Ucapan Perbahasan Titah Ucapan DiRaja oleh YB Rantau Panjang
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat bagi
Rantau Panjang.
11.23 pagi
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Terima kasih Tuan Yang di-
Pertua,saya ingin menyentuh sedikit beberapa perkara sebagai
menyambut atau membahasTitah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-
Pertuan Agong yang telah disampaikan pada minggu yang lepas.
Tuan Yang di-Pertua, sejak akhir-akhir ini negara kita seperti berada
di dalam suasana yang tidak menentu seperti sebuah kapal yang berada
di lautan, di tengah tengah ombak yang ganas dan ribut taufan.
Nakhodanya pula seperti tidak tahu apa yang hendak dilakukan, lalu
banyak kali dipersalahkan kepada orang lain, termasuk anak-anak kapal
dan penumpangnya. Sikap nakhoda seperti ini perlu ditukar atau
diganti dengan yang lain, kalau dibiarkan ianya akan membahayakan,
bukan sahaja kepada kapal akan tetapi juga nyawa manusia yang berada
di dalamnya.
Apa yang saya maksudkan ialah pemerintahan negara ini seolah-olah
sudah kehabisan idea, sudah bankrap pertimbangan, sudah hilang
kewarasan dan juga sudah mati kerasionalannya. Apa tidaknya?
Kecelaruan pemerintahan terbukti dengan pengharaman ceramah yang
pihak Suhakam sendiri mempertikaikannya.
Demokrasi sudah disempitkan atas berbagai-bagai alasan yang sentiasa
diciptakan oleh pemerintah. Keganasan ISA dan keganasan pihak polis
yang dipergunakan oleh UMNO untuk menyekat pengaruh BA sentiasa
dirancang dan bertindak seolah-olah mengawal sekumpulan binatang
liar, bukannya manusia yang serupa dengan mereka. Kerja-kerja fitnah
diambil-alih dan dijadikan projek raksasa oleh kementerian-
kementerian tertentu khususnya Kementerian Penerangan. Tanpa segan
silu menjilat muntah kata-kata mereka sendiri supaya PAS jangan
mengungkit-ungkit lagi peristiwa lama iaitu seperti peristiwa Memali.
PAS mematuhi nasihat pihak keselamatan, tetapi dengan datangnya
seorang Setiausaha Parlimen yang baru yang nampaknya beliau mula
bermain dengan api.
Kalau dalam peristiwa Sauk orang ini juga kesal dengan PAS yang
mengungkit ungkit perkara orang yang telah mati, tetapi kalau dia
yang buat dan mengungkit ungkit perkara orang yang telah mati tidak
mengapa pula. Demokrasi ala apa yang semacam ini? Sikap melacurkan
kuasa ini sangat-sangat jijik dan jahat sekali.
Penyelewengan PPRT yang masih lagi menjadi tanda tanya bukan sahaja
rakyat jelata tetapi pihak-pihak di dalam UMNO sendiri khususnya di
Kelantan. Kita ingin tahu bagaimana boleh berlaku sebuah bangunan
milik agensi kerajaan iaitu Putra namanya, boleh dibina di atas
sebidang tanah Lot 1431 Mukim Buk, Kota Bharu, Kelantan seluas dua
ekar 300 depa milik pemimpin tertinggi UMNO semasa dahulu iaitu bekas
Menteri Pembangunan Luar Bandar. Dengan menggunakan dana RISDA. Di
mana BPR dalam perkara ini, di mana flying squad yang ditubuhkan oleh
kerajaan. Sepatutnya mereka ini telah pergi ke sini untuk menyiasat
bagaimana dana kerajaan digunakan di atas tanah milik sendiri.
Mengikut Kanun Tanah Negara dan Kanun Tanah Negeri Kelantan sendiri,
apabila sesebuah bangunan kerajaan dibina di atas tanah hak milik
seseorang itu maka bangunan itu, harta itu akan dijadikan hak milik
negara itu. Sebab itu, sebelum mereka ini mati, sebelum menjadi harta
pusaka saya mencadangkan flying squad yang ditubuhkan oleh kerajaan
dahulu hendaklah pergi serta merta ke tempat ini untuk menyiasat,
bagaimanakah perkara ini boleh berlaku. Ketakutan dan menyepi diri
pihak BPR….
