Perutusan Sempena 1 Muharram 1423 Hijrah

Hari ini memperingatkan umat Islam akan sejarah penghijrahan Rasulullah s.a.w dan umat Islam yang sanggup berkorban demi memelihara akidah dan pegangan agama secara aman dan damai. Ketika saat kemuncak kezaliman dilakukan oleh musuh terhadap mereka, maka mereka diizinkan oleh Allah untuk berhijrah setelah 13 tahun menghadapi segala kekejaman dan azab penderitaan dengan bersenjatakan kesabaran. Saat kemuncak kesabaran mereka adalah Hijrah yang diperintahkan oleh Allah. Ini menambahkan lagi pengorbanan demi hanya untuk mendapat jaminan dan kebebasan berpegang kepada prinsip agama, kehidupan yang mulia dan perjuangan yang suci.

Sempena hari ini kami keluarga Tahanan Politik ISA menegaskan bahawa enam orang pejuang-pejuang keadilan, Mohamad Ezam Mohd. Nor, Saari Sungib, Tian Chua, Hishamuddin Rais, Dr. Badrulamin Bahron dan Lokman Noor Adam yang ditahan tanpa dibicarakan di Kem Tahanan Kamunting adalah tahanan yang dizalimi dan mangsa penganiayaan kerajaan Barisan Nasional.

Kami juga menegaskan bahawa pihak yang bertanggungjawab terlibat dalam membuat keputusan sehingga keenam-enam mereka ditahan hampir setahun akan dibawa ke muka pengadilan, bukan kerana hendak membalas dendam tetapi semata-mata demi menegakkan keadilan.

Allah memerintahkan kita menegakkan keadilan dalam sebarang pertelingkahan sesama manusia dalam kehidupan di dunia. Namun Allah juga mengajar kita bahawa keadilan yang hakiki adalah di Akhirat kelak. Sedangkan kita tidak selayaknya berdendam sesama muslim dalam kehidupan di dunia yang sementara ini, kita juga tidak mahu kehidupan kita dan mereka yang terlibat menganiaya dan menzalimi kita di Akhirat kelak dalam keadaan yang merumitkan. Kita mahu tegakkan keadilan dan membereskan segala penzaliman terhadap kita sementara masih di dunia ini sebelum masing-masing dihadapkan kepada Allah di Yaumul Mahsyar kelak. Itulah pengadilan yang hakiki.

Sempena hari ini juga kami mengingatkan pihak yang diberikan amanah membela nasib golongan yang dianiayai oleh kerajaan Barisan Nasional dan pihak polis yang telah diperalatkan mereka tidak tunduk kepada tekanan pemerintah. Amanah yang di pikulkan di bahu mereka adalah amanah yang berat yang dipertanggungjawabkan bukan sahaja di dunia ini. Mereka juga tidak terlepas di Akhirat nanti.

Kami mendesak SUHAKAM yang telah mengaku menerima ratusan aduan penyelewengan, terutama sepanjang 2001 mengenai salahguna kuasa polis dan penindasan kerajaan Barisan Nasional menggunakan ISA demi kepentingan politik mereka mengambil tindakan tegas segera agar do’a-do’a orang yang dizalimi ini tidak terkena kepada mereka. Bagi kami yang dizalimi, SUHAKAMlah tempat harapan terakhir kami menuntut keadilan ditegakkan. Jika SUHAKAM tidak berusaha mengotakan janji-janji mereka terhadap kami, tunggulah juga hari pengadilan yang hakiki nanti.

Sempena tahun baru Islam ini marilah sama-sama kita bertekad berjuang habis-habisan menentang kezaliman dan penganiayaan kerajaan Barisan Nasional pimpinan Mahathir Mohamad. Tegakkan keadilan dan keamanan yang sebenarnya di bumi Malaysia tercinta ini. Semoga tahun baru ini membuka lembaran baru bagi usaha pembelaan hak asasi manusia di Malaysia.

Kami mendesak agar semua tahanan politik ISA dibebaskan sepenuhnya segera atau hadapkan mereka di mahkamah. Kami menuntut agar Kementerian Dalam Negeri membebaskan mereka semua kerana penahanan mereka adalah melanggar hak asasi manusia dan tidak sah, zalim dan bermotifkan politik, serta tidak berselindung di sebalik kononnya masalah keselamatan dalam negara. Kami menyeru agar Polis Diraja Malaysia menegakkan keadilan dengan menjalankan tugas dengan amanah serta profesional.

Bebaskan Ezam,
Bebaskan Saari,
Bebaskan Tian Chua,
Bebaskan Hishamuddin
Bebaskan Ustaz Badrulamin,
Bebaskan Lokman dan
Bebaskan Bebaskan Bebaskan Anwar Ibrahim!

Mansuhkan ISA!
Tegakkan Keadilan!

Salam Perjuangan dan Selamat Menyambut Tahun Hijrah 1423.

Pusat Sokongan Keluarga Tahanan Politik ISA
1 Muharram 1423 H bersamaan 15 Mac 2002






............................................
Terbitan : 16 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com