KOTA BHARU: Anggota Dewan Negara, Senator Zailah Mohd Yusof, mengharapkan Kerajaan Melaka bertegas dengan keputusan yang diambil berhubung sekatan mana-mana kumpulan rock membuat persembahan mereka di negeri itu.
Katanya, sekiranya pemimpin kerajaan negeri itu memikirkan masalah sosial di kalangan masyarakat khususnya remaja akibat kesan dari konsert rock, mereka hendaklah bertegas dengan keputusan yang telah ditetapkan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung larangan Kerajaan Melaka terhadap mana-mana kumpulan rock dari mengadakan pertunjukan di negeri itu.
Ketua Menteri, Datuk Mohd Ali Rustam baru-baru ini berkata, langkah tersebut diambil selepas satu konsert kumpulan berkenaan di negeri ini dicemari aksi menjolok mata apabila ramai penontonnya menari sambil menganggukkan kepala.
Kerajaan Melaka pimpinan Ali Rustam turut mengeluarkan arahan berkenaan berkuat kuasa serta merta selepas satu konsert rock dicemari dengan kejadian aksi menjolok mata.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan pemimpin kerajaan negeri yang penuh bersejarah itu tidak tunduk pada mana-mana pihak bagi membolehkan semula konsert sedemikian diadakan.
"Saya tidak bermaksud untuk mengangkat Kelantan, namun dalam banyak hal, negeri ini boleh dicontohi kerana tindakan kerajaan negeri menyekat hiburan sedemikian juga kerana masaalah yang sama," ujarnya.
Bahkan, menurutnya lagi amat wajar sekiranya hiburan yang bercanggah dengan nilai Islam dan kemanusiaan juga hendaklah disekat demi menjaga moral remaja yang kian tenat sekarang.
Sekalipun beliau bersetuju dengan langkah tersebut, namun masih bimbang akan kesungguhannya.