Tuan Saupi bin Daud: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang
Berhormat bagi Tanah Merah bangun.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Sila.
Tuan Saupi bin Daud: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih
sahabat saya Yang Berhormat bagi Rantau Panjang. Saya ingin
mendapatkan penjelasan sedikit daripada Yang Berhormat mengenai kes
PPRT ini. Kerana saya juga membuat soalan dalam Parlimen ini
bertarikh 12 Mac tetapi saya merasa malu dengan jawapan yang
diberikan oleh pihak kementerian kerana ia menyatakan bahawa
Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah membuat dua lagi laporan
polis iaitu laporan yang dibuat di Kuala Krai iaitu Kuala Krai,
Rpt.42/2001 dan juga satu lagi repot di Bukit Besi iaitu Bukit Besi,
Rpt. 122/2001.
Padamasa ini pihak polis sedang melengkapkan siasatan ke atas kedua-
dua laporan tersebut. Jadi bilakah masalah ini hendak selesai kalau
Menteri sendiri pun membuat repot, pihak polis dan BPR tidak memberi
layanan, kita hendak menunggu siapa lagi yang membuat repot? Saya
minta penjelasan.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Inilah masalah yang ada di
hadapan kita dan rakyat sedang melihat perkara ini. Apabila terkena
kepada orang yang disayangi juga walau pun jahat tetapi disayangi
juga, maka perkara ini ditunggu sehingga mendapat green light
daripada pihak atasan. Jadi, kalau polis menyiasat, kalau BPR pun
menyiasat dan segala-galanya sudah selesai tetapi kalau pihak yang
lebih atas, lebih berkuasa tidak memberi green light, tidak memberi
satu arahan untuk mengambil tindakan maka tindakan tidak akan
diambil.
Ini kita nampak sekarang ini bagaimana cara, corak pentadbiran
kerajaan telah terumbang-ambing, tidak dapat menyelesaikan masalah.
Tubuhkan flying squad pun tidak menjadi apa juga, tidak pergi tengok
juga. Ada BPR pun tidak dapat menyelesaikan masalah, ada polis tidak
menyelesaikan masalah. Untuk menyelesaikan semua masalah ini ialah
orang yang nombor satu di Malaysia ini yang sepatutnya dipersalahkan,
barulah perkara ini berjalan segala-galanya. Jadi, Yang Berhormat
jangan dukacita kalau perkara ini berlaku walau pun pihak kerajaan
sendiri, pihak Menteri sendiri membuat repot tidak menjadi apa orang
Kelantan kata. Itu bahasa Kelantan
Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad: [Bangun]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya, ada lagi, sila.
Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua
dan Yang Berhormat bagi Rantau Panjang. Setuju ataupun tidak setuju
Yang Berhormat sekiranya BPR ini dipindahkan kuasanya kepada Parlimen
bukan lagi dibawah dagu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri iaitu di
bawah Jabatan Perdana Menteri. Setuju ataupun tidak?
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Itu bukan saya sahaja setuju,
semua rakyat setuju. Bagi orang-orang yang merasai perkara ini sudah
keterlaluan semuanya bersetuju. Terima kasih Yang Berhormat bagi Jeli.
Melakukan serangan fitnah dan penghinaan oleh pemimpin tertinggi
kerajaan terhadap bukan sahaja ulama tetapi ajaran Islam itu sendiri,
media massa elektronik pula tanpa segan silu menyelewengkan tafsiran
Al-Quran sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-kitab tafsir
Muktabar. Nabi Muhamad S.A.W telah memberi amaran keras kepada para
penyeleweng ayat-ayat itu iaitu mana-mana orang yang mentafsirkan Al-
Quran dengan pandai-pandai sendiri maka ia telah menyiapkan satu
kerusi dalam neraka.
