Wahai hamba-hamba Allah, saya berpesan kepada kamu dan kepada diri saya sendiri supaya bertaqwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangannya, maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa. Carilah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu ialah bertaqwa.
Saudara-saudara muslimin,
Marilah kita mengambil hidayah (petunjuk) yang terang dan nyata daripada al-Quranul Karim sehingga kita tidak boleh dikelirukan oleh musuh-musuh Islam yang berkeliaran mengepung Islam dan penganutnya, dengan berbagai-bagai cara, bukan sahaja melalui ketenteraan, ekonomi dan politik, tetapi termasuk juga melalui propaganda dengan berbagai-bagai kenyataan yang boleh mengelirukan kita dan memesongkan kita daripada agama Allah, Islam - petunjuk yang benar yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Allah S.W.T. mendedahkan perkara ini di dalam al-Quranul Karim dalam Surah As-Saff ayat 8-9 yang bermaksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengadakan pembohongan terhadap Allah, pada hal dia diajak kepada Islam; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
"Mereka hendak memadamkan cahaya agama Allah dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir. Dialah Tuhan yang telah mengutuskan rasul-Nya (Nabi Muhammad S.A.W.) dengan petunjuk dan agama yang sebenar, supaya menzahirkan (memenang dan meninggikan) atas segala agama yang lain, walaupun dibenci oleh orang-orang musyrikin."
Walaupun ayat ini pada awalnya ditujukan kepada musuh-musuh yang berkeliaran di zaman Nabi S.A.W. yang terdiri dari kalangan ahli kitab - orang-orang Yahudi dan orang-orang Kristian yang telah pun mengetahui berita kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. kerana perkara ini disebut di dalam kitab-kitab mereka (Taurat dan Injil) dan dinyatakan oleh ulama’-ulama’ mereka. Mereka telah melakukan berbagai-bagai dalih untuk membohongi Nabi Muhammad S.A.W. dan menentang Rasulullah dengan berbagai-bagai tuduhan dan fitnah. Allah S.W.T. mendedahkan penyelewengan dan kejahatan mereka, apabila ada di kalangan mereka sendiri yang menganut Islam yang mendedahkan kenyataan-kenyataan yang sebenar menyokong perjuangan Rasulullah S.A.W. dan menyatakan benarnya kedatangan agama Islam.
Kita perlu menyedari bahawa di zaman ini musuh terus berada bukan sahaja di kalangan mereka yang telah sedia ada. Apa yang menjadi masalah, musuh-musuh di kalangan Yahudi dan Kristian telah berjaya memperalatkan di kalangan orang-orang Islam sendiri yang merupakan penyeru-penyeru ke arah neraka jahanam yang disifatkan oleh Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Penyeru-penyeru ke arah neraka jahanam". Lalu para sahabat bertanya: "Sifatkan golongan ini kepada kami wahai Rasulullah".
Diperalat
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Mereka adalah orang yang kulitnya sama dengan kita dan bercakap dengan bahasa yang sama dengan kita." Hari ini kita melihat berbagai-bagai tuduhan dilemparkan kepada Islam dengan berbagai-bagai cara, dengan meletakkan segala kezaliman, keganasan dan kekejaman berlaku di kalangan umat Islam. Seolah-olah umat Islam adalah umat yang ganas, umat yang melampau, pada hal merekalah yang melampau.
Segala kekejaman yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam di seluruh pelusuk dunia seperti membunuh umat Islam di Palestin, di Kashmir, di Chechnya, Filipina dan lain-lain lagi telah dipejam mata, dibiarkan begitu sahaja. Alat-alat sebaran am menutup perkara-perkara seperti ini, yang didedah ialah menggambarkan kekejaman yang dikatakan berlaku di kalangan orang Islam, kezaliman yang didakwa dilakukan oleh orang Islam.
Apa yang menjadi masalah kepada kita ialah di kalangan orang-orang Islam sendiri ikut menjadi perkakas dan alat kepada musuh-musuh Islam, untuk menyebarkan perkara-perkara yang mengelirukan dan boleh menjejaskan aqidah umat Islam sendiri.
