PENJELASAN ISU PENANGKAPAN PELAJAR-PELAJAR MALAYSIA DI YAMAN
Kami bagi pihak Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) merasa
terpanggil untuk membuat penjelasan berkenaan isu penangkapan
pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Maahad Tahfiz Al-Quran, Taiz dan
juga penangkapan mereka yang pulang dari menunaikan fardhu haji. Ini adalah
kerana ianya telah menjadi isu yang hangat diperbualkan di Malaysia dan ia
juga sedikit sebanyak berkait dengan masa depan pelajar-pelajar tersebut .
Sebelum menjelaskan dengan lebih lanjut, kami ingin menegaskan di sini
bahawa:-
(i) Sudah menjadi dasar persatuan, kami hanya akan mendaftarkan para ahli ke
universiti dan institusi yang diiktiraf oleh kerajaan Yaman. Apa yang kami
maksudkan dengan ‘diiktiraf’ di sini ialah pihak imigresen Yaman
mengeluarkan permit menetap ( Iqamah/Residence Permit ) kepada pelajar asing
yang belajar di institusi tersebut . Sememangnya menjadi kaedah yang umum
bagi mana-mana negara untuk mengeluarkan permit menetap kepada warga asing
yang belajar di institusi pengajian yang diizinkan oleh pihak kerajaan
negara tersebut untuk dihadiri oleh mereka.
(ii) Berkenaan dengan 12 orang pelajar Maahad Tahfiz Taiz yang ditahan pada
19 dan 20 Februari yang lalu ( 2 hari sebelum Hari Raya Aidiladha ), kami
ingin menegaskan bahawa pihak imigresen Yaman telah pun mengeluarkan permit
menetap (Iqamah) kepada semua pelajar tersebut .
(iii) Sebahagian daripada mereka telah berada di tahun kedua pengajian dan
memiliki permit menetap untuk sesi pengajian 2001/2002. Oleh itu, isu
permit tidak timbul langsung!
(iv) Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Yaman telah pun mengeluarkan surat
sokongan untuk belajar di maahad tersebut dan Duta Besar juga telah
melakukan lawatan rasmi ke Taiz pada tahun yang lalu. Kami amat terkilan
dengan kenyataan yang menyebut bahawa mereka ditangkap kerana “berada di
institusi yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Yaman serta terlibat dengan
kegiatan politik, ekstremis dan militan.”
(v) Sekiranya benar mereka terlibat dengan kegiatan-kegiatan ini, PERMAYA
merasakan adalah tidak logik mereka dilepaskan begitu sahaja oleh pihak
berkuasa Yaman dan dibenarkan untuk terus meneruskan pengajian di Yaman
kerana ini tentunya menggugat keselamatan kerajaan Yaman. Para pelajar ini
berdaftar secara rasmi dengan persatuan dan juga Kedutaan Malaysia. Mereka
juga sentiasa bekerjasama dengan pihak kedutaan di dalam pelbagai urusan,
umpamanya mereka ditahan dalam perjalanan dari Taiz (120km jauhnya) untuk
menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidiladha di Kedutaan di bandaraya
Sana’a. Pastinya ini petanda hubungan erat pelajar-Kedutaan yang sedia
terjalin. Dan untuk makluman semua pihak juga, PERMAYA sentiasa
mengadakan program-program bersama dengan pihak kedutaan seperti sambutan
Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Hari Kebangsaan, Hari Keputeraan
Agong, Majlis Bacaan Yaasin dan sebagainya .
Kes yang kedua ialah penangkapan 10 orang pelajar Malaysia ketika memasuki
sempadan negara Yaman sebaik sahaja selesai menunaikan fardu haji. Dalam
kes kedua PERMAYA ingin menegaskan bahawa:-
(i) Semua mereka adalah pelajar yang berdaftar di Maahad ‘Ali Li Taujih Wal
Irsyad, Universiti Al-Iman dan Universiti Saba’. Setakat penjelasan ini
ditulis, kami hanya mengetahui bahawa mereka ini masih berada di dalam
tahanan di Hajjah (sebuah wilayah di antara sempadan Yaman-Arab Saudi dan
Sana’a).
(ii) Kesemua mereka ini juga berdaftar di IPT yang diiktiraf oleh kerajaan
Yaman. Perkara ini diakui sendiri oleh Duta Besar Malaysia di Yaman, Dato’
M.N. Haji Azman, sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar Berita Harian
bertarikh 12 Mac 2002 di dalam artikel yang bertajuk “Tahan pelajar :
Malaysia - Indonesia lantik wakil” ( sumber: website rasmi Berita Harian ).
Kami bagi pihak persatuan sangat berterima kasih kepada pihak kedutaan dan
Kementerian Luar Malaysia yang bertungkus lumus berusaha untuk menyelesaikan
masalah ini. Kami berharap agar para ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar
yang ditahan ini tidak perlu risau dan bimbang kerana anak-anak mereka tidak
terlibat dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang. Pihak
persatuan juga ingin menjelaskan di sini bahawa kesemua pelajar yang
bernaung di bawah PERMAYA yang mendapat restu dan pengiktirafan Kedutaan
Malaysia tidak terlibat dengan kegiatan-kegiatan politik, ekstremis ,
militan dan sebagainya.
Sekian dan salam hormat dari kami,
(Syed Mohd Norhisyam Bin Tuan Padang)
Presiden
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman ( PERMAYA )
( permayaman@hotmail.com )
13 MAC 2002
............................................
Terbitan : 14 Mac 2002
Ke atas
Home