BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Lambat Betul BPR Siasat Annuar Musa

Oleh Ummu Natasya

SEBENARNYA berita yang tersiar dalam akhbar-akhbar harian ini menyebut BPR siasat Annuar Musa bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Ini disebabkan BPR sepatutnya sudah lama menyiasat Annuar Musa jika Pengarah dan Pegawai-Pegawai Penyiasat yang bermaruah dari BPR membaca buku Penyelewengan PPRT-Siapa Benar? Susunan Fadzli Mohd Nor.

Bersandarkan maklumat dalam buku ini, seorang Ketua Pemuda Pas di salah satu bahagian di Kelantan membuat laporan polis terhadap Annuar Musa tidak lama dahulu.

Apa yang terkandung dalam buku itu bukan dakwaan tetapi fakta. Ia bukan dibuat oleh penyokong Pas, keADILan, PRM atau DAP sebaliknya Tan Sri Abdullah Ahmad, Dato' Azmi Khalid dan media massa pro pemerintah yang melakukannya. Ini bermakna BPR tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk membuka kertas siasatan, jika mereka merupakan sebuah agensi yang masih mempunyai maruah.

BPR bukan polis. Imej polis sudah tercemar teruk. Polis sedang menghadapi krisis imej yang terlalu buruk dalam sejarah kepolisian di negara ini. Ada anggotanya berkhalwat (dengan pegawai atasan), merogol tahanan, menembak sesama sendiri, rasuah dan memukul orang kena tuduh. Seorang bekas Ketua Polis Negara pernah dipenjarakan kerana didapati cuba membunuh Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika dalam tahanan polis di Bukit Aman.

Jika BPR tidak mahu imej polis yang rosak teruk melanda agensi ini, janganlah bekerja atas arahan pihak tertentu. Ada yang mereka siasat dan ada yang mereka senyapkan begitu sahaja.

Dalam kes Annuar Musa, penyiasatan sepatutnya bermula dari kandungan buku Penyelewengan PPRT-Siapa Benar? Semua dakwaan ada di situ. Bukan kecil jumlah wang yang terlibat. Hampir RM40 juta. Walaupun Dr. Mahathir Mohamad menafikan PPRT punya peruntukan sebanyak itu, tetapi dakwaan dan faktanya sudah disediakan. Siasatlah. Beritahu kepada umum hasil siasatan.

Janganlah hanya menyiasat konstabel polis, kerani pejabat tanah atau orang-orang kecil sedangkan "jerung" terus terlepas tanpa sebarang siasatan dan pendakwaan.

Di saat-saat akhir ini, saya ingin menyeru pengundi di Ketari, buatlah sesuatu dengan undi yang anda semua ada. Jika masih terus memberikan undi kepada calon BN, nescaya kemungkaran dan penyelewengan akan terus berlaku.

Kini air pula hendak diswastakan. Mereka (pemimpin BN) sedang mencari wang komisen, selain cerita hendak membeli kereta kebal oleh Kementerian Pertahanan.. Berapa banyak komisen yang akan masuk ke kocek Dato' Seri Najib Tun Razak?

Para pengundi di Ketari boleh menyelamatkan Malaysia dengan memulakan satu langkah berani, menolak calon BN.

Penyelewengan seperti apa yang berlaku pada wang PPRT, Tabung Haji, KWSP, Petronas dan projek-projek besar dapat dipantau jika pembangkang menang. Jika suara mereka kecil, BN akan terus melakukan apa sahaja yang mereka mahu.

Kita tunggu apa yang BPR hendak buat terhadap Ahli MT Umno, Annuar Musa dan apakah Dr. Mahathir akan melindunginya kerana Annuar adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan dan Ketua Umno Bahagian Peringat.

(Dapatkan buku Penyelewengan PPRT-Siapa Benar? Susunan Fadzli Mohd Nor melalui email : ummu_natasya@hotmail.com segera. Harga senaskhah RM10.50 termasuk belanja pos).







______________________
Terbitan : 29 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com