Sehingga ada di kalangan kerajaan-kerajaan negara umat Islam yang mencadangkan supaya ditutup sekolah-sekolah agama, ditutup sekolah-sekolah menghafaz al-Quran, ditutup dan dikawal pusat-pusat pengajian Islam kerana kononnya tempat inilah telah melahirkan golongan pengganas, orang-orang yang melampau dan menganut ajaran salah.
Adakah munasabah tempat pengajian Islam dan mempelajari al-Quran melahirkan golongan-golongan seperti ini? Sedangkan Islam adalah agama yang benar, agama yang betul, agama yang adil, agama yang menyeru manusia kepada Allah yang maha bijaksana yang menurunkan Islam. Adalah Allah yang maha suci daripada segala sifat kekurangan.
Adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam menyedarkan diri mereka sendiri supaya mereka tidak dipengaruhi oleh anasir-anasir munafiq yang jahat ini supaya tidak terpesong aqidah dan iman mereka. Dalam masa yang sama mereka hendaklah mempertahankan Islam, mempertahankan pusat-pusat pengajian Islam dan mempertahankan ilmu Islam. Kita hendaklah menyedari bahawa pusat-pusat pengajian Islam inilah yang menjadi kubu terakhir umat Islam apabila negara umat Islam dijajah.
Mengapa kita masih menjadi orang-orang Islam sehingga hari ini walaupun negara kita dijajah beratus tahun? Walaupun beratus-ratus tahun negara-negara umat Islam dijajah, tetapi mereka tidak berjaya memesongkan aqidah kita, mereka tidak berjaya mengyahudi dan mengkristiankan kita, mereka tidak berjaya menghidu dan membezakan kita, mereka tidak berjaya mengeluarkan kita daripada agama Islam.
Yang mempertahankan kita ialah pengajian-pengajian Islam dan ilmu-ilmu Islam. Mengapa kita membiarkan pengajian-pengajian Islam, ilmu-ilmu Islam dan kitab-kitab Islam dihentam dan dihancurleburkan oleh musuh-musuh? Kalau kita sendiri membenarkan, kita menghilangkan keperibadian kita sendiri.
Marilah kita terus mengambil kemuliaan daripada Islam, kerana kemuliaan umat ini daripada Islam, bukan daripada yang lain. Cukuplah dengan pengajaran dan iktibar yang berlaku di negara Turki yang telah meninggalkan Islam melalui Kamal Ataturk laknatullah yang dianggap tokoh di dalam buku-buku sejarah yang diajar di sekolah-sekolah di negara-negara umat Islam, kononnya untuk membawa Turki ke jalan kemajuan, maka berlakulah pemodenan Turki.
Dalam negara Turki yang moden diharamkan pemakaian serban dan kupiah, diharamkan kaum wanita muslimat menutup aurat, diharamkan azan (bang) dalam bahasa Arab - azan dalam bahasa Turki dan al-Quran dalam tulisan rumi. Tetapi apakah yang berlaku selepas itu? Turki telah menjadi negara yang paling bangsat, paling miskin dan paling papa kedana serta mengharapkan bantuan dari orang lain. Negaranya dihina dengan sehina-hinanya apabila meninggalkan Islam.
Pada hal di zaman Islam diamalkan di Turki, ia menjadi kuasa besar dunia yang disegani oleh kawan dan lawan.
Hina
Marilah kita menjadikan iktibar daripada semua perkara yang berlaku ini. Sudah cukup masa yang berlalu beratus-ratus tahun umat Islam telah ditipu oleh musuh. Kita telah ditindas dan dipermainkan akibat daripada kita leka dan tidak berpegang kepada petunjuk yang diberi oleh Allah S.W.T.
Marilah kita membuat muhasabah dan perhitungan dengan adil dan insaf dengan memohon hidayah dan petunjuk daripada Allah S.W.T. dari Surah Al-Hajj ayat 40 yang bermaksud:"Dan sesungguhnya Allah pasti menolong sesiapa yang menolong agamanya, sesungguhnya Allah maha kuat lagi maha perkasa."
______________________
Terbitan : 19 Mac 2002
Ke atas
Home