BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Perbicaraan Memali bermula 24 April

Nash Rahman

Perbicaraan kes saman 14 orang balu dan waris mangsa tragedi Memali terhadap kerajaan Malaysia yang ditangguhkan pada tahun1999 dijangka akan didengar di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah mulai 24 April depan. Turut dinamakan dalam saman mereka ialah bekas timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri ketika itu, Datuk Musa Hitam.

Setakat ini, perbicaraan kes berkenaan yang kini dikendalikan oleh firma guaman Mohideen Abdul Kadeer, telah enam kali ditangguhkan sejak tahun 1996.

Perbicaraan kali pertama yang ditetapkan pada 9 Julai 1996 telah ditangguhkan kepada 18 hingga 19 Mei 1997 dan seterusnya ditangguhkan lagi pada 28 dan 29 September 1997.

Perbicaraan yang ditetapkan pada 7 hingga 12 Mac 1998 juga ditangguhkan kepada 13 hingga 15 Jun 1998. Seterusnya perbicaraan yang dijadualkan berlangsung mulai 13 hingga 18 Mac 1999 juga telah ditangguhkan.

Difahamkan, perbicaraanya kes itu yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada tarikh berkenaan telah ditangguhkan atas permohonan dari Jabatan Peguam Negara.

Plantiff dalam kes ini termasuk isteri Ibrahim Libya, Saleha Husin manakala yang lainnya ialah Radziah Yaacob, Jaharah Ag Besar, Siti Aishah Ahmad, Semah Ibrahim, Siti Rakna Che Lik, Halijah Ali, Mardziah Abdul Rahman, Mek Mut Salleh, Siti Rokiah Mohd Hassan, Zainab Salleh and Che Fadzilah Saad.

Dua orang waris yang turut mengemukakan saman itu ialah Hamzah Hambali (anak kepada mangsa Haji Hambali Mohamad Senang) dan Mohd Isa Saleh (bapa kepada mangsa Mohd Zamri Mohd Isa).

Klip kontroversi

Dalam peristiwa pada tahun 1985 itu, seorang pemimpin PAS, Ibrahim Libya bersama 14 orang pengikutnya telah terkorban sewaktu bertempur dengan pihak keselamatan di kampung Memali, Baling. Empat anggota polis turut terkorban dalam peristiwa berkenaan.

Baru-baru ini, klip video peristiwa Memali itu telah disiarkan semula oleh stesen Radio dan Television Malaysia (RTM) sehingga timbul bantahan daripada pemimpin PAS yang mendakwa tindakan RTM itu bermotifkan politik bertujuan memburukkan imej parti pembangkang di mata rakyat.

Bagaimanapun, RTM memberhentikan siaran video klip itu atas nasihat Majlis Fatwa Kebangsaan.







______________________
Terbitan : 31 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com