BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Annuar Musa : Usah Risau Kalau Tak Salah

Oleh Ummu Natasya

SEORANG pengemar Laman-laman Reformasi (LR) menuduh saya terlalu "keras menghukum" Dato' Annuar Musa, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar yang dikaitkan dengan penyelewengan wang Program Pembangunan Rakyat Termisikin (PPRT).

Tanpa perlu saya seretkan nama pengemar itu, tetapi ingin saya menjawab melalui ruangan ini, agar ia dapat dikongsi bersama-sama penggemar lain yang turut memberikan pelbagai respon sejak saya menimbulkan cerita ini.

Seperti yang seringkali saya tuliskan di ruangan ini, bahawa bukan saya yang mendedahkan perihal Annuar Musa tetapi ia dimulakan akhbar-akhbar harian yang pro pemerintah.

Memetik kata-kata Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, akhbarlah terlalu berminat memberikan komen terhadap bekas menteri yang disiasat sedangkan jika pencuri dihadapkan ke mahkamah, muka mereka ditutup..

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pula turut memberi ingatan kepada media supaya jangan menjadikan Annuar sebagai sasaran mereka, walaupun bekas menteri ini memang sedang disiasat BPR.

Saya hanya memberikan komen dari isu ini untuk memberi ingatan kepada semua pengemar LR supaya jangan leka. Kita semua mesti peka dengan pelbagai isu yang dapat kita lihat betapa gelojohnya para pemimpin BN bila berkuasa. Mereka bukan sahaja menyapu wang KWSP, Petronas, Tabung Haji dan kontrak-kontrak, malahan mereka juga kebas wang peruntukan untuk rakyat termiskin.

Mereka tidak segan silu. Apa yang ada mereka kebas. Ini bukan dakwaan Pas, keADILan atau PRM tetapi dakwaan ini datangnya dari Menteri Pembangunan Luar Bandar sekarang, Dato' Azmi Khalid.

Ia kemudiannya diulas dengan panjang lebar oleh penulis yang pernah dikaitkan dengan komunis, Tan Sri Abdullah Ahmad. Bukan sekali, malahan dua kali Abdullah menulis dalam akhbar yang pro pemerintah.

Jangan salahkan saya, jangan salah Harakah atau LR yang menyiarkan tulisan saya kerana tanpa saya mengulas sekalipun isu ini, ia sudah menjadi topik perbincangan. Jika pembaca itu sayangkan Annuar Musa, pembaca itu usah risau kalau Annuar Musa tidak melakukan apa-apa penyelewengan.

Selepas disiasat BPR, pastinya BPR akan mengeluarkan kenyataan, ada kes atau tidak. Ingat, Perwaja yang disiasat tidak pun didakwa. Tan Sri Eric Chia masih bebas. Ingat, Tajuddin Ramli tidak ada apa-apa tindakan dikenakan walaupun khabarnya MAS kerugian puluhan malahan ratusan juta.

Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman tidak pun disiasat dengan kerugian yang melanda SEDC dan KPRJ.

Rafidah Aziz boleh bebas sebebas-bebasnya walaupun ada dakwaan yang mengatakan dia melakukan rasuah ketika memberikan kelulusan saham kepada menantunya.

Dr. Mahathir Mohamad tidak pun disiasat walaupun ada dakwaan mengatakan dia menghalang BPR menjalankan tugas ketika menyoal Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman yang mempunyai wang RM100,000 di lacinya ketika bertugas di EPU, Jabatan Perdana Menteri.

Maka, apabila Annuar Musa disiasat BPR, mungkin betul-betul kerana ada sebab untuk disiasat atau saja-saja untuk mengabui mata rakyat, mengapa harus risau, gundah gulana dan resah gelisah.

Annuar Musa perlu pandai menjawab dari mana dia dapat wang yang terlalu banyak memagar dusun buah-buahannya dengan pagar yang terlalu istimewa, membuat rumah besar di Damansara, kereta mewah yang banyak selain syarikat-syarikat perniagaan yang terlalu gah.

Jika ada jawapan dan jawapan itu nanti memuaskan, tidak ada apa yang harus ditakutkan. Hadapilah kenyataan dan tidak mungkin kalau Annuar Musa tidak bersalah, dia akan dikenakan pendakwaan.

Cuma kalau dulu Annuar Musa sering bertepuk tangan ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim ditangkap dan ditahan, kini mungkin ada orang-orang Peringat yang dihinanya, dicacinya dan diperlekehkannya bertepuk tangan…nah kau rasakan pulak. Cuma, ramai yang percaya Dr. Mahathir dan Abdullah Badawi akan menyelamatkan Annuar dari pendakwaan kerana dia adalah Ahli MT Umno, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan dan Ketua Umno Bahagian Peringat.

(Mereka yang belum membaca buku Penyelewengan PPRT-Siapa Benar boleh dapatkan buku susunan Fadzli Mohd Nor dengan harga RM10.50 (termasuk belanja pos) melalui pertanyaan email : ummu_natasya@hotmail.com)







______________________
Terbitan : 30 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com