khir pula diangkat menjadi Ketua Perhubungan Umno Selangor yang baru.
Bagaimanapun, bagi diri Khir sendiri, beliau tentu arif dengan isu yang sebenarnya. Saya pasti jiwa Khir tetap bergolak, fikirannya tetap berserabut, seolah-olah pesalah yang berada di kandang orang salah yang menunggu keputusan hakim. Tidak ada kes baru yang dilaporkan kepada BPR, tidak bermakna Khir sudah diampunkan Mahathir. Tidak ada isu kontroversi tidak pula bermakna Khir akan terus kekal sebagai MB Selangor hingga pilihan raya akan datang.
Antara banyak isu yang dikemukakan Lutfi kepada BPR Selangor yang diketuai Puan Azni Hamzah itu, saya cukup tertarik dengan aduannya yang kelima, iaitu mengenai kelulusan permohonan kawasan balak di Kompatmen 78 Hutan Simpan Hulu Langat, Daerah Hulu Langat kepada sebuah syarikat kroni, iaitu Fungsi Mewah Sdn Bhd, yang beralamat di No 14B, Jalan Kapar, Klang.
Menurut surat yang ditandatangani oleh Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Razani Ujang, rujukan PHN.Sel.05/10/2/27(1), bertarikh 26 Mei 2001, kelulusan kepada kroni Khir Toyo itu berdasarkan keputusan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri ke 10/2001 pada 17-18 April 2001. Luas kawasan yang diluluskan ialah 435 hektar iaitu lebih 1,200 ekar.
Beberapa isu besar timbul di sini:
1. Bagaimana Khir Toyo boleh meluluskan permohonan untuk menebang kayu balak di kawasan tadahan hujan di Hutan Simpan Hulu Langat sedangkan ia tidak mendapat kelulusan pihak yang berkaitan alam sekitar. Dimaklumkan pihak Jabatan Hutan sendiri tidak mencadangkan supaya kawasan balak di lokasi tersebut boleh ditebang.
2. Bagaimana syarikat Fungsi Mewah boleh diluluskan kawasan balak tersebut kerana ia dikatakan tidak pun memohon untuk mengusahahasil kayu balak menurut prosedur yang ditentukan. Dan terbukti Khir Toyo sendiri yang mencadangkan nama syarikat Fungsi Mewah yang mana pengarah utamanya adalah Pua Kim Seng, iaitu abang kepada Pua Kim An, juga kroninya yang mendapat projek membuat jalan termahal di Sekinchan, bernilai RM92.5 juta melalui syarikat Cabaran Wangsa. Keluarga Pua yang mana Khir Toyo pernah menyewa rumah milik mereka sebelum menjadi MB dulu adalah penyumbang dana terbesar kepada kempen Khir pada pilihan raya 1999.
Bagaimana seorang MB boleh memaksa kelulusan kawasan balak itu kepada sebuah syarikat yang tidak memohon seperti yang dikehendaki dalam prosedur lazim di kawasan tadahan hujan yang sepatutnya tidak diganggu. Profil syarikat Fungsi Mewah menunjukkan beberapa keganjilan terutama mengenai tarikh seorang lembaga pengarah baru yang ditukar dan tarikh Exco meluluskan kawasan balak berkenaan.
Pihak BPR sepatutnya menjalankan siasatan rapi ke atas dakwaan serius ini meskipun membabitkan seorang ketua kerajaan negeri. Pengarah Jabatan Perhutanan mesti dipanggil memberi keterangan, sepertimana Pengarah JKR Selangor wajib dipanggil untuk menjawab persoalan mengenai pembinaan jalan di Sekinchan, yang diserahkan kepada sebuah syarikat bermasalah, Meram Holdings Sdn Bhd.