Perang Ke Atas Israel

KAHERAH :Menteri-menteri luar negara-negara Arab yang mengakhiri persidangan mereka di sini semalam telah mengambil keputusan untuk mengisytiharkan perang terhadap Israel sekiranya rejim berkenaan menolak cadangan Waliyul 'Ahd Arab saudi, Amir Abdullah.

Demikian menurut sumber-sumber diplomatik yang melaporkan kepada Al Qanat.

Amir Abdullah sebelum ini berhasrat mengadakan pertemuan dengan pemimpin rejim Zionis itu untuk memberikan kata dua kepada mereka mengenai kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.

Dalam pada itu Al Ahram pula melapurkan menteri luar Arab Saudi, Amir Saud Al Faisal sebagai berkata, "Pihak kami hanya menginginkan Israel mematuhi deklarasi Madrid iaitu keluar dari seluruh bumi Arab yang dijajah serta mengembalikan kesemua hak-hak umat Islam Palestin."

Beliau berkata demikian di Kaherah. Tambahnya, "Antara hak umat Islam Palestin ialah kebebasan mendirikan negara mereka secara bebas di atas tanah tumpah darah mereka dan ibu negaranya Baitul Maqdis."

Sejak dua minggu lalu, tentera rejim Israel meningkatkan serangan ke atas orang awam Palestin menyebabkan berpuluh-puluh nyawa terkorban setiap hari dan ratusan tercedera. Sementara beratus-ratus pemuda Palestin ditahan oleh mereka tanpa sebarang kesalahan.

Di Mesir, demonstrasi demi demonstrasi diadakan terutamanya oleh pelajar-pelajar universiti, mendesak seluruh umat islam bersatu untuk berhadapan dengan Israel.

Mahasiswa universiti Al Azhar turut tidak ketinggalan dalam demonstrasi aman tersebut. Mereka mengedarkan risalah yang antara lain menyeru seluruh umat Islam membuat persediaan jihad terhadap tentera Yahudi.

Mereka juga menyeru pemimpin-pemimpin negara Arab bersikap lebih berani dengan membuka pintu sempadan Palestin kepada sukarelawan- sukarelawan yang ingin berjihad seperti yang dilakukan pada tahun 1948.

Dalam perkembangan terbaru, Al Jazeerah melaporkan 600 pemuda palestin ditahan oleh tentera Yahudi di perkhemahan Al Dahisyah, Tulkaram. Dalam kejadian berkenaan, pihak tentera mengepung kawasan perkhemahan berkenaan dan meminta semua pemuda yang berusia di antara 15 dan 45 tahun supaya keluar dan berkumpul di padang sebuah sekolah berdekatan.

Mereka kemudiannya di arahkan supaya menanggalkan pakaian dan diletakkan di dalam karung plastik sebelum dipindahkan ke pusat tahanan dengan mata tertutup.

Dalam kejadian berasingan, 100 pemuda Islam Palestin di kampung Artas yang terletak berhampiran di tahan dan diperlakukan dengan tindakan yang sama.







............................................
Terbitan : 14 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com