Cara RTM mentafsirkan ayat dalam Surah Al -Baqarah 190 [Membaca
sepotong ayat Al–Quran, surah Al-Baqarah] Jauh terpesong dari maksud
sebenarnya. Mereka membaca hanya separuh sahaja daripada ayat
tersebut dan tanpa merujuk sebab-sebab turunnya ayat tersebut, di
mana para ahli ulama UMNO untuk membetulkan kerja-kerja jahat seperti
ini. Tidak ada seorang pun orang-orang alim dalam UMNO yang
memberanikan diri untuk menegur pemimpin mereka yang membuat angkara
jahat seperti ini. Saya tidak tahulah barangkali di dalam Dewan ini
tentulah memang tidak ramai ahli UMNO, kalau ada seorang dua pun lagi
takut. Yang ada di luar Dewan sendiri pun,dilantik oleh kerajaan
untuk memperbaiki kerajaan sendiri pun, tidak sanggup lagi
membetulkan perkara ini. Ini saya cukup sedih dan bukan saya sahaja,
rakyat pun telah melihat perkara-perkara yang berlaku sekarang ini.
Menuduh dan mengamalkan fitnah terhadap anak-anak yang belajar
disekolah-sekolah rendah..
Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad: [Bangun]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya ada lagi? Sila.
Tuan Mohd. Apandi bin Haji Mohamad: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua
dan Yang Berhormat bagi Rantau Panjang. Oleh kerana yang kita dengar
di dalam RTM tafsiran ayat tersebut hanya disebut sebagai, janganlah
kamu membinasakan diri kamu, dengan mencedok sebahagian kecil
daripada keseluruhan ayat tersebut. Bolehkah Yang Berhormat bagi
Rantau Panjang menyatakan sedikit dalam Dewan ini ayat itu hasil
daripada sambungan daripada ayat mana, mungkin lebih faham semua yang
ada di sini termasuk sahabat-sahabat kita daripada UMNO sendiri.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Kepala ayat tersebut yang
sebenarnya ialah [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Baharulah
bersambung dengan ayat [Membaca sepotong ayat Al-Quran] Itu
sebenarnya tetapi ia mengambil di tengah sahaja dan hujungnya tidak
diambil juga. Hujung ada lagi,hujungnya ialah [Membaca sepotong ayat
Al-Quran] Tetapi semua itu ditinggalkan,diambil tengah-tengah sahaja.
Ini perangai orang yang cuba hendak merancang supaya rakyat ini
terkeliru, ini caranya. Saya rasa Yang Berhormat bagi Jeli boleh
faham, orang lain pun boleh faham.
Tuan Haji Ismail bin Noh: [Bangun]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya, sila.
Tuan Haji Ismail bin Noh: Terima kasih kepada Yang Berhormat bagi
Rantau Panjang. Setujukah Yang Berhormat sekiranya saya sebut bahawa
ayat ini sebenarnya diturunkan kepada golongan munafikin di Madinah.
Di mana golongan munafikin tidak mahu keluar berjuang pada jalan
Allah dan sekali gus tidak mahu membelanjakan harta mereka pada jalan
Allah. Jadi, untuk itu Allah S.W.T menurunkan ayat perintah,
hendaklah kamu membelanjakan harta kamu pada jalan Allah dan jangan
sekali-kali kamu campakkan diri kamu dalam kebinasaan. Dalam erti
bahawa tidak membelanjakan harta pada jalan Allah dan yang kedua
tidak mahu keluar berjihad pada jalan Allah itu memberi erti bahawa
mencampakkan diri di dalam kebinasaan. Itu makna asalnya, bukan di
sebaliknya. Sekarang ini ayat ini digunakan oleh Kementerian
Penerangan dan saya minta,setujukah Yang Berhormat supaya ulama-ulama
dalam UMNO supaya membetulkan kefahaman ayat ini supaya tidak
dikelirukan dan rakyat tidak terkeliru dengan kenyataan-kenyataan
ini, setujukah?
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Setuju sangatlah tetapi walau
pun saya setuju tetapi saya yakin ulama UMNO tidak berani hendak
membetulkan perkara ini. Sedangkan Perdana Menteri sendiri Presiden
UMNO waktu membaca ayat Al-Quran di dalam persidangan UMNO dahulu
iaitu ada satu ayat yang dibacakan, saya terlupa ayat itu, tidak
dibetulkan. Sampai ke RTM disiarkan berbulan-bulan baharulah
dibetulkan. Ada yang tidak kena dari segi mahraj yang tidak kena,
yang pendek dipanjangkan, saya lupa ayat ini, kalau saya ingat, saya
akan bacakan balik ayat yang dibacakan oleh Perdana Menteri ketika
itu.
Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, Yang
Berhormat bagi Bachok bangun.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya.
Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan
terima kasih Yang Berhormat bagi Rantau Panjang. Menyambung kepada
ayat Surah Al-Baqarah tadi, satu tafsir yang dikemukakan oleh pihak
Dr. Hamka dalam Tafsir Al Azhar yang menghujahkan bahawa ada
segolongan ulama yang dikenali sebagai ulama `usuk' yang telah diupah
oleh pihak penjajah pada masa itu untuk menggunakan ayat [Membacakan
sepotong ayat Al-Quran] Ini sebagai satu sandaran untuk mematikan
jihad ataupun semangat perjuangan jihad di kalangan umat Islam dalam
menghadapi dan memerangi kuasa penjajah yang menjajah bumi umat Islam
pada masa itu.
Jadi, dalam konteks yang sama pihak RTM telah menggunakan ayat, dalam
konteks yang sama juga cuba untuk menyindir dasar-dasar Islam yang
dibawa oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan dan dalam konteks yang
sama juga untuk meletakkan supaya imej buruk kepada perjuangan umat
Islam Afghanistan. Jadi, sekali gus ia memberi suatu keadaan yang
boleh difahami mengikut tafsir Dr Hamka dalam Tafsir Al–Azhar nya
ialah cara RTM itu juga cara meniru penjajah yang menggunakan hujah
golongan ulama `usuk' ini untuk mematikan perjuangan Islam dalam
konteks yang sama. Minta penjelasan.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Terima kasih, Yang Berhormat
bagi Bachok. Memang kalau kita lihat dan perhati betul-betul sekarang
ini, banyak di kalangan pemimpin UMNO cuba mencari jalan bagaimanakah
untuk mencelarukan pemikiran rakyat dengan hujah-hujah yang
digunakan. Mereka ini sentiasa menggunakan ulamak untuk kepentingan
politik mereka, menggunakan agama untuk kepentingan politik mereka.
Walaupun mereka ini tuduh kita, tetapi jelas bagi orang yang
memerhati, orang yang cerdik pandai di zaman sekarang ini, melihat
cara dan corak aliran pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO yang sentiasa
mencari jalan untuk mencelarukan pemikiran rakyat sekarang ini,
terutama sekali rakyat di zaman mutakhir ini, rakyat sudah sedar,
sedang mencari ketenangan jiwa, sedang mencari satu jalan yang lebih
baik daripada apa yang ada sekarang ini, tetapi pemimpin-pemimpin
UMNO cuba mencelarukan pemikiran rakyat di zaman akhir ini.
Tuan Yang di-Pertua, gelaran pemimpin kerajaan dalam soal aurat…..
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Bangun]
Seorang Ahli: Bangun sudah! [Ketawa]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Boleh, boleh!
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: Terima kasih, Yang Berhormat. Saya
dengar ucapan Yang Berhormat dari luar, sebab itulah saya masuk.Tadi
Yang Berhormat kata UMNO cuba mengelirukan rakyat dengan isu agama.
Saya hendak tanya Yang Berhormat, sejak akhir-akhir ini PAS juga
memainkan peranan yang sama, contohnya dalam Harakah. Mengapa dalam
Harakah ini, versi Bahasa Inggeris kata ulamak boleh dikritik dan dia
bukannya nabi, tetapi, pendirian PAS pula sebenarnya memberikan
penghormatan yang tinggi kepada ulamak kerana dia adalah pewaris
nabi?. Jadi, di dalam Harakah juga telah bercanggah dan Ketua Pemuda
PAS kata,dia hendak buat penyiasatan macam mana percanggahan ini
boleh berlaku. Sudahkah penyiasatan ini dibuat? Dan mengapa
percanggahan ini boleh berlaku didalam Harakah sendiri?
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya! Terima kasih. Barangkali
Yang Berhormat Setiausaha Parlimen tidak faham. PAS tidak mengatakan
tidak boleh dikritik ulamak, PAS, tetapi tidak boleh dicerca. Maksud
dicerca ini, tidak boleh kata hodoh pada ulamak. Kritik tidak apa,
itu biasa kritik, oleh sebab itu mursyidul-am PAS telah menjawab
dengan jelas bahawasanya ulamak boleh dikritik tetapi tidak boleh
dicerca, tidak boleh dihina. Dan, Ketua Pemuda suruh siasat,
biasalah. Siasat itu, biasalah. Itu siasat.
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Bangun]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ada lagi? Ha! Boleh!
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Lampu pembesar suara tidak menyala]
Sudah tutuplah. Terima kasih, akhir sekali hendak bertanya Yang
Berhormat: Kalau mursyidul-am kata boleh dikritik, tidak boleh
dicerca tetapi baru-baru ini saya tengok televisyen, tidak tahulah
kalau Yang Berhormat kata itu sandiwara. Mursyidul-am PAS ini
mengeluarkan perkataan "barua" kepada seorang yang kita tengok
sebagai tokoh agama. Jadi, bukankah itu merupakan satu caci ataupun
kritik. Tetapi itud alam televisyenlah. Mungkin Yang Berhormat kata
itu sandiwara atau rakaman palsu dan sebagainya.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Saya tidak mengatakan apa yang
ditunjuk dalam televisyen itu tidak betul dan perkataan itu pun
memang perkataan betul. Bagi orang Kelantan perkataan 'barua" itu
biasa sahaja, orang yang diperalat. Seperti kata begini, serupa Yang
Berhormat jadi barua UMNO, Yang Berhormat menjadi barua Perdana
Menteri, biasalah. Apa yang Perdana Menteri suruh, Yang Berhormat
buat, itu biasalah. Alat, perkakas, itu makna barua. Bagi orang
Kelantan maksud barua ini, kalau kita orang suruhan lain sikit. Kalau
kita orang suruhan ini ……..
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang
Berhormat,Setiausaha Parlimen bangun lagi.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Nanti! Saya hendak hurai
dahulu. Kalau kita ……
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Saya hendak hurai dahulu! Nanti
dahulu, ini my floor, my floor! Nanti saya hendak huraikan dahulu!
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Nanti, saya hendak hurai
dahulu! Duduk dahulu! Duduk dahulu!
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]
Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Duduk dahulu! Ini tidak faham
ni! Duduk dahulu!
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]
Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ini yang orang kata tidak faham!
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, …...
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]
Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Saya baru hendak hurai
makna"barua". Barua ini ………[Disampuk]. [ Duduk dahulu!
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, ini
bukan padang bola sepak!
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]
Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ini tidak faham! Ini betul-
betul barua!
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat bagi
Shah Alam.
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]
Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Inilah betul-betul barua! Orang
panggil ini, maknanya apabila Perdana Menteri suruh……
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat, sila
gulung, sila gulung.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ya. Saya hendak gulung.
Dato' Haji Noh bin Haji Omar: [Menyampuk]
Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Hendak gulung sekejap
ni.Ternyata sekarang ini bahawasanya ramai di kalangan UMNO ini tidak
faham, bukan tidak faham cara memikir, bahasa pun tidak faham lagi!
[Disampuk] Kalau bahasa tidak faham, jauh lagilah hendak faham cara
pemikiran PAS, jauh ketinggalan. Jadi, kesimpulannya satu perkataan
yang disebut oleh PAS, itu pun tidak faham. [Ketawa] Nampak
bahawasanya ternyata sekarang ini ……
Dato' Ir. Mohd. Zin bin Mohamed: [Menyampuk]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat bagi
Shah Alam.
Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Ternyata sekarang ini
sebahagian besar di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO hanya menjadi
barua PerdanaMenteri! Sekian, terima kasih.
______________________
Terbitan : 29 Mac 2002
Ke atas